Monday 6 July 2009

Sejarah Ringkas Pembesar Pahang - Ku Alam @ http://forum.myspace.com

1,   Nama sebenar Dato' Bahaman adalah Abdul Rahman. Ayahnya bernama Tuanku Imam Nuh berasal dari Bangkinang. Ibunya adalah Rokiah Abdul Rahman, anak Tok Setia Perkasa Semantan yang berketururnan Bugis dari Sulawesi Selatan. Beliau juga lebih dikenali sebagai Seman adalah seorang yang pandai bersilat dan juga mempunyai ilmu kebal . Kelebihan yang dimilikinya ini menyebabkan beliau digelar sebagai 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar kawasan itu. Nama 'Seman Tahan' semakin hari semakin masyur di kalangan penduduk di sepanjang sungai yang tidak bernama ketika itu sehinggakan sungai itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan British. Perang Semantan ini dipimpin oleh seseorang pembesar bernama Dato' Bahaman . Punca utama pemberontakan ini ialah rasa tidak puas hati orang-orang Besar Pahang , terutamanya sekali Dato' Bahaman (Orang Kaya Semantan) terhadap campur tangan British ke atas kawasannya .

Sebenarnya ketegangan di antara Dato' Bahaman dengan pihak British telah bermula sejak tahun 1890 lagi tetapi ketegangan itu memuncak pada tahun 1891. Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 bilamana Dato' Bahaman dikatakan telah marah dan mengata-ngata E.A Wise (Pegawai Jajahan Temerloh) kerana E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua iaitu satu tempat yang termasuk dalam kawasan Dato' Bahaman , tanpa terlebih dahulu berunding dengannya . Apabila Hugh Clifford ( Pemangku Residen British Pahang ketika itu ) mengetahui hal tersebut , beliau telah menasihatkan Sultan dan baginda kemudiannya memanggil Dato' Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat. Oleh kerana Dato' Bahaman enggan ke Pekan , Sultan telah mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan .

Tindakan melucutkan pangkat dan taraf itu menyakitkan hati Dato' Bahaman . Keadaan ini menyebabkan Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap C.E.M Deaborough dan pengikut-pengikutnya pada 15 Disember 1891 ketika mereka sedang mudik Sungai Semantan. Serangan itu dilakukan oleh Dato' Bahaman kerana ia menyangka Desborough datang untuk menangkapnya Dalam serangan yang mengejut itu , pihak Desborough telah kalah dan beliau melarikan diri ke Bandar Temerloh . Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu , pegawai-pegawai British di seluruuh Pahang mula sibuk mengatur tentera mereka untuk melawan orang-orang Melayu yang menentang British .Ekoran dari itu , pada 21 Disember 1891 , satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud telah pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato' Bahaman . Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak British dengan Dato' Bahaman tetapi pihak British sekali lagi mengalami kekalahan .

2.   Maharaja Indera Perba Jelai merupakan gelaran bagi salah seorang Orang Besar Berempat di negeri Pahang Darul Makmur. Gelaran ini digunakan oleh Sri Maharaja Purba yang berasal dari Minangkabau dan kemudiannya diturunkan kepada anak angkatnya Raja Muda. Raja Muda berkahwin dengan anak saudara Sri Maharaja Purba dan kemudian gelaran diturunkan kepada anaknya Wan Ismail dan seterusnya. Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai Wan Muhammad bin Wan Idris atau lebih dikenali sebagai Tok Raja Wan Muhammad merupakan salah seorang pembesar negeri Pahang yang sangat berpengaruh satu ketika dahulu dan merupakan pengikut setia Bendahara Wan Ahmad yang kemudiannya menjadi Sultan Pahang dengan nama Sultan Ahmad Al-Muazzam Shah
(memerintah:1863-1914).
Beliau menguasai kawasan dari Tanjong Lindong sepanjang Sungai Jelai (Sungai Pahang dan Sungai Jelai) hingga ke sempadan-sempadan negeri Perak dan negeri Kelantan (kecuali Sungai Lipis), dan dari Kuala Tembeling sampai ke Pasir Durian.

(SUMBER DARIPADA: SEJARAH PAHANG KARANGAN HAJI BUYONG BIN ADIL (1972) DAN WAN MUHAMMAD BIN WAN IDRIS: DATUK ORANG KAYA INDRA MAHARAJA PURBA JELAI KEENAM DAN PERANANNYA DALAM PERANG SAUDARA PAHANG)

3.  Pada tahun 1803M (1224H), Wan Pahang bin Tun Wok ( Wan Muhammad b. Tun Abdul Latif, Maharaja Perba Jelai I ) telah dikahwinkan oleh Sultan Johor-Linggi (Sultan Abdul Jalil) dengan Tok Meriam (Nama sebenar beliau mungkin Tun Mariam iaitu anak Yam Dipertuan Daing Celak). Hasil perkahwinan tersebut, antara tahun 1804 dan 1805 lahirlah seorang anak lelaki yang diberi nama Wan Daud b. Wan Pahang. Tinggallah beliau di Pahang untuk beberapa ketika. Apabila beliau telah meningkat dewasa beliau telah dihantar ke Riau untuk mendalami ilmu agama daripada Imam Bonjor selama 20 tahun. Ini adalah sebagai persiapan menggantikan ayahanda beliau selaku Seri Maharaja Perba Jelai pemegang hukum syarak di samping Wan Ideris bin Tun Wok, Indera Mahajara Perba Jelai pemegang hukum adat. Pada penghujung tahun 1840-an atau awal tahun 1850-an, Wan Daud kembali dari Riau untuk menggantikan ayahanda beliau menjaga Kuala Kuantan.

Semasa beliau di Kuala Kuantan, beliau telah menjadi Kepala Perang kepada 70 kepala tentera, beliau turut dikenali sebagai “Tok Daud 7 Lapis”. Beliau hidup sederhana walaupun memiliki lombong emas di Bukit Selingsing. Justeru sifat pemurah dan dermawan beliau terutama kepada mereka yang akan berlepas ke Tanah Suci Mekah, beliau diberi gelaran Orang Kaya Haji. Di era 1850-an Pahang dilanda Perang Saudara antara Tun Ahmad dan Tun Mutahir atas pertelingkahan merebut jawatan Bendahara Siwa Raja selepas kemangkatan ayahanda mereka Bendahara Siwa Raja Tun Ali. Pada penghujung tahun 1850-an, Perang Saudara antara Wan Ahmad (Tun Ahmad) dengan Wan Mutahir (Tun Mutahir) masih berlarutan. Wan Daud pada awalnya tidak menyertai perang berkenaan. Beliau menganggap bahawa perebutan jawatan berkenaan telah diselesaikan bersama Sultan Abu Bakar Johor apabila jawatan Bendahara Siwa Raja diserahkan kepada Wan Mutahir dengan syarat dilantik Wan Ahmad sebagai Bendahara Muda selepas beliau.

Wan Daud hanya menyertai perang pada penghujung 1850-an atau awal 1860-an apabila berlaku pembunuhan terhadap bapa saudara sepupu beliau iaitu Wan Embung bin Tun Muhammad bin Tun Abdul Latif oleh salah seorang pengikut Tun Mutahir. Kepala jenazah Wan Embung telah dipancung dan diwar-warkan sebagai penderhaka. Di samping itu, rakyat di Tanah Hulu didenda 4 mayam emas atau anak isteri dirampas dan dijadikan tebusan. Rentetan itu, Wan Daud telah menyebelahi pasukan Wan Ahmad yang turut disertai oleh pasukan bapa saudara beliau Wan Ideris bin Wan Muhammad (Tun Wok) dan sepupu beliau Wan Muhammad bin Wan Ideris yang ketika itu bergelar Orang Kaya Setia Muda.

Pada tahun 1863, Perang Saudara pun tamat di mana pihak Tun Ahmad telah memenangi perang berkenaan. Atas sumbangan beliau dalam perang berkenaan, pada jam 2.00 petang hari Ahad 16 Rejab 1280H bersamaan 27 Disember 1863, Wan Daud bin Wan Pahang diberi gelaran Seri Maharaja Setia Raja dengan anugerah air Lipis cucur ke Lipis hingga ke puncak air meleleh melalui watikah kurnia Bendahara Siwa Raja. Perlantikan ini telah diperkenankan oleh Sultan Abu Bakar Johor. Sekitar tahun 1860-an hingga 1880-an, Pihak Inggeris telah datang ke Pahang bertemu pembesar Tanah Ulu bagi mengadakan mesyuarat dan perbincangan untuk mendapatkan persetujuan bersama kompeni Inggeris. Antara pertemuan yang penting adalah pertemuan pembesar tanah ulu bersama Sir Hugh Charles Clifford di sekitar tahun 1880-an.

Melalui mesyuarat tersebut, Wan Muhammad (bergelar Orang Kaya Setia Muda) yang mewakili bapa beliau Wan Ideris telah bersetuju menerima pencen setiap bulan. Manakala Wan Daud yang mewarisi pusaka ayahanda beliau tidak bersetuju menerima pencen tetapi menggantikannya dengan cukai. Inggeris membawa keputusan mesyuarat dan perbincangan ini ke England untuk pertimbangan dan persetujuan Inggeris. Atas perintah Inggeris, Wan Daud turut mendaftarkan tanah-tanah yang diperlukan beliau seperti lombong emas, sawah, ladang, rumah kediaman, kampung halaman dan sebagainya. Menurut maklumat yang diterima, sebanyak 10 kawasan telah didaftar oleh beliau dan digerankan oleh pemerintah Inggeris.

Beliau turut membina rumah kediaman baru di Budu bagi menggantikan tapak rumah beliau di Kuala Lipis yang dicadangkan untuk dijadikan kepala Negeri Pahang. Dimaklumkan bahawa sekiranya kepala negeri ditukarkan ke tempat lain, maka hak pusaka di Kuala Lipis hendaklah dikembalikan kepada pewarisnya masing-masing. Beliau membina sebuah rumah baru di Kampong Tanjung Tualang, Budu yang dikenali sebagai Rumah Gedang. Wan Daud juga dikatakan telah pergi bersama Tok Teh ke Johor menemui Sultan Abu Bakar di Istana Johor (Muzium Negeri Johor Sekarang) untuk menyerahkan surat persetujuan beliau dengan pihak Inggeris. Apabila rumah berkenaan siap, beliau pulang ke Kuala Lipis untuk membuat persiapan berpindah ke rumah baru tersebut. Beliau meminta penduduk kampung untuk membantu beliau membawa segala kelengkapan, peralatan dan barangan beliau berpindah ke Budu. Peristiwa ini berlaku di sekitar penghujung tahun 1888 atau awal tahun 1889.

Tindakan mengumpul penduduk kampung ini telah digunakan untuk memfitnah beliau yang kononnya sedang mengumpul tentera dan penduduk kampung untuk menyerang Pekan. Kesempatan ini telah digunakan untuk membunuh Wan Daud Seri Maharaja Setia Raja yang kononnya atas arahan Baginda Sultan. Beliau difitnah sebagai gila, hilang akal, mengamuk dan mesti ditembak mati. Inilah yang dirakam oleh buku sejarah kita seperti yang diungkap dalam buku Sejarah Pahang karangan Haji Buyong b. Adil. Gugurlah beliau dengan tiga das tembakan. Pertama di buku lali, kedua di peha dan ketiga di dahi. Kisah sebenar berhubung punca dan alasan pembunuhan beliau tetap menjadi simpanan dan kenangan pahit waris keturunan ini.

Sebaik sahaja rebah, Wan Muhammad menerpa dan memangku beliau. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, beliau sempat berpesan kepada Wan Muhammad, “sekiranya aku meninggal, janganlah engkau kuburkan aku di Bukit Betong, kuburkanlah aku berdekatan kubur guruku di Tanjung Rambai”. Sesudah melafazkan kata-kata tersebut, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam usia lebih kurang 84 tahun. Gugurlah seorang pahlawan yang setia kepada Raja dan sentiasa sedia membela agama, bangsa dan tanah air. Bersemadilah beliau di sana sebagaimana amanat sebelum kemangkatan beliau

 

3 comments:

kenangan pahit ini kami bawa bersama dari satu generasi ke satu generasi Megat !.....

mengikut silsilah yg ada pada saya, isteri Wan Pahang bernama Tok/ Tun Meriam anak kepada Daing Kemboja yang berkahwin dgn Tengku Fatimah..... Tengku Fatimah adalah anakanda kepada Tengku Puan Mandak dan Daing Celak.... Tengku Puan Mandak adalah anakanda Tun Abdul Jalil @ Sultan Abdul Jalil (Johor Riau)... wallahualam

Semangat sebegini patut dijadikan pegangan keturunan Marhum!

Post a Comment