Thursday 4 February 2010

Roh bernama 'Aku'

Segala puji bagi Allah, Tuahn sekalian alam, yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Yang Maha bijaksana, Yang Maha Memiliki Ilmu Ghaib dan Yang Nyata, tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Esa tiada sekutu bagi Nya, Dialah yang awal dan yang akhir, yang Batin dan yang Zahir yang meliputi Segala sesuatu. Maha Suci Allah yang mengilhamkan ilmu kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Tiada daya dan upaya melainkan dengan izinNya.

Selawat dan salam untuk cahaya bagi segala cahaya, rahsia bagi segala rahsia, pembuka pintu ilmu Ketuhanan, pelita hati,dan penawar sanubari iaitu junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan limpahkan juga rahmat kepada kaum keluarganya dan para sahabat Pendhowo Limo, Paduka2 Pewaris dan kalian yang sudi membaca bingkisan ini. 

Tahukah kalian bahawa AKU yang dimaksudkan dalam konteks ini adalah ROH yang datang dari Allah, hidup dengan Allah, dan kembali kepada Allah. Maka Aku yang dimaksudkan juga adalah diri kita sendiri sebagai manusia. 

AKU adalah ayatollah (tanda-tanda Allah) kerana seluruh alam raya, yang ghaib dan yang nyata, adalah tanda-tanda wujudnya Allah SWT.

AKU digelar ROHULLAH (ROH ALLAH) kerana ROH itu adalah hembusan dari ROH ALLAH atau limpahan dari ROH ALLAH.

AKU juga digelar Nurullah ( cahaya ALLAH) kerana setiap roh itu adalah cahaya. Digelar cahaya kerana setiap yang menampakkan sesuatu digelar cahaya. Nabi-Nabi itu cahaya Allah kerana melalui Nabi-Nabi itu kita dapat mengetahui mengenai Allah melalui ajaran dan didikan mereka. ROH itu cahaya kerana melalui ROH itu kita ‘nampak' Allah.

AKU digelar Ma'lum dalam ilmuNya. Ma'lum ertinya ‘yang diketahui'. Allah itu ‘alim' (yang mengetahui). Setiap yang mengetahui tentu berpengetahuan (berilmu). Allah itu berilmu, sebab itulah ia ‘alim. Setiap yang ‘alim' tentu ada ilmu dan ada perkara yang diketahuinya. Perkara yang diketahui itu digelar Ma'lum (yang diketahui). Allah itu ada ilmu dan dalam ilmuNya ada Ma'lum. ROH kita ini termasuk dalam ilmu Allah. Maka ROH kita itu Ma'lum Allah. Maka itulah dikatakan ROH itu Ma'lum dalam ilmu Allah.

Memang AKU ada (wujud). Wujudnya dengan limpahan Wujud Yang Maha Agung (Allah swt). Hidup AKU limpahan hidupNya. AKU berdaya limpahan dayaNya. Berkuasanya dan berupayanya AKU adalah limpahan kuasa dan upayaNya. Aku berkehendak dan Diapun berkehendak. Kehendak AKU tertakluk kepada kehendakNya.

AKU datang dari Allah. AKU adalah ma'lum (yang diketahui) dalam ilmu (pengetahuan) Allah. Kemudian AKU berada di alam ROH. Bila sampai masanya hendak lahir ke dunia ia dihembuskan ke bakal bayi dalam rahim ibu. AKU akan berada di dalam alam dunia sampai ajalnya sampai. Kemudian ia masuk pula ke alam Barzakh. Setelah berada sekian lama, maka ia akan dipertimbangkan di Hari Pengadilan. AKU akan masuk syurga atau neraka. Mudah-mudahan janganlah masuk neraka hendaknya. Maka AKU kembali ke hadrat Allah SWT. Dari Allah AKU datang kepada Allah AKU kembali. Di sana kekallah hidup bersama dengan Yang Maha Hidup (iaitu Allah) selama-lamanya. Itulah perjalanan AKU. Mengembara dari satu alam ke satu alam.

AKU miskin papa, lemah, tidak berdaya dan tidak punya apa-apa. Yang Kaya Raya, Yang Gagah Perkasa, Yang Kuat dan Berdaya dan memiliki segala-galanya iailah Yang Maha Kaya dan Maha Kuat itu juga. Itulah Allah SWT. Hidup AKU kembali ke hidupNya. Gerak AKU kembali kepada gerakNya. Diam AKU kembali ke diamNya. Sifat AKU kembali ke sifatNya. Nama AKU kembali ke namaNya. Amalan AKU kembali ke amalanNya. Wujud AKU kembali ke wujudNya. 

AKU yang hakiki percaya dan menyerah diri kepada Yang Maha AKU(iaitu Allah) sahaja tanpa sangsi dan ragu-ragu. AKU memfanakan dirinya dalam Yang Maha AKU. Terasa oleh AKU betapa kasihnya Yang Maha AKU kepadanya.  Matlamat AKU ialah ALLAH. Yang diharapnya ialah keredhaan Allah. Yang dimintanya ialah keampunan Allah. Pada pandangan AKU kehidupan akhirat itulah yang utama. Kembali ke hadrat Allah itulah yang diidamnya.

AKU tidak takut mati (berpisah nyawa dari badan) kerana ‘mati' sebenarnya berpindah alam, dari alam dunia kea lam barzakh. AKU tetap AKU juga. Walaupun badan hancur tetapi AKU tidak hancur. AKU akan kembali sedar kerana hijab-hijab (tirai-tirai) kebadanan telah hilang. AKU itu adalah Insan Saghir yakni Manusia Kecil. Alam semesta raya yang ghaib dan yang nyata, adalah Insan kabir atau manusia besar. Insan Saghir itu adalah Alam Saghir iaitu Alam kecil dan Insan Kabir itu adalah Alam besar. Dikatakan sedemikian kerana hakikat-hakikat dalam Insan Kabir atau manusia besar itu ada dalam Insan Saghir. Idea-idea Insan Kabir itu ada terbayang dalam Insan Saghir atau Alam Kecil iaitu Manusia.

Alam Kabir itu pula mengandungi alam ruh, alam mithal dan alam jasmaniah atau alam fizikal. Alam-alam ini juga ada pada Insan Saghir atau manusia. Manusia terdiri dari unsur-unsur roh, mithal, badan sebagaimana Alam Besar ini terdiri juga dari unsur-unsur roh, mithal dan fizikal. Roh itu nyawa atau jiwa atau ‘hidup'. Fizikal itu jisim atau badan. Mithal itu ialah antara roh dan badan yang digelar mental atau khayal atau minda.

Idea Alam Kabir ada dalam Alam Saghir (manusia). Hakikat Insan kabir (iaitu Alam Besar) ada dalam Insan Saghir iaitu Manusia. Unsur-unsur alam kabir itu ada juga pada Alam kecil atau manusia itu. Maka dengan itulah dikatakan AKU itu bayangan atau salinan Alam Kabir. AKU juga adalah bayangan atau salinan Insan Kabir. Insan Kabir dan Alam Kabir adalah jua nama bagi satu entiti atau diri. 

AKU itu diri. Diri insan terbahagi kepada tiga bahagian menurut pendapat sebahagian Ahli Sufi, iaitu bahagian jasmani, bahagian mithali dan bahagian ruhani. Unsur roh itu adalah diri yang sebenar. Itulah diri yang tidak akan ‘mati' menurut istilah biasa. Diri ini berpindah alam sahaja dari satu alam ke satu alam yang lain. Diri inilah yang mulia dan menjadi ayat atau nur Allah. Kejadiannya mulia dan tinggi.

Unsur mithali adalah unsur antara jasmani dengan rohani. Ia adalah diri lapisan yang kedua. Ini termasuklah fikiran, minda dan tubuh halus yang bukan jasmani dan bukan pula roh yang sebenarnya. Diri inilah yang boleh mengembara dalam alam mimpi tatkala kita tidur.

Di lapisan yang ketiga iailah diri jasmani iaitu badan kasar kita yang terdiri dari empat unsur iaitu unsur air, unsur angina, unsur api dan unsur tanah. Diri ini memerlukan unsur-unsur yang empat itu untuk dapat hidup. Kehidupan hanya akan wujud setelah empat unsure itu tersedia. Itulah tiga bahagian diri manusia. Walau bagaimanapun, unsur roh itulah yang paling penting. Roh itu hidup. Tanpa ‘hidup' lapisan yang dua lagi tidak berfungsi. Dengan adana roh barulah diri kita boleh berfikir, berkomunikasi, makan, minum, bermain, bergerak dan sebagainya. Tanpa roh segalanya akan kaku, mati, dan tiada berguna lagi!

Setiap orang hendaklah seboleh-bolehnya kenal akan dirinya yang sebenar itu iaitu yang berunsur rohaniah atau kerohanian itu supaya ia tidak mensia-siakan hidupnya di dunia fana ini. Hidup kita bukan di dunia ini sahaja. Hidup kita akan berlanjutan hingga kekal abadi di akhirat yang tiada hujungnya. Disana nilai buruk atau baik bukan disukat dari segi kekayaan harta benda, banyaknya anak pinak, bukannya kurniaan bintang atau pingat atau pangkat yang diperolehi di dunia ini. Nilai baik dan buruk seseorang di sana bergantung kepada iman dan amal soleh seseorang itu.

Dengan kenalnya kita akan diri kita yang sebenar itu, kita tidak akan putus asa, tidak takut, tidak bimbang dalam melayari bahtera hidup kita ini. Ini kerana kita tahu diri kita adalah kekasih Allah. Takkanlah orang yang mengasihi seseorang itu akan menganiayai kekasihnya. Sebenarnya Allah kasih akan diri kita lebih dari ibu mengasihi anak kesayangannya. Ia Maha Kasih Sayang terhadap hamba-hambanya.

Dengan mengenal diri kita, tidaklah kita takabur, sombong, bongkak, dengki, iri hati, khianat kerana kita tahu siapa diri kita sebenarnya. Dinisbahkan dengan Allah SWT, kita tiada apa-apa, hanya ayat-ayatNya sahaja. Jika dinisbahkan dengan makhlukNya, diri kita adalah penguasa dan pengurus. Allah menjadikan alam dan makhluk untuk kita (sebagai insan) dan kita untuk Dia.


http://jalansufi.com/islam/hakikat/aku



5 comments:

Ini yang benar....... Terima kasih di atas peringatannya wahai sahabat......... *smile*

dibaca... terima kasih atas perkongsian..

Sekadar perkongsian bersama untuk kita sama2 menuju yang diredhaiNya

Ilmu adalah dariNya juga. Semoga kita sema memperolehi hidayahNya

Izinkan saya untuk berkongsi pula dengan yang lain *smile* Agar sama-sama kita dapat mengembangkan sayapnya agar sama-sama kita dapat di beri pertunjuk dan menerima hidayat dan rahmat darinya. Insya'allah amin....... Terima kasih sahabat ku Megatpanjialam.

Post a Comment