Wednesday 11 May 2011

Pengertian Zuhud


Daripada banyak-banyak sifat mahmudah Nabi saw yang dibahaskan oleh para ulama, antara sifatnya yang baik boleh kita ikut @ amalkan ialah sifat zuhudnya. Rasulullah saw bersabda maksudnya, “Jika kamu hendak dikasihi Allah, maka hendaklah kamu zuhud dengan dunia”, maka untuk mendapat kasih saying Allah SWT, perlulah kita zuhud kepada dunia. Ini tidak bermakna kita menolak dunia, tetapi keduniaan sekadar keperluan selebihnya digunakan di jalan Allah SWT.

Mengikut
Sayyidina Ali, zuhud adalah kunci kepada keselamatan manusia dan meletakkan orang zuhud sebagai orang kesayanganNya. Firman Allah SWT “
Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang (anak Adam) mempunyai dua hati dalam rongga dadanya..” (Al-Ahzab:4). Hati manusia ini kalaulah tanpa zuhud, nescaya akan diisi dengan cinta dunia. Orang zuhud pula mengambil dunia sekadar perlu dan selebihnya digunakan untuk jalan Allah swt.

Secara ringkas, hakikat zuhud ialah menyingkirkan apa apa yang semestinya disenangi dan diingini oleh hati, kerana yakin ada sesuatu yang lebih baik untuk meraih darjat @ maqam yang tinggi di sisi Allah SWT. Syeikh Abu al-Qasim Karim Hawazin al-Qushairi dalam risalah al-Qushairiah menyebut bahawa Allah SWT memberikan gambaran tentang kesempurnaan zuhud menerusi firmanNya yang bermaksud: "Katakanlah (Wahai Muhammad), sesungguhnya kesenangan dunia itu hanyalah sementara sedangkan akhirat jualah yang lebih baik bagi orang yang bertaqwa." (Surah al-Nisa 4:77).

Daripada Abu Abbas, Sahl bin Sa'ad al-Sa'idy telah berkata, "Telah datang seorang lelaki kepada Nabi saw lalu berkata: "Ya Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku satu amalan yang sekiranya aku laksanakannya nescaya aku akan dicintai Allah dan dicintai manusia." Lantas Rasulullah saw menjawab: "Berlaku zuhudlah di dunia nescaya engkau dicintai Allah. Berlaku zuhudlah pada apa yang ada di tangan manusia, nescaya engkau dicintai manusia." (Riwayat oleh Ibn Majah)

Takrif Zuhud

Apakah erti sebenar zuhud? Apakah dengan meninggalkan dunia dan menumpukan tujuan pada akhirat semata-mata itu dikira zuhud? Mengikut para ulama: "Bukanlah zuhud itu mengharamkan yang halal dan mensia-siakan harta tetapi sesungguhnya zuhud itu adalah apabila kamu lebih yakin dengan apa yang ada di sisi Allah SWT berbanding dengan apa yang ada pada kamu".

Satu kisah seorang sahabat Nabi ternama,Haritsah. Nabi saw bertanya “Bagaimana kamu hari ini, wahai Haritsah?” Dia menjawab, “Aku sungguh beriman, ya Rasulullah.” “Apa buktinya?” tanya baginda. Dia menjawab “Aku telah memalingkan jiwaku dari dunia ini. Itulah sebabnya di siang hari aku haus dan di malam hari kau terjaga, dan rasa rasanya aku melihat Arasy Tuhanku menghampiriku, dan para penghuni syurga sedang bersuka ria dan para penghuni neraka sedang menangis.” Nabi SAW bersabda “Itulah seorang mukmin yang hatinya telah dibukakan Allah SWT. Kau telah tahu Haritsah, maka camkanlah.”

Imam Ahmad Ibnu Hambal mengklasifikasikan tingkatan zuhud :

  • Zuhudnya orang kebiasaan ialah meninggalkan perkara-perkara yang haram.
  • Zuhud orang yang khawas (khusus) iaitu meninggalkan hal yang berlebih lebihan (al- fudhul) meskipun barang halal.
  • Zuhud orang Arif iaitu meninggalkan segala sesuatu yang dapat memalingkan daripada mengingati Allah SWT.

Al Imam Ghazali pula membahagikan zuhud kepada tiga peringkat :

  • Tingkat terendah ialah menjauhkan dunia agar terhindar dari hukuman di akhirat.
  • Tingkat kedua ialah mereka yang menjauhi dunia kerana ingin mendapatkan imbalan di akhirat
  • Tingkat tertinggi ialah zuhud yang ditempuh bukan lagi kerana takut atau harap, tetapi semata mata kerana cinta kepada Allah SAW.

Imam Malik r.a. berkata: "Zuhud itu terdiri daripada tiga huruf iaitu : Zai bermaksud bekalan menuju ke akhirat, Ha pula bermaksud hidayah menuju agama, dan dal bermaksud istiqamah dalam melaksanakan ketaatan."

Kisah sifat zuhud Salman al-Farisi

Gabenor Kufah ini telah menghairankan manusia yang menziarahinya pada hari-hari terakhirnya di dunia ini dengan tangisannya. Apabila ditanya mengapa beliau menangis, Salman menjawab: "Sesungguhnya aku teringat sabda kekasihku, "Hendaklah kamu mengambil bekalan dari dunia ini seperti bekalan orang yang bermusafir." (Riwayat Ahmad dan Ibn Hibban).

Selepas mengucapkan sabda Rasulullah saw, Salman menyambung kembali ucapannya, "Sedang kita telah mengambil seluruh dunia ini berserta isinya". Penduduk Kufah melihat tiada satu pun dari dunia ini dimiliki oleh seorang Gabenor seperti Salman kecuali:

  • Sebatang tongkat untuk berjalan.
  • Sehelai kain serban yang besar untuk hamparan bagi tetamu dan untukkegunaan ketika menghakimi.
  • Sebiji cawan besar untuk minum, berwuduk dan pelbagai kegunaan harian.

Maka mereka bertanya Salman: "Wahai Gabenor, sesungguhnya kami melihat apa-apa dunia pun daripadamu kecuali keperluanmu  terhadap tiga benda ini sahaja”. Salman menjawab: "Itulah yang aku fikirkan. Bagaimana akan aku jawab di hadapan Allah s.w.t. terhadap tiga benda yang aku miliki ini."

Perjalanan Zuhud

Syeikh Ibrahim bin Adham pernah ditanya seorang lelaki: "Bagaimana cara engkau mencapai darjat orang zuhud?" Ibrahim menjawab: "Dengan tiga hal, Pertama, aku melihat kuburan itu sunyi dan menakutkan, sedang aku tidak menemukan orang yang dapat mententeramkan hatiku disana. Kedua, aku melihat perjalanan hidup menuju  akhirat itu amat jauh, sedang aku tidak memiliki cukup bekal. Ketiga, aku melihat Rab Yang Maha Kuasa menetapkan satu keputusan atasku, sedang aku tidak punya alasan keputusan itu."  (Imam al-Nawawi, Nasaih al-Ibad).


4 comments:

Semoga aku sedar di mana arah tuju diri ini....!

Aiyoo ... Hw can I miss such great sharing frm u, Abg MPA???
Syukur pd Allah krn membuka hati Aisya utk merisik masuk ke dlm blog Abg MPA :-)

Adussss....maklumlah kita tk encem....tua pulak tu....kekekekekekekekeke :)

Post a Comment