Tuesday 16 February 2010

Istiadat Tabal Jin

TABAL JIN adalah merupakan suatu istiadat turun temurun bagi Salahsilah Kesultanan Perak. Cuma di Negeri Perak ini sahaja yang masih menjalani upacara TABAL JIN didalam Tanah Melayu ini. Negeri Perak merupakan salah satu negeri melayu yang paling tertua dirantau ini. Sultan yang memerintah Negeri Perak biasanya didampingi oleh Jin-Jin Islam. Disinilah kita dapat melihat akan kedaulatan seseorang Raja itu dimana ia akan di nobatkan dahulu sewaktu hari pertabalan baginda.

Istiadat TABAL JIN dimulakan dengan paluan NOBAT pada sabelah senja sehari selepas TABAL ADAT disempurnakan. Istiadat ini dilakukan pada sebelah waktu malam. JIN adalah makhluk Alam Rohani (bertubuh halus). Kita percaya demikian kerana Al-Quran yang benar telah menghabarkannya. Apa lagi hal-hal itu tidak berlawanan dengan akal kita. Bahkan berapa banyak lagi makhluk Allah s.w.t. yang belum diketahui oleh manusia. JIN itu saperti manusia jua, yakni ada yang beriman dan ada yang kafir. JIN dijadikan daripada Api dan bersifat halus. JIN-JIN tidak dapat naik kelangit saperti Syaitan, kerana dihalangi oleh Malaikat-Malaikat yang menjaga dan dilempar oleh tahi-tahi bintang.


'..dan sesungguhnya kami telah mencoba mengetahui (rahasia) langit, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat 
dan panah-panah api.." (Surah Al Jin : 8)


Dalam ayat 6 didalam Surah Jin, telah disebutkan, bahawa ada manusia yang minta berlindung pada JIN dan bukan daripada Allah s.w.t. JIN-JIN itu menyangka sebagaimana persangkaan sesetengah manusia, bahawa Allah tiada akan membangkitkan makhluknya (kecuali JIN-JIN yang beriman). Oleh itu manusia yang minta berlindung kepada JIN itu adalah musyrik.


'..Dan bahwasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.



"..Dan sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang saleh dan di antara kami ada (pula) yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeda-beda.." (Al Jin : 11)


Kesimpulannya, JIN-JIN, saperti manusia juga, bermacam-macam jenis. Ada yang solih dan ada yang tidak. Ada yang Islam dan ada yang kafir. Didalam ISTIADAT TABAL JIN didalam Negeri Perak ini, seseorang itu hendaklah betul-betul memahami akan kesimpulan adat pertabalan tersebut. Jangan kita salah tafsirkan dan membuat andaian yang bertentangan. Ada pun seseorang Sultan yang memerintah Negeri Perak ini sentiasa ‘didampingi’ oleh JIN Islam yang menjaganya. Disini terletaknya kedaulatan seseorang Sultan itu dan seluruh kemakmuran Negeri tersebut adalah terletak pada kedaulatan baginda. Ada pun dinamakan TABAL JIN tersebut kerana semua makhluk halus didalam Negeri Perak ini berajakannya. 

Oleh itu, seseorang Raja yang berdaulat hendaklah benar-benar arif didalam hukum-hukum syarak dan ilmu akhirat dalam agama. Tanpa ilmu agama yang mendalam mungkin akan dapat menyesatkan fikiran seseorang itu. Tidak ada perkara yang mustahil sekiranya dikehendaki oleh Allah s.w.t. menjadikannya. Untuk memahami lebih mendalam akan alam rohani ini, seseorang itu hendaklah terlebih dahulu mempelajari dan memahami akan ilmu-ilmu akhirat saperti tasawuf, usuluddin dan sebagainya. Mengenali kejadian diri sendiri dan alam semesa ini dan segala ciptaan Allah s.w.t.

Sekarang terdapat ramai golongan-golongan manusia yang menjadikan agama itu sebagai satu isu untuk menegakkan kebenaran masing-masing. Tetapi kebanyakannya hanya lah berdasar kepada ilmu yang masih belum cukup didada. Apakah kita telah benar-benar arif didalam konteks ISLAMIAH yang sebenar-benarnya? Kerana perkara begini menjadikan umat Islam berpecah belah dan bergolong-golongan. Pada hal umat ISLAM pada dasarnya adalah yang mengikut hukum dan nash Al-QURAN.

Istiadat Tabal Jin ini biasanya dilakukan pada sebelah senja/malam dan diterangi hanya oleh dian (lilin) sahaja. Istiadat TABAL JIN dimulakan dengan paluan NOBAT DIRAJA pada sabelah senja sehari selepas Istiadat TABAL ADAT disempurnakan. Istiadat ini dilakukan pada waktu malam. Selepas Jejawat Berlembing dan Jejawat Berpayung Ubur serta Jejawat Perempuan, memegang kaki dian dan Bentara Perempuan membawa Perkakas Istiadat Merenjis mengambil tempat masing-masing didalam Balairong Seri didahului oleh Panglima Dalam dan diapit oleh Panglima Perang Kanan dan Panglima Perang Kiri, dan dibelakang nya Pawang DiRaja menatang akan PEDANG CURA SIMANJA KINI, bersama Toh Seri Nara DiRaja menatang PONTOH BERNAGA dan PONTOH ULAR LIDI diatas talam berlapikkan kain kuning dan diikuti olih Sida-Sida.

Biduanda-Biduanda menatang PERKAKAS KERAJAN masuk ke Balairong Seri dan diletakkan kesemua diatas meja yang disediakan di iringi dengan paluan NOBAT. Selepas itu Pawang DiRaja dengan menatang PEDANG CURA SIMANJA KINI dan Toh Seri Nara DiRaja menatang PONTOH BERNAGA dan PONTOH ULAR LIDI keluar dari Balairong Seri didahului oleh Panglima-Panglima masuk ke Kamar Persenangan lalu mempersembahkan kepada Kebawah Duli Paduka Seri Sultan. Baginda kemudian diiringi berangkat ke Balairong Seri dengan iringan paluan NOBAT ‘Raja Berangkat’. Apabila sampai di Singgahsana, Baginda Sultan akan bersemayam diatas ‘Chior Keemasan’ yang disediakan dihadapan Singgahsana. 

Kemudian Pawang DiRaja mengadap dan mempersembahkan PEDANG CURA SIMANJA KINI kepada Baginda Sultan yang akan meriba Pedang tersebut. Selepas itu PERKAKAS KERAJAN dibawa mengadap oleh Sida-Sida dan Biduanda-Biduanda kehadapan Baginda Sultan. Kemudian dikuti pula oleh Bentara Toh Ratna Senari dan Bentara Toh Ratna Wati masuk mengadap membawa PERKAKAS ISTIADAT MERENJIS dan dikuti pula oleh Toh Setia Guna (Ketua Nobat) bersama Ahli-Ahli Nobat DiRaja masuk ke Balairong Seri memohon limpah perkenan Baginda untuk meletak PERKAKAS NOBAT DIRAJA ditempat yang telah disediakan. Kemudian ‘Istiadat Memulih’ PERKAKAS KERAJAN dan PERKAKAS NOBAT DIRAJA dijalankan dan juga ‘Merenjis Tepung Tawar’. Satelah selesai bacaan Doa Selamat disempurnakan oleh Sahibul Mufti Kerajaan Negeri Perak.

Satelah selesai upacara ‘Memulih Perkakas Kerajan dan Merenjis Tepung Tawar’, diikuti pula dengan ‘Istiadat Bersiram Tabal’ (Mandi Sampat) dimulakan di PANCA PERSADA. Baginda Sultan dan isteri akan berangkat dari Pintu Besar Istana. Pawang DiRaja memulakan ‘Istiadat Mengelilingi Balai Panca Persada’ sebanyak tujuh kali dan dibantu oleh Bomoh dan Pawang Tempatan dan Bentara-Bentara yang membawa ‘Perkakas Merenjis’. Sepanjang keberangkatan Baginda NOBAT dipalu sehingga Baginda bersemayam diatas ‘Perterakna Seri Panca Persada’.

Semua Putera dan Puteri baginda akan mengambil tempat di belakang Perterakna serta diringi oleh Y.Bhg.Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar DiRaja, Y.Bhg. Orang Kaya-Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar DiRaja dan Y.Bhg.Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan. Istiadat ‘Merenjis Tepung Tawar’ disempurnakan diikuti dengan bacaan Doa Selamat oleh Sahibul Samahan Mufti Kerajaan Negeri Perak. Selepas itu ‘Upacara Bersiram Tabal’ (Mandi Sampat) pula dimulakan oleh Pawang DiRaja sendiri dari awal hingga akhir keatas Perkakas Istiadat Bersiram Tabal. Kain putih direntangkan dan daun nyiur muda bentuk jari lipan ditaruhkan keatas kain putih yang diregang dan dipegang oleh Toh-Toh Puan ditiap-tiap penjuru. Istiadat Bersiram Tabal dimulakan dengan mengambil sebatil GELUK berisi Air Datu dan dicurahkan keatas kain putih sehingga habis Enam Belas Batil GELUK yang berisi air. NOBAT dipalukan sepanjang Istiadat Bersiram Tabal. 

Setelah selesai Istiadat Bersiram Tabal, Baginda berdua akan menyalin pakaian dan berangkat turun dari Seri Panca Persada berselimut dengan ‘Kain Benang Emas Kekuningan’, dan diarak balik ke ISTANA. Satelah menukar kepada Pakaian Kebesaran DiRaja, DYMM Paduka Seri Sultan Perak akan berangkat masuk ke BALAIRONG SERI (NOBAT dipalu) dan bersemayam diatas PETERAKNA SINGGAHSANA. Pawang DiRaja melulakan ‘Istiadat Merenjis Air Panca Bicara’ keatas PERKAKAS KERAJAN yang sedia ada terletak diatas meja dihadapan Singgahsana, ‘Merenjis Tepung Tawar’ ketasa Baginda Sultan dan diikuti dengan meletakkan ‘BUNGA PENCAWA PENCARA’ ditelinga Baginda

Pada waktu istiadat ini NOBAT DIRAJA akan memainkan lagu diantara empat hingga sembilan lagu. Toh Setia Guna (Ketua Nobat) akan memerhatikan gerak geri Paduka Seri Sultan ketika paluan NOBAT dipalukan. Dari sini, kedaulatan seseorang Sultan itu akan dapat diketahui. Mengikut adat, sekiranya Baginda dapat bertahan lama diatas Singgahsana (iaitu dapat bertahan sehingga tujuh lagu keatas dipalukan oleh NOBAT) ini menunjukkan pertabalan Baginda telah direstui oleh JIN-JIN KERAJAN dan Baginda akan memerintah Negeri Perak ini lama atau pun panjang umur. Akan tetapi sekiranya Baginda hanya dapat bertahan empat atau lima lagu sahaja…petandanya umur Baginda mungkin pendek. Toh Setia Guna akan memberi isyarat kepada Ahli Nobat supaya memberhentikan paluan NOBAT apabila melihat Baginda Sultan dalam keadaan ‘resah gelisah’ diatas Peterakna Singgahsana.

Sewaktu NOBAT dipalukan, PEDANG CURA SIMANJA KINI akan ‘bergerak-gerak’ dengan sendirinya (dimana seakan-akan hendak keluar dari sarungnya). Ini menunjukkan JIN KERAJAAN berserta dalam ISTIADAT TABAL JIN ini dan merestui pertabalan Baginda. Istiadat TABAL JIN selamat disempurnakan selepas upacara ‘SANTAPAN NASI BERAS TANOKA’ dijalankan dengan bacaan doa selamat..

18 comments:

Pedang Cura Si Manja Kini, cantik..

jangan bagi muka pada jin sesungunnye iblis adalah golongan jin cuba chek surah alkahfi 50

menarik sekali adat istiadat tabal jin ini.... rasanya hanya Sultan Perak shj yg menjalani upacara tabal jin.....
upacara yg penuh dgn makna tersirat....

Same thoughts! Satu istiadat yang agak mistik tapi ramai yang mungkin bertanya pandangan agama mengenai adat ini.
Menanam kelapa di pulau Bukum
Tinggi sedepa sudah berbuah
Adat bermula dengan hukum
Hukum bersandar di Kitabullah

Lebat daun bunga tanjung
Berbau harum bunga cempaka
Adat dijaga pusaka dijunjung
Baru terpelihara adat pusaka

Pohon nangka berbuah lebat
Bilalah masak harum juga
Berumpun pusaka berupa adat
Daerah berluhak alam beraja

Adapun sebenarnya, mengikut adat, Al Sultan Negeri Perak ditabalkan sebagai ketua kerajaan bukan sahaja oleh manusia tetapi juga Jin yang mendiami negeri Perak. Baginda Sultan adalah Raja kepada manusia dan Jin. Namun adat ini pada saya hanyalah bermula pada pertengahan abad ke 18, selepas pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III, dan bukannya lebih awal dari itu. Kalau sesiapa ada fakta yang membuktikan sebaliknya, silakan.....

bagaimana pula dgn pengalaman kekanda MPA di Batu Kikir berkaitan dgn Negeri yang Sembilan..tiada adatkah atau adat yang tidak dinyatakan secara rasmi tentang hal2 yg berkaitan.

Boleh kita bertanya kepada Paduka Khaz, dari mana diperolehi tatacara atau cara2 untuk penabalan ini? Dari word of mouth ke atau dari mimpi individu?

Alhamdulillah. Sudah menjadi kebiasaan untuk 'melihat' muka2 baru yang datang dan kita tidak terkecuali.

mungkin di negeri2 lain ada kaitan cuma tidak secara formal macam di Perak sehingga meletakkan salah satu istiadat pertabalan...ini hanya mungkin...

Petikan : Sejarah Beting Beras Basah.
Beting Beras Basah terletak di Kuala Sungai Perak, Daerah Hilir Perak. Mengikut sejarah, di sinilah bermulanya Sultan Perak yang pertama berangkat masuk ke Negeri Perak. Di zaman munculnya Kerajaan Beruas dan Manjung terdapat juga beberapa daerah di Perak yang memerintah secara persendirian. Di Temong misalnya terdapat seorang perempuan yang dikenali sebagai Tok Temong dan di Hulu Perak terdapat seorang lelaki bernama Tun Saban anak Bendahara Tun Perak Melaka. Begitulah keadaannya sebelum wujud kesultanan Perak.

Kesultanan Perak bermula pada kurun ke-16, apabila putera kedua Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka yang terakhir, setelah Negeri Melaka dikalahkan oleh Portugis pada T.M 1511 dilantik menjadi Sultan Perak yang pertama pada tahun 1528. Putera tersebut bernama Raja Mudzaffar Shah. Menurut cerita lisan yang diperolehi daripada Almarhum Sultan Idris Almutawakkil Alallah Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak yang ke-33, Orang-orang Perak telah menyuruh Tun Saban menjemput Raja Mudzaffar untuk dirajakan di Perak. Waktu bakal Sultan ini mudik Sungai Perak, bahtera kenaikan Baginda telah tersangkut di Beting Beras Basah yang terletak di Kuala Sungai Perak. Raja Mudzaffar telah berseru:

"Sekongkong Tanah Minangkabau
Selilit Pulau Perca
Di lengkong ular Saktimuna
Perpisahan Beta di selat Melaka
Jika Sah Beta Raja berdaulat
Lepaslah sekalian malapetaka"

Selepas seruan Baginda diucapkan. bahtera kenaikan Baginda itu bergerak, dan Orang-orang Besar dan beribu-ribu rakyat Negeri Perak yang menyambut Baginda menyebut "Daulat Tuanku" tiga kali berturut-turut. Kemudian Baginda diarak mudik Sungai Perak hingga ke tempat yang bernama Tanah Abang dan disitulah Baginda ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama.

Apa hubungkait dengan Minangkabau?

Tidak diketahui oleh kita. Setakat kain perca tahulah.....!

Sultan Muzaffar Shah Perak dan Sultan Alauddin Riayat Shah Johor adalah saudara sebapa.Sultan Muzaffar Shah yang lebih tua.Namun atas permintaan Permaisuri Tun Fatimah (bonda Sultan Alauddin) yang diangkat menjadi pengganti kepada Sultan Mahmud Shah adalah Sultan Alauddin.Pada masa yang sama rombongan Perak meminta seorang Sultan dari keturunan Sultan Melaka.Maka Sultan Muzaffar diperkenankan ke Perak.Anakanda Sultan Mahmud yang sulung adalah Sultan Ahmad Shah yang telah dibunuh terlebih dahulu sebelum Sultan Mahmud mangkat.Sultan Ahmad Shah pernah menjadi Sultan Melaka sebelum kejatuhan Melaka dan diambil semula oleh Sultan Mahmud.

Kisah beting beras basah hanya permulaan detik bilamana Raja perlu membuang mahkota ke laut sebelum masuk ke negeri Perak. Satu simbolisme yang padat...

Aduhai Panji Alam, tergelak kita dibuatnya bila baca post anda tu...tak semena-mena buat lawak ye...

Post a Comment