Friday 19 March 2010

10 Orang Sahabat Rasulallah yang Dijanjikan Syurga

Inilah sepuluh orang sahabat Rasulullah saw yang mana sejak hidup di dunia lagi mereka telah dijanjikan Syurga oleh Allah. 

Saidina Abu Bakar as Siddiq ra  (Khalifah pertama, teman setia yang banyak berkorban)  merupakan orang lelaki yang paling dicintai oleh Rasulullah. Rasulullah sendiri pernah bersabda bahawa Abu Bakar adalah manusia yang terbaik selepas para nabi. Iman Abu Bakar jika ditimbangkan dengan iman semua mereka yang beriman yang hidup di muka bumi ini, nescaya imannya lebih berat. Abu bakar juga akan menjadi orang pertama dari umat Nabi Muhammad yang akan memasuki syurga.

Saidina Umar Al Khattab ra (Khalifah kedua, pintar membezakan antara haq dan batil) adalah manusia yang sangat terkenal dengan kebenaran dan ketegasananya. Beliau sangat berani dan tidak mengenal erti gentar hinggakan musuhnya sendiri berasa gentar apabila mendengar namanya sahaja. Umar adalah antara sahabat yang Rasulullah pernah mendoakan untuk keislamannya. Abu Hurairah menceritakan bahawa Rasullah pernah bersabda: “sebelum kamu terdapat ahli hikmah dikalangan umat terdahulu. Jika terdapat seseorang dikalangan umatku, ia pastilah Umar“. 

Saidina Uthman bin Affan ra (Khalifah ketiga, keperibadian yang sampai Malaikat berasa malu) adalah seorang yang kaya dan sangat lemah lembut. Uthman mempunyai sifat pemalu dan sopan santun sehingga para malaikat juga mencemburui sifat pemalunya. Rasulullah sangat berhati-hati dengan pakaiannya apabila ingin bertemu dengan beliau kerana jika tidak berbuat seperti itu, Uthman tidak akan bercakap sepatah pun kerana sifat malunya. Beliau merupakan orang pertama yang menyusun Al Quran. Talhah melaporkan bahawa Rasulullah bersabda “setiap Rasulullah mempunyai teman di dalam syurga dan teman rapatku di syurga adalah Uthman bin Affan“. 

Saidina Ali bin Abi Talib ra (Khalifah keempat, Singa Allah yang dimuliakan wajahnya oleh Allah swt)  adalah sepupu rasulullah dan suami kepada Fatimah. Rasulullah pernah bersabda “Barangsiapa yang mencerca Ali ra, ia mencerca daku“. Rasulullah juga pernah berdoa agar tidak dicabut nyawanya melainkan beliau telah melihat Ali. Beliau menurut Rasulullah adalah ’Babul Ilm’ (pintu ilmu). Beliau menghafaz AlQuran dalam hatinya dan mengetahui tepat bila, dimana, dan dalam keadaan apakah setiap ayat Al Quran diturunkan. 

Saiyyidina Talhah bin Ubaidillah ra (Shahid yang hidup) adalah seorang yang sangat pemurah. Rasulullah pernah bersabda bahawa Talhah dan Zubair akan menjadi jiranku di dalam syurga. Saidina Zubair bin Al Awwam ra (Perajurit Allah pengiring Rasulullah) merupakan sahabat yang terkaya dari semua sahabat. Nabi juga pernah bersabda “setiap nabi mempunyai sahabat yang ikhlas, bagiku adalah Zubair“. 

Abdul Rahman bin Auf (Orang yang berniaga ke jalan Allah) adalah sahabat yang kaya dan pemurah. Nabi pernah bersabda kepada isterinya, “barangsiapa yang melayan kamu dengan pemurahnya selepas ketiadaanku adalah yang ikhlas dan baik hati. Ya Allah, berikanlah kepada Abdul Rahman bin Auf minuman Salsabil di dalam Syurga“. Saidina Saad bin Abi Waqqas ra (Pelempar panah pertama pada jalan Allah) adalah orang Arab pertama untuk memanah di jalan Allah. Rasulullah bersabda “Ya Allah! Terimalah doa Saad apabila beliau berdoa kepadaMu“.

Saidina Said bin Zaid ra (Seorang yang mengasihi Allah) adalah sahabat yang berani dan seorang ahli tauhid. Doa beliau adalah antara yang dimakbulkan Allah. Saidina Abu Ubaidah bin Al Jarrah ra (Orang kepercayaan ummat Islam) pada pandangan Rasulullah adalah sahabat yang benar-benar amanah. Rasulullah bersabda “setiap orang mempunyai orang yang setia dan orang yang paling setia bagi ummah ini adalah Abu Ubaidah Al Jarrah“


3 comments:

selawat & salam ke atas baginda Rasulullah & para ahlul bait (keluarga & sahabatnya)

Post a Comment