Sunday 28 June 2009

Sejarah Rawa/Rao di Tanah Melayu

Sejarah orang Melayu Rao@Rawa bermula di Kecamatan (Daerah Kecil) Rao Mapat Tunggul, di dalam Kabupaten (Daerah) Pasaman, Propinsi (Negeri) Sumatera Barat, Indonesia. Duduk di sebelah utaranya pula, bermastautin suku kaum Mandailing. Pekerjaan utama suku kaum Rao ialah sebagai petani, pedagang, pelombong; dan mahir datam bidang pentadbiran serta kerohanian/ keagamaan.

Hijrah Perantauan Rao ke Tanah Melayu - Ada empat gelombang perantauan orang-orang Rao ke Tanah Melayu iaitu:

a) Gelombang Pertama bermula pada tahun 500 Masehi hingga tahun 1400 masehi terdiri daripada golongan petani dan pemburu emas, kerana Tanah Melayu terkenal dengan Semenanjung emas.
.
b) Gelombang Kedua bermula pada tahun 1401 masehi hingga tahun 1600 masehi terdiri daripada golongan pedagang, terutamna pedagang emas, kain dan ubatan –ubatan terutama apabila Melaka menjadi Pusat Perdagangan Nusantara.

c) Gelombang Ketiga bermula pada tahun 1601 masehi hingga tahun 1800 masehi terdiri daripada tokoh agama, pemburu emas. bijih timah dan tentera upahan apabila dibuka Pusat Perdagangan di Pulau Pinang dan Singapura disamping Melaka.

d) Gelombang Keempat bermula pada tahun 1801 masehi hingga tahun 1900 masehi dengan perantauan beramai-ramai apabila orang-orang Minangkabau bekerjasama dengan Belanda membunuh orang-orang Rao terdiri daripada Anak-Anak Raja Rawa dari Rao-Mapat Tunggul, Padang Nunang dan Pagar Ruyung, bersama-sama hulubalang dan pahlawan, ulamak dan tokoh agama Islam terutama ketika era Perang Paderi di Sumatera Barat (1815 – 1833) termasuk pakar-pakar dalam mencari emas, bijih timah, hasil hutan, tukang-tukang rumah, tukang-tukang emas/besi, pesilat yang handal dan kebal dan dukun/bomoh yang handal.

Mengikut sejarah, suku kaum Rao yang mula-mula sekali berhijrah ke Tanah Melayu ialah golongan petani. Ini berlaku sekitar abad ke 5 Masehi. Faktor perdagangan bebas semasa zaman Kesultanan Melaka di abad ke 15 Masehi telah menggalakkan Iebih ramai kaum Rao merantau, berdagang dan bermastautin di Tanah Melayu. Kerancakan aktiviti perlombongan emas di abad 17 Masehi dan perlombongan bijih timah di abad 18 Masehi telah mendorong sebahagian besar para pelombong suku kaum Rao ke Tanah Melayu, melalul Negeri-negeri Selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang).

Penghijrahan beramai-ramai suku kaum Rao ke Tanah Melayu berlaku semasa Perang Padri (1816-1833) di Indonesia semasa zaman pemerintahan penjajah Belanda. Sebahagian besarnya terdiri daripada golongan istana, para ulama, cendekiawan, panglima dan sebagainya. Berikut ialah proses penghijrahan Rao mengikut negeri:

Negeri Sembilan - Penghijrahan ke Seri Menanti di sekitar tahun 1773 dan melatul Sungai Ujong (Seremban) di sekitar tahun 1848)

Negeri Pahang - Penghijrahan melalui Sungai Hulu Pahang (Bera, Hulu Pahang, Kuata Lipis, Raub, Bentong) sekitar tahun 1857-1863. Antaranya Tengku Khairul Alam, Pakeh Khalifah Saka, Tujuan Saka dll.

Negeri Selangor - Penghijrahan melalui Sungai Klang (Hulu Langat, Hulu Selangor) dan Sungai Selangor (Kalumpang, Ampang, Kuala Lumpur, Gombak) sekitar tahun 1867- 1873. Pelopornya belum lagi dapat dikenalpasti.

Negeri Perak - Penghijrahan melalul Sungai Perak, Sungal Bidor dan Sungai Bernam (Teluk Intan, Kuala Kangsar, Larut, Kinta, Gopeng, Tapah, Kampar) sekitar tahun 1875-76. Antaranya Datuk Sakti Putih dll.

Negeri Kelantan - Catatan sejarah juga menunjukkan bahawa suku kaum Rao turut berhijrah ke Kelantan melalul Pahang, khususnya di Jajahan Pasir Mas melalui Sutan Amir Kaharuddin Budiman.

Takrifan Rao

"Istilah Rawa merujuk kepada satu etnik suku bangsa Melayu daripada perkataan Rao – sebuah kacamatan di dalam Kabupaten Pasaman di Sumatera Barat. Negeri Rao di sebelah utara berjiran dengan Tapanuli yang didiami Mandailing manakala di sebelah Selatan bersempadan dengan Sumatera Barat yang majoriti penduduknya; Minangkabau. Di sebelah barat Rao ialah Selat Mentawai dan timur pula bersempadan dengan Riau. Perkataan Rawa hanya popular di Makkah dan Malaysia. Ia kurang dikenali di Rao. Wan Mohd Shaghir Abdullah (Utusan Malaysia: 19.3.2007) berpendapat bahawa istilah Rawa di Malaysia bermula daripada Haji Abdullah Nordin al-Rawi yang mengasaskan syarikat percetakan dan penerbit Persama Press tahun 1921 di Lebuh Aceh, Pulau Pinang. Anak beliau bernama Haji Yusuf bin Abdullah tersohor dengan gelaran Yusuf Rawa (1922-2000) yang pernah menjadi wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sebagai duta ke Iran, Iraq, Afghanistan dan Turki. Pada asalnya disebut ar-Rawi mengikut istilah Arab yang bermaksud dibangsakan kepada ”Rao” tetapi lama kelamaan menjadi ar-Rawa yang menunjukkan asal seseorang itu iaitu dari Negeri Rao di Sumatera.

Namun demikian, tidak terdapat dalam sejarah yang menceritakan orang-orang Rawa yang menuntut atau menetap di lain-lain negeri atau negara menggunakan perkataan Rawa atau Rawi dicantumkan pada akhiran nama mereka. Penggunaannya juga dianggarkan bermula di sekitar awal abad ke-19 khususnya sewaktu aktiviti pengajian Islam sedang berkembang pesat di Makkah. Juga tidak dapat dipastikan penggunaan ar-Rawa pada akhir nama itu seseorang itu bermula di Tanah Melayu atau Makkah. Walau bagaimanapun, mengikut catatan sejarah terdapat seorang syeikh terakhir di Makkah di kalangan orang Rawa bernama Syeikh Jamal Rawa yang menggunakan perkataan tersebut".

Sumpahan KETURUNAN RAJA RAWA

Sumpahan bermula berabad-abad lalu apabila rakyat Pagar Ruyung di Bukit Siguntang, Sumatera mencari pengganti raja yang mangkat. Yang menjadi masalah dua putera almarhum telah lama meninggalkan negeri itu, seorang ke negeri China dan seorang lagi pergi ke Rom dan anakanda ketiga almarhum pula adalah seorang puteri yang di panggil PUTI.

Masa berlalu, raja-raja dilantik semuanya mati tidak serasi, melalui tukang tilik, rakyat diberitahu bahawa cuma ada seorang sahaja yang sesuai dinobatkan menjadi raja, iaitu anak anakanda kepada puteri, tapi masalahnya, anakanda puti juga perempuan. Lantas, rakyat bukit siguntang mengelilingi rumah puti untuk mengambil anakandanya menjadi raja, puti membantah namun tak diendahkan.

'Kalau kamu berkehendak juga, ada pantang larangnya; anak dan keturunan beta tidak boleh memijak tanah, naik buaian dan menyentuh bunga sampai umurnya 13 purnama. KALAU INGKAR, TUNGGULAH BALA DATANG MENIMPA. Juga bila raja kamu mangkat, hendaklah tujuh orang menadah air mandian mayatnya, tujuh lagi melompat keluar dari tingkap dan cacakkan tombak ditanah.

Rakyat semua bersetuju, lalu anakanda puti pun dijadikan raja. Adat dan pantang larang terus dipatuhi sehinggalah warga bukit siguntang dan darah daging puti yang berketurunan rawa berhijrah , termasuk ke semenanjung tanah melayu. "Kenalilah susur-galur nasab keturunan kamu, supaya membawa kepada silaturahim” (Hadith:. Imam Tarmizi Ibnu Kathir vol 4, ms.218)

http://terombarawa.blogspot.com/2008/12/sejarah-rawa-di-tanah-melayu.html

4 comments:

Persatuan Jalinan Anak Rao Se M'sia (JARO) akan mengadakan seminar pada 25 Julai ini di UPSI, (seminar ini akan membentangkan b/b kertas kerja berkaitan sejarah, adat dan kebudayaan Rao) kalau dah jadi ahli masuk percuma.....tuanhamba dah jadi ahli? pergi ke?

Belum jadi ahli lagi....seronok juga kalau dapat pergi eh!

semua org keturunun Rao/Rawa dari sebelah ibu atau bapa atau melalui persemendaan dijemput menjadi ahli JARO. Yuran sebanyak rm 55 kalau jadi ahli seumur hidup. Kalau belum jadi ahli nak masuk seminar ini dikenakan bayaran rm20.... jadi eloklah jadi ahli supaya semua aktiviti yg persatuan jalankan nanti penyertaan percuma....cuba tenguk dn tanya di http://terombarawa.blogspot.com atau di http://sekondakhati.blogspot.com mengenai borang nak jadi ahli ini......minta tolong tuanhamba uwar2kan kpd semua kawan, sahabat dan saudara mara disebelah selangor...TKasih

Post a Comment