Monday 6 July 2009

Sejarah Temerloh

Sebelum Merdeka

Temerloh merupakan salah sebuah daerah yang terbesar di Negeri Pahang. Keluasannya ialah 3601.5 km persegi. Daerah ini terdiri daripada beberapa buah mukim yang ditadbir oleh penghulu-penghulu dan setiap mukim ini dibahagikan pula kepada bebarapa buah kampung yang dijaga oleh ketua-ketua kampung. Daerah Temerloh yang berkembang pesat pada hari ini mempunyai latarbelakang sejarah yang menarik. Menurut cerita seorang tokoh yang terkenal di Pahang iaitu Haji Zakaria Hitam, Bandar Temerloh yang ada sekarang berkembang dari penempatan sebuah kuala sungai di Sungai Pahang yang bernama Kuala Semantan. Beliau juga mengatakan bahawa nama lama bagi Temerloh ialah Kuala Semantan. Justeru itu adalah perlu untuk diketahui sejarah asal usul Kuala Semantan kerana dari sinilah lahirnya Bandar Temerloh.

Kuala Semantan pada asalnya merupakan sebuah kampung tua. Letaknya ialah di tanjung sebelah kanan kuala Sungai Semantan yang bertentangan dengan Kampung Bangau Parit. Mengikut ceritanya, nama 'Semantan'  itu mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Perkataan 'Semantan' itu terbit dari perkataan 'Seman Tahan'. 'Seman Tahan' merupakan seorang Brunei yang menetap di tanjung sebelah kanan kuala, salah sebuah anak Sungai Pahang. Osman yang dikenali sebagai Seman ini merupakan seorang yang pandai bersilat dan banyak ilmunya. Disebabkan oleh kepandaiaannya,maka ramai orang yang tinggal di sekitar tempatnya datang berguru dengan Seman. Disamping pandai bersilat, Seman juga mempunyai ilmu kebal. Kelebihan yang dimilikinya ini menyebabkan beliau digelar sebagai 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar kawasan itu. Nama 'Seman Tahan' semakin hari semakin masyur di kalangan penduduk di sepanjang sungai yang tidak bernama ketika itu. Oleh kerana kemasyurannya ini, maka nama 'Seman Tahan' diabadikan kepada sungai yang terdapat disitu.

Dari situlah nama sungai itu menjadi sungai Seman Tahan .Sungai Seman Tahan itu lama kelamaan menjadi sungai Semantan (mungkin untuk penyebutan yang mudah dan ringkas) dan kuala yang terdapat di Sungai Semantan masih kekal hingga ke hari ini . Oleh kerana ramai yang berpindah ke Kuala Semantan untuk berguru dengan Seman Tahan menyebabkan ia berkembang menjadi sebuah pekan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan yang terkenal semasa sebelum kedatangan British. Bersesuaian dengan perkembangan yang berlaku di Kuala Semantan, maka banyak kawasan-kawasan baru telah dibina untuk dijadikan kawasan penempatan. Nama Kuala Semantan dirasakan tidak bersesuaian dengan perkembangan kawasan baru ini kerana perkataan 'kuala' itu hanya meliputi kawasan sekitar pertemuan antara pintu Sungai Semantan dengan Sungai Pahang.

Oleh kerana itu nama Temerloh telah diambil bagi menamakan kawasan yang baru berkembang itu. Temerloh, seperti juga kawasan-kawasan lain di negeri Pahang, mendapat namanya melalui satu peristiwa yang berlaku di Kuala Semantan .Menurut Haji Zakaria Hitam (beliau mendapat cerita ini daripada orang-orang tempatan) nama Temerloh itu berpunca daripada perkataan 'mereloh'. Ini berdasarkan pada satu peristiwa yang berlaku di sebuah anak sungai di kiri hilir Sungai Pahang bertentangan dengan Pulau Temerloh. Pada suatu hari ada seorang Minangkabau mendarat di kuala anak sungai itu .Semasa beliau berada di kampung tersebut, beliau melihat seorang sakai yang asyik mereloh (tidur) sepanjang hari tanpa mempedulikan hal-hal lain. Dari peristiwa itulah terbitnya perkataan temerloh yang kemudiannya diambil untuk menamakan kawasan yang baru dibuka itu. Pendapat yang mengatakan nama Temerloh itu datangnya dari perkataan mengeloh juga dipersetujui oleh beberapa tokoh tempatan lainnya seperti Ishak Haji Muhammad dan Haji Omar walaupun peristiwa-peristiwa yang mereka ketahui agak berlainan sedikit .

Sebelum Kedatangan British

Sebelum kedatangan British, Temerloh merupakan sebuah kawasan yang aman dan damai. Pentadbirannya dikendalikan oleh Sistem Orang Besar. Dua Orang Besar Berempat yang mempunyai kawasan pegangan di Temerloh ialah Orang Kaya Indera Segara Temerloh dan Orang Kaya Indera Pahlawan Chenor. Orang Kaya Indera Segara Temerloh memerintah kawasan dari Sungai Triang sehingga ke sempadan Rembau dan Selangor .Sementara itu, Orang Kaya Indera Pahlawan Chenor memerintah kawasan antara Bera dengan Kuala Luit.

Orang Besar Berempat ini dibantu pula oleh Orang Besar Berlapan yang dilantik oleh Bendahara denga persetujuan Orang Besar Berempat. Empat Orang Besar Berlapan yang terdapat di Temerloh ialah :

         1. Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan Semantan .
        
2. Dato' Setia Lela Kerdau .
         3. Orang Kaya Setia Penggawa .

         4. Orang Kaya Dewa Pahlawan Bangau .

Selepas Orang Besar Berlapan, terdapat pula Orang Besar Berenam Belas yang dilantik oleh Orang Besar Berempat di dalam daerahnya dan mereka mendapat gelaran To' Muda. Orang Besar terutamanya Orang Besar Berempat di Pahang mempunyai peranan yang besar. Mereka diberikan hak untuk mengutip cukai dalam kawasan pegangan mereka. Kawasan pegangan pembesar ini merupakan kurniaan Sultan kepada mereka. Disamping itu, ia juga boleh menjatuhkan hukuman keatas kes-kes jenayah dan awam kecuali yang berkaitan dengan pentadbiran pusat. Orang Besar ini juga dikehendaki pergi ke Pekan setahun sekali untuk menyerahkan hasil kutipan yang dipanggil 'banchi' kepada Bendahara yang bertindak sebagai wakil Sultan .

Dari sudut sosialnya, penduduk-penduduk di Temerloh mengamalkan cara hidup yang mudah Rumah-rumah mereka didirikan daripada kayu-kayu yang didapati dari hutan. Mereka tidak memiliki barang-barang mewah. Apa yang lebih dipentingkan ialah mereka mendapat makanan yang cukup dan dapat berlindung di rumah yang sederhana. Malah pakaian mereka juga amatlah kurang. Pakaian seseorang itu hanya akan ditukar setelah ianya benar-benar tidak boleh digunakan lagi. Bila malam, anak-anak kecil akan tidur beramai-ramai dengan berkongsi sehelai selimut yang dibuat daripada kain seakan-akan guni tepung . Keadaan ini berbeza dengan golongan yang berada. Walau bagaimanapun bilangannya amatlah sedikit. Sungai merupakan sumber air yang penting di Temerloh. Ia digunakan untuk keperluan-keperluan harian seperti memasak dan membasuh. Sungai juga merupakan alat perhubungan yang utama bagi penduduk di sini dan jenis pengangkutan yang lazim digunakan ialah perahu dan rakit .Dan sungai utama yang terdapat di daerah ini ialah Sungai Semantan dan Sungai Pahang.

Dari segi pendidikan pula, tidak dapat dipastikan samada telah terbentuk satu pendidikan yang formal atau tidak tetapi yang jelas, pendidikan agama memang diberikan kepada anak-anak penduduk di daerah ini. Anak-anak ini diajar sendiri oleh ibubapa mereka atau mereka dihantar ke tempat lain seperti surau untuk belajar dengan tok guru . Guru-guru yang mengajar ini tidak mendapat apa-apa bayaran melainkan sedekah-sedekah yang diberi oleh para ibubapa secara ikhlas. Dari sudut penempatan, didapati pola kediaman dan penyebaran penduduk bagi Daerah Temerloh ditentukan oleh aliran sungai. Antara kawasan-kawasan yang padat penduduknya di Temerloh ialah di Kuala Sungai Semantan, di Triang, di Chenor dan di Sungai Tembeling.  Dari sudut komposisi penduduk, kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu dan orang Asli. Walau bagaimanapun terdapat bangsa-bangsa lain seperti Cina dan Arab tetapi bilangannya amatlah sedikit.

Semasa pemerintahan British

British mula campur tangan secara rasmi dalam hal-hal pentadbiran di Pahang pada 1888 iaitu apabila John Pickeragill Rodger dilantik sebagai Residen British yang pertama di Pahang. Walau bagaimanapun, pentadbiran British yang sepenuhnya hanya bermula pada 1 Julai 1889. Dengan campur tangan ini, secara tidak langsung Temerloh menerima pengaruh British. J.P Rodger telah melantik beberapa orang pegawai British untuk membantunya mentadbir jajahan-jajahan. Pegawai-pegawai ini juga telah bertindak sebagai Pemungut Hasil (collector) dan Hakim (magistrate).

Bagi jajahan Temerloh, E.A.Wise telah dilantik sebagai Pentadbir British yang pertama. Tugas pegawai Inggeris yang dilantik adalah sebagai wakil kerajaan di peringkat jajahan dan ia bertanggungjawab terhadap pembangunan sesebuah jajahan . Oleh kerana itu, ia mestilah mengetahui selok belok kawasan pentadbirannya. Dalam hal ini, Sadka menyatakan bahawa seseorang pegawai itu haruslah mempunyai maklumat lengkap tentang keadaan dan keperluan kawasan yang dijaganya. Dalam pentadbiran yang baru ini, banyak perubahan telah dilakukan untuk memudahkan lagi pentadbiran, antaranya ialah pengenalan sistem pentadbiran berasaskan penghulu. Menurut Haji Yahya, sistem penghulu ini mula diperkenalkan pada sekitar tahun 1887. Penghulu-penghulu yang dilantik diletakkan di setiap mukim sebagai ketua.

Walau bagaimanapun, penghulu-penghulu ini tidak mempunyai kuasa yang luas kerana ia tertakluk di bawah kekuasaan Pegawai Daerah Inggeris. Selain daripada itu, peraturan-peraturan baru yang diperkenalkan telah mencabar kewibawaan kepimpinan tradisional di Pahang Perubahan ini telah mnegubah kedudukan dan peranan Raja serta pembesar-pembesar negeri. Pentadbiran harian telah diambil alih oleh Residen British dan pegawai-pegawainya. Kalau dulu pembesar begitu berkuasa di dalam kawasan jagaannya tetapi setelah British mentadbir mereka tidak lagi dibenarkan bertindak sesuka hati seperti memungut cukai tanpa kebenaran pihak British. Kerana inilah juga berlakunya Perang Semantan.

Perang Semantan ini dipimpin oleh seseorang pembesar bernama Dato' Bahaman. Punca utama pemberontakan ini ialah rasa tidak puas hati orang-orang Besar Pahang, terutamanya sekali Dato' Bahaman (Orang Kaya Semantan) terhadap campur tangan British ke atas kawasannya. Sebenarnya ketegangan di antara Dato' Bahaman dengan pihak British telah bermula sejak tahun 1890 lagi tetapi ketegangan itu memuncak pada tahun 1891. Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 bilamana Dato' Bahaman dikatakan telah marah dan mengata-ngata E.A Wise (Pegawai Jajahan Temerloh) kerana E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua iaitu satu tempat yang termasuk dalam kawasan Dato' Bahaman, tanpa terlebih dahulu berunding dengnnya.

Apabila Hugh Clifford ( Pemangku Residen British Pahang ketika itu ) mengetahui hal tersebut, beliau telah menasihatkan Sultan dan baginda kemudiannya memanggil Dato' Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat. Oleh kerana Dato' Bahaman enggan ke Pekan, Sultan telah mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan. Tindakan melucutkan pangkat dan taraf itu menyakitkan hati Dato' Bahaman. Keadaan ini menyebabkan Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap C.E.M Deaborough dan pengikut-pengikutnya pada 15 Disember 1891 ketika mereka sedang mudik Sungai Semantan. Serangan itu dilakukan oleh Dato' Bahaman kerana ia menyangka Desborough datang untuk menangkapnya. Dalam serangan yang mengejut itu, pihak Desborough telah kalah dan beliau melarikan diri ke Bandar Temerloh .

Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu, pegawai-pegawai British di seluruuh Pahang mula sibuk mengatur tentera mereka untuk melawan orang-orang Melayu yang menentang British .Ekoran dari itu, pada 21 Disember 1891, satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud telah pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato' Bahaman. Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak British dengan Dato' Bahaman tetapi pihak British sekali lagi mengalami kekalahan. Setelah keadaan di Temerloh aman, barulah British menjalankan semula pentadbiran hariannya. British telah mengadakan perubahan sedikit demi sedikit kerana ia menganggap pentadbiran dan pemerintahan tradisional tidak teratur. Pembesar daerah dianggap tidak faham dengan sistem pentadbiran dan pembolotan hasil-hasil daerah dianggap tidak menguntungkan kerajaan. Tujuan British mengambil alih pemerintahan itu bukan untuk kebajikan rakyat tetapi lebih kepada untuk mengeksploitasi ekonomi masyarakat tempatan.

Dalam usaha menjaga jajahan ini, pegawai-pegawai British telah diarah untuk mendapatkan kerjasama penghulu dan ketua kampung. Disamping itu, pegawai-pegawai British ini juga mempunyai satu badan pentadbiran yang tersendiri di jajahan masing-masing. Badan ini terdiri daripada pegawai british (bertindak sebagai penolong pengutip hasil), Ketua Kerani dan pembantu-pembantu lain yang terdiri daripada tiga bangsa utama, Melayu, Cina dan India. Oleh kerana pegawai British ini terpaksa berbaik-baik dengan Penghulu untuk menjalankan pentadbirannya di peringkat jajahan, peranan Penghulu ketika itu menjadi penting kerana kemajuan dan pembangunan sesebuah mukim bergantung kepada kebolehan penghulu masing-masing. Disamping itu, Penghulu juga mesti mempastikan dasar pemerintahannya dan arahannya diikuti tanpa bantuan, serta melaporkan pandangan anak buahnya kepada kerajaan. .

8 comments:

Oooo..berarti masuk Pahang ya?

Tuan Paduko, terima kasih atas Info. Saya pernah berjumpa Allahyarham Dato (tak pasti) Zakaria Hitam ni, seorang budayawan/pakar sejarah Negeri Pahang pada awal tahun sembilan puluhan. Ada beberapa buku yang ditulis oleh beliau.

Ye ke? Adakah tidak mengenai orang minang/rawa di Pahang sebab kita sedang mencari 'rahsia' keturunan kita

Rasanya ada sedikit, tapi itu pun waktu peperangan di Klang. Nantilah saya carikan... InsyaAllah.
Tuan Paduko...saya mohon maaf sebanyak-banyaknya. Saya dah bertanya terlalu banyak pasal
Tuan Paduko..cuma ingin lebih mengenali orang baik seperti Tuan Paduko. Tak lebih dari itu.

Kalau keturunan Pahang, Terengganu konon ada...di wilayah Loloan, Bali bercampur dengan Bugis dan keturunan Melayu dari Pontianak sejak abad ke-17

"Saya dah bertanya terlalu banyak pasal Tuan Paduko..cuma ingin lebih mengenali orang baik seperti Tuan Paduko"
Kita bukanlah golongan orang baik2 sebagaimana Paduka harapkan....cuma musafir di bumi allah sahaja, tidak lebih dari itu...kepada yang sudi maka terima kasih kita ucapkan serta kesejahteraan dunia akhirat kita doakan...

Wilayah loloan, Bali..wah..betul ke?

Post a Comment