Wednesday 6 October 2010

Perihal Rasuah mengikut pandangan Syed Hussein Alatas

Sepanjang hayat hidupnya, Syed Hussein menganggap masalah umum yang keterbelakangan adalah berpunca daripada masalah pengagihan pendapatan dan pembangunan ekonomi. Beliau menghuraikan kejijikan rasuah, kurang kemurnian mencantumkan perniagaan dan politik dan masalah yang dihadapi oleh kerajaan di Dunia Ketiga yang terlalu asyik mengamalkan rasuah hingga menghambat kemajuan.

Ramai yang bercakap tentang rasuah, malah seruan untuk memerangi rasuah ada kalanya digemakan lebih nyaring daripada kalangan orang-orang yang tidak bebas daripada melakukannya lalu tenggelamlah kesungguhan usaha untuk memerangi rasuah dalam retorik kepura-puraan. Akibatnya takhta runtuh, pemimpin jatuh, negara lebur, rakyat melarat. Rasuah terus merebak baik di negara sedang membangun, di negara membangun dan tidak ketinggalan di negara maju.

Ia berlaku di dalam istana, di dalam sektor awam, di dalam sektor swasta, di dalam organisasi politik, di kalangan organisasi beruniform malah tidak terkecuali di dalam badan-badan agama. Rasuah adalah candu yang amat mengasyikkan, lebih mengkhayalkan, kerana yang menanggung derita bukan di kalangan pengamal dan penerima rasuah. Rasuah menghidupkan semula budaya perhambaan, dilindungi kosmetik yang memberikan kecantikan dan keriangan palsu kepada pengamal.

Sebenarnya rasuah merendahkan martabat seseorang insan ke taraf abdi, menjadikan insan hamba kepada harta, kepada kekayaan, kepada kebendaan dan kepada jawatan yang diperoleh secara haram. Rasuah adalah instrumen yang membunuh jiwa merdeka, pemikiran merdeka, sifat merdeka dan watak merdeka dalam diri seseorang insan yang terjebak dengannya. Demikianlah kotor dan jijiknya rasuah, ironinya semakin ramai yang berlumba untuk mendapatkan kuasa supaya berpeluang melakukannya. Malah melakukannya dengan penuh tipu muslihat untuk terlepas daripada undang-undang dan hukum dunia.

Syed Hussein Alatas telah menghembuskan nafas terakhir untuk menyahut panggilan Ilahi pada hari Selasa, 23 Januari 2007 Masihi, bersamaan 5 Muharam 1428 Hijrah. Berlakulah satu perjalanan penghidupan dari satu perhentian yang meninggalkan dunia yang fana ini untuk berhijrah ke satu perhentian baru di alam baqa sementara menanti hari kebangkitan yang telah dijanjikan.

Syed Hussein meninggalkan bangsanya – meninggalkan dunia ini, tidak sempat untuk menyaksikan krisis ekonomi dunia yang telah menderitakan kehidupan jutaan insan, dia telah menghembuskan nafas terakhir sedikit awal untuk menyaksikan harga politik yang perlu dibayar oleh bangsanya........Al Fateha

Ringkasan drp http://pesanan-pesanan.blogspot.com/2009/08/tidak-terpadam-fakta-sejarah-wasiat.html

5 comments:

salam.... kata2 mutiara yg benar belaka... no doubt about it

Perkongsian untuk semua bro.

cinta dunia dan takut mati............. huhuhuhu...

sapa tak jeles dengar org keje gomen kat pintu masuk sempadan negara.... income luar seminggu rm 30k??????

Apa yg diperolehi di dunia tidaklah kita tahu akan balasanNya kelak...

Post a Comment