Monday 29 June 2009

Panglima Lidah Hitam - Pandeka Minang

Panglima Lidah Hitam atau nama sebenarnya Baginda Zahiruddin dipercayai berasal dari Padang Pariaman, Minangkabau, Sumatera, Indonesia. Menurut sejarah, beliau adalah orang pertama memperkenalkan silat Lintau di Indonesia dan seterusnya di Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke-16.

Ketika dalam perjalanan ke Makkah untuk menunaikan haji, beliau singgah di Padang (nama asal kawasan Parit Sakai hingga ke Parit Jamil). Disebabkan cuaca buruk, beliau tinggal agak lama di Padang sementara menanti perubahan musim angin yang lebih baik sebelum meneruskan pelayaran. Di Padang, beliau bertemu Orang Kaya Bauk, pemerintah Padang ketika itu. Orang Kaya Bauk meminta pertolongannya mengajar seni silat Lintau kepada anak muda di kawasan itu kerana kemahiran beliau dalam seni mempertahankan diri.

Secara kebetulan, pada masa itu lanun bermaharajalela di Selat Melaka. Orang Kaya Bauk meminta bantuan Panglima Lidah Hitam untuk menghapuskan ancaman lanun yang dikatakan mengganggu aktiviti penduduk setempat. Pada 1716, satu pertempuran hebat berlaku di muara Sungai Muar antara angkatan Padang dengan kumpulan lanun yang berlanjutan selama beberapa hari. Akhirnya angkatan Padang berjaya menumpaskan sebahagian besar kumpulan lanun terbabit.

Kejayaan itu tidak sempat diraikan Panglima Lidah Hitam apabila kapal yang dinaikinya karam selepas diserang saki baki kumpulan lanun berkenaan. Beliau dan beberapa pengiringnya lemas, namun kematiannya tidak disedari pengikutnya yang ketika itu sedang bertempur untuk menghapuskan saki baki lanun. Sehinggalah selepas beberapa hari tamat bertempur, seorang penduduk Parit Sakai ternampak dua mayat terapung dan tersangkut pada pokok Tuak di kuala parit berkenaan. Oleh kerana pada masa itu senja, mayat itu dibiarkan tanpa diusik.

Keesokan harinya, barulah penduduk kampung datang mengambil mayat terbabit ke darat. Satu daripada mayat itu mempunyai lidah yang panjang berwarna hitam dan berbulu. Anehnya mayat ini tidak busuk dan reput walaupun sudah beberapa lama berada di dalam laut. Jenazah berlidah hitam itu dimakamkan di tepi Parit Sakai. Difahamkan, selepas dimakamkan, satu perkara ganjil berlaku pada keesokannya. Penduduk mendakwa satu tumbuhan batu timbul di atas kedudukan kepala makam berkenaan yang berbentuk lidah dan berwarna hitam cerah. Sebelum ini, penduduk dikatakan meletakkan batu nisan kayu di kepala makam tetapi dilaporkan hilang dan tumbuh pula batu di tempat sama.

Apabila malam bulan purnama, batu itu akan bertukar warna menjadi hitam pekat. Disebabkan keganjilan yang berlaku di makam itu, ia dianggap keramat oleh penduduk dan dipanggil Keramat Lidah Hitam? Penduduk dikatakan membalut kain kuning pada batu yang berbentuk lidah itu sebagai menghormati sumbangannya kepada penduduk setempat dalam mengekalkan keamanan.

http://malay.cari.com.my/archiver/?tid-340836.html

3 comments:

mungkin ada keistimewaannya yang hanya Allah swt sahaja yang Maha Mengetahui....spt Almarhumah Tuan Gadih Pagaruyung Puti Reno Sumpu yang juga dikenali Tuan Gadih Berbulu Lidah Raja Alam Pagaruyung terakhir semasa penjajahan Belanda.....

'Tuan Gadih Berbulu Lidah Raja Alam Pagaruyung' . Cerita ini akan kita cari di internet insya Allah

Post a Comment