Thursday 4 March 2010

Asuhan Rijalul Ghaib

Syeikh Mahmud dapat mengenali seseorang itu wali Allah atau tidak melalui suara bisikan Rijalul Ghaib ditelinganya. Suara itu akan memberitahu kepada beliau : ”Orang ini wali, orang ini tidak.” Menurut Syeikh Mahmud, Rijalul Ghaib adalah lelaki manusia biasa yang telah mencapai taraf ahlullah kemudian mereka ini Allah masukkan kedalam alam kemalaikatan (tidak makan, tidak minum, tidak tidur dan tidakmempunyai syahwat jantina) tetapi bukanlah mereka menjadi malaikat. Mereka ini semuanya adalah tentera Khidir a.s. yang mendiami di Bumi Putih.


Ketika berusia 3 tahun, Syeikh Mahmud telah mendapat bimbingan daripada Rijalul Ghaib. Rijalul Ghaib telah mentalqinkan kepada beliau kalimah "laa ila ha illAllah Muhammadur Rasulullah". Mereka telah menyuruh Syeikh Mahmud berzikir dengan kalimah ini. Rijalul Ghaib juga mengasuh beliau untuk makan, minum dengan tangan kanan, memakai kasut dengan kaki kanan dahulu dan menanggalkannya dengan kaki kiri. Ringkasnya, pada usia ini beliau telah dididik oleh Rijalul Ghaib untuk menggunakan tangan kanan dan tangan kiri, kaki kanan dan kaki kiri dengan cara yang muafakat dengan Sunnah Rasulullah s.a.w


Semasa berkawat di padang sekolah beliau telah disuruh oleh Rijalul Ghaib supaya memulakan langkah dengan kaki kanan dahulu dan menyebut ’kanan kiri’ tidak seperti yang dilakukan pelajar-pelajar lain. Pelajar-pelajar lain berkawat dengan memulakan langkah kaki kiri dahulu sambil menyebut ’kiri kanan.’ Peristiwa ini berlaku semasa beliau belajar di Sekolah Melayu. Rijalul Ghaib juga mengajar Syeikh Mahmud berdoa kepada Allah untuk apa jua hajat yang diingini, tujuannya supaya beliau lebih yakin dengan Allah.


Semenjak usia beliau 7 tahun lagi, Allah s.w.t. telah memperlihatkan kepada beliau melalui Rijalul Ghaib, Nabi Ibrahim a.s. sedang bersandar di Baitul Makmur setiap kali menghadiri kuliah bacaan kitab Isra’ Mikraj di bulan Rejab yang diadakan di masjid atau surau pada setiap tahun. Pernah suatu ketika, semasa beliau berusia 9 tahun, Syeikh Mahmud terlihat sarang burung tempua di atas pokok kelapa yang tinggi. Syeikh Mahmud yang dipanggil oleh datuknya sebagai 'Awang’ sangat suka bermain dengan anak burung. Syeikh Mahmud berhajat untuk mendapatkan anak burung di atas pokok kelapa yang tinggi itu. Lalu Rijalul Ghaib pun menyuruh Syeikh Mahmud berdoa kepada Allah. Beliau pun berdoa dengan berkata : “Ya Allah turunkanlah angin bagi burung jatuh.”


Selesai sahaja beliau berdoa, angin pun datang bertiup lalu terkabullah hajat beliau. Datuknya yang melihat kebolehan cucunya itu berkata :

”Kamu ambil mana burung ni?”. ”Langut tengok (pandang atas)... burung jatuh”, kata Syeikh Mahmud. ”Hang (kamu) ni keramat!”, sampuk datuknya pula. “Keramat tak keramat, mana tahu, (tapi) anak burung ada dalam tangan.” Ujar Syeikh Mahmud pula. Semasa bermain sorok-sorok dengan kawan-kawannya, Rijalul Ghaib mengajar Syeikh Mahmud berdoa kepada Allah agar melindungi dirinya daripada pandangan rakan-rakannya. Akhirnya rakan-rakan Syeikh Mahmud tidak dapat mencarinya walaupun Syeikh Mahmud ada di hadapan mereka.


Pada suatu hari semasa bermain dengan kawan-kawan, Syeikh Mahmud telah bercakap dengan Fadhil, salah seorang kawannya. ”Hang nak tak aku ajar ilmu melesap (ilmu ghaib)?” ”Nak”, jawab Fadhil. Syeikh Mahmud pun mengajar Fadhil doa untuk menghilangkan diri, iaitu: ”Ya, Allah. Ya Tuhanku, lindungilah aku daripada pandangan kawan-kawanku”. Fadhil pun berdoa sebagaimana yang diajar oleh Syeikh Mahmud, tetapi doanya tidak dimakbulkan. ”Aku buat tak jadi pun”, kata Fadhil. ”Mana aku tahu”, ujar Syeikh Mahmud pula.


Pernah suatu masa, beliau bermain sorok-sorok di dalam telaga selepas hujan bersama rakan-rakannya. Apabila beliau masuk ke dalam telaga beliau pun membaca doa agar kawan-kawannya tidak boleh melihat dirinya. Akhirnya kawan-kawan beliau bergegas balik ke rumah dalam keadaan cemas kerana mereka menyangka bahawa Syeikh Mahmud telah mati lemas selepas mereka puas mencarinya tetapi tidak ditemui. Dengan asuhan datuk dan dorongan daripada Rijalul Ghaib, apabila usianya mencecah 7 tahun, beliau telah mula bersembahyang. Pernah suatu ketika sewaktu berumur 9 tahun, beliau telah tertidur selepas solat Maghrib sehingga terlajak ke larut malam. Semasa tidur itu Rijalul Ghaib telah membuka gambaran api neraka kepada beliau di dalam mimpinya, lalu beliau pun terjaga dalam ketakutan dan teringat solat Isyak belum ditunaikan lagi. Beliau pun bangun lalu berwudhu’ dan menunaikan solat Isyak. Semenjak itu, beliau tidak pernah meninggalkan solat.


Zaman kanak-kanak Syeikh Mahmud tidak tercemar dengan amalan yang tidak bermoral kerana mendapat kawalan dan bimbingan daripada Rijalul Ghaib. Sekiranya beliau terjerumus melakukan perkara yang tidak baik, Rijalul Ghaib akan mempamerkan kepada beliau gambaran api neraka lalu beliau pun menjadi takut. Semenjak itu beliau akan berhati-hati agar tidak melakukan perkara yang bercanggah dengan syariat. Pada tahun 1956 Masehi ketika Syeikh Mahmud belajar di Pondok Pasir Tumbuh, Syeikh Mahmud pernah menziarahi makam Tok Kenali, seorang ulama’ dan wali Allah yang terkenal di Alam Melayu. Semasa menziarahi makam ini Rijalul Ghaib telah memberi teguran terhadap pemikiran beliau pada masa itu. 


Pada mulanya Syeikh Mahmud terfikir : “Buat apa aku nak minta daripada dia (Tok Kenali), dia pun dah mati, bukan boleh buat apa-apa pun lagi.” Tiba-tiba beliau terdengar suara Rijalul Ghaib yang berkata: “Bukan macam itu Mahmud, bila kita datang ziarah makam orang-orang soleh, kita hadiahkan bacaan Al-Quran pada mereka kemudian bacalah doa sebegini “Ya, Allah, kau anugerahkanlah kepada hambaMu ini keimanan, ketaqwaan dan kesolehan sebagaimana keimanan, ketakwaan dan kesolehan yang telah Kau anugerahkan pada mereka.”


Rijalul Ghaib telah mengajar beliau adab menziarahi makam para solehin dan yang paling penting ialah supaya kita jangan syirik dengan makam-makam orang soleh sebagaimana yang dilakukan oleh manusia-manusia yang jahil dan taksub dengan wali-wali Allah. Syeikh Mahmud amat tidak menyenangi sikap sebahagian kaum muslimin yang keterlaluan ketika menziarahi makam para auliya’ sehingga membuat amalan bid’ah dan syirik.


“Mereka ini hanya mencari para auliya’ yang sudah meninggal dunia tapi tidak mahu mencari para auliya’ yang masih hidup, seolah-olah mereka mahu auliya’ yang sudah meninggal itu hidup semula dan membimbing mereka, kalau begitu lebih baik minta Rasulullah s.a.w. hidup semula untuk membimbing kita, ini lebih afdhol!” Ucapan ini merupakan salah satu peringatan yang sering dinyatakan oleh Syeikh Mahmud dalam syarahan-syarahan beliau. 


Selepas beliau disingkap hijab (tabir yang mendindingi seseorang daripada melihat kebesaran dan keagungan Allah), Rijalul Ghaib masih memberi bimbingan kepada beliau. Pernah satu masa ketika menunggang basikal beliau terjumpa bangkai seekor kera di tengah jalan. Syeikh Mahmud tidak mengendahkan bangkai itu dan terus mengayuh basikalnya. Tiba-tiba Rijalul Ghaib telah memiat telinganya dan menyuruh beliau berpatah balik dan membuang bangkai kera itu.


Rijalul Ghaib sentiasa mengejutkan beliau pada waktu malam untuk bertahajud. Semenjak kecil, Syeikh Mahmud hanya menuruti sahaja segala arahan Rijalul Ghaib tanpa membantah tetapi apabila pemahaman kesufian beliau semakin matang, perubahan telah berlaku dalam cara beliau melaksanakan arahan mereka. Contohnya, sewaktu beliau sedang berkhalwat di Gua Bukit Enggang, Rijalul Ghaib telah mengejutkan beliau untuk bersolat tahajud. Apabila bangun daripada tidur, beliau tidak terus bersolat tahajud seperti biasa tetapi hanya membaca istighfar sehingga basah pakaiannya dengan air mata kerana ’hancur hati’ kepada Allah. 


Selepas itu barulah beliau bersolat sunat, itupun sekadar 2 rakaat sahaja tetapi solat yang dilakukan itu penuh dengan kesyukuran dan hancur hati kepada Allah, kerana solat ini dilakukan benar-benar kerana Allah. Kadang-kadang Syeikh Mahmud langsung tidak solat sunat tahajud kerana asyik menangis mengingati Allah. Padanya bertahajud itu bukan matlamat tetapi tahajud itu hanya laluan untuk sampai matlamat. Matlamat sebenar ialah Allah, kata Syeikh Mahmud. Istighfar yang beliau baca ialah:


doataubat_abubakar


“Wahai Allah! Sesungguhnya daku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak lagi besar dan tiada yang mengampuni segala dosa kecuali Dikau. Maka ampunilah daku dengan keampunan dari sisiMu serta rahmatilah daku. Sesungguhnya Dikaulah Zat Yang Maha Pengampun Lagi Maha Pengasih.” Istighfar ini merupakan salah satu istighfar yang Rasulullah s.a.w. ajarkan kepada Saiyyidina Abu Bakar As-Sidiq r.a.


 Allahu Wa'alam !


http://www.nuruliman.com.my/

7 comments:

Sambungan pengkisahan mengenai Rijalul Ghaib untuk tatapan sahabat semua.

Wahai Allah! Sesungguhnya daku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak lagi besar dan tiada yang mengampuni segala dosa kecuali Dikau. Maka ampunilah daku dengan keampunan dari sisiMu serta rahmatilah daku. Sesungguhnya Dikaulah Zat Yang Maha Pengampun Lagi Maha Pengasih.”

Amin...kebanyakan kita termasuk diri ini sememang terlalu berdosa kepadaNya....

Betapa untungnya bagi manusia yang mendapat bimbingan Rijalul Ghaib dalam setiap perbuatannya....Mampukah kita mendapatkannya..sedangkan diri kita dipenuhi dengan bisikan syaitan, hawa nafsu dan duniawi...Ya Allah!...jauhkanlah jarak antara kami dengan kemunafikan dalam setiap keadaan. Ya Allah ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari siksa neraka..

Sebab itu kita dikehendaki agar byk berzikirullah dan juga membaca AlQuran smoga dihindari dari bisikan2 yang memesongkan Kanda Kay

jangan lupa kanda..yang diasuh,yang mengasuh,pengasuh...arghh banyak songel kita ni yer eheheheh

Tepat sekali Paduka BP....

Post a Comment