Thursday 28 January 2010

Mimpi seorang Nabi Allah

ABUL LAITS AS SAMARQANDI, di dalam Tanbihul Ghafilin menceritakan, ada nabi-nabi yang bukan rasul, menerima wahyu dalam bentuk mimpi. Seorang nabi telah bermimpi menerima perintah berbunyi: "Esok engkau keluar dari rumah waktu pagi menghala ke barat. Engkau hendaklah membuat lima perkara. Yang pertama engkau jumpa, makanlah. Kedua, engkau sembunyikan. Ketiga, engkau terimalah. Keempat, jangan putuskan harapan. Kelima, larilah daripadanya."

"Makanlah akannya" - Esok harinya nabi itu pun keluar menuju ke barat. Yang pertama ditemuinya ialah sebuah bukit berwarna hitam. Dia kebingungan. "Sungguh aneh, aku diperintah memakan apa yang pertama aku temui." Dengan bertawakal kepada Allah, dia menuju ke bukit tersebut untuk memakannya. Tiba-tiba bukit itu menjadi kecil sebesar roti. Maka nabi itu pun memakannya. Rasanya sungguh manis seperti madu. Dia pun mengucap syukur kepada Allah.

"Sembunyikan ia" - Selepas itu bertemu pula sebuah mangkuk emas. Lantas dia menggali lubang untuk menyembunyikannya. Apabila mahu berangkat, mangkuk itu terkeluar semula. Lalu di tanamkannya kembali. Tetapi ia terkeluar juga, sehingga tiga kali berturut-turut. Nabi itu berkata, "Aku telah melaksanakan perintah-Mu," sebelum meneruskan perjalanannya.

"Terimalah ia" - Sejurus kemudian dia terserempak dengan seekor burung kecil dikejar seekor helang. Burung kecil itu merayu, "Wahai nabi Allah, tolonglah aku." Dia berasa simpati. Diambilnya burung itu lalu memasukkannya ke dalam bajunya.

"Jangan putuskan harapan" - Helang itu datang menghampirinya dan berkata, "Wahai nabi Allah. Aku sangat lapar. Aku telah mengejar burung itu sejak pagi lagi. Janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku." Teringat akan mimpinya, dia lalu memotong sedikit daging pehanya buat mengganti rezeki helang itu.

"Larilah daripadanya" - Dengan pehanya yang luka, Nabi itu meneruskan perjalanan demi menunaikan perintah Allah. Sebentar kemudian, dia terlintas dengan satu bangkai yang amat busuk. Tergesa-gesa dia lari kerana tidak tahan akan baunya.

Maksud di sebalik peristiwa :-
Setelah kembali, pada malam harinya nabi itu berdoa: "Ya Allah, Aku telahpun melaksanakan sepertimana yang diarahkan. Maka tolonglah jelaskan apakah ertinya semua ini." Ketika tidur dia bermimpi lagi. Allah memberitahu:
"Yang pertama engkau makan, ialah marah. Mulanya besar, tetapi jika bersabar dan dapat mengawalnya, ia akan menjadi lebih manis daripada madu. Kedua, amal kebaikan, walaupun disembunyikan, ia tetap akan nampak jua. Ketiga, jika sudah menerima amanah, janganlah khianat kepadanya. Keempat, jika orang meminta padamu, usahakanlah menunaikan hajatnya meskipun engkau sendiri berhajat. Kelima , yang busuk itu ialah ghibah (mengumpat dan mendedah keaiban orang lain). Larilah dari mereka yang membuat ghibah."

5 comments:

Kerana kita tidak pernah mampu maka kita senantiasa selalu diperingatkan untuk beriman dan beramal dengannya. Beringat saling mengingatkan bergitulah hendaknya. Di dalam kita mengejar kesempurnaan kita harus senantiasa selalu tidak putus asa memperbaiki kelemahan diri sendiri. Kita yang lemah maka dengan itu kita harus bangkit bersama-sama berganding bahu menyempurnakan saf apabila kita saling berjemaah menuju arah untuk pulang dalam keadaan baik kepadanya *smile*

Kemampuan adalah pada diri sendiri. Kalau kita ikhlas dan benar2 mengikuti jalan Nya tiada yang mustahil. Selagi kita sibuk dengan dunia yang fana, mungkin perjalanan kita kurang sempurna..Allahu waalam

pengajaran: (1) mengawal marah dengan sabar, (2) kebaikan seperti minyak wangi, (3) jaga amanah, (4) mendahulukan hajat orang lain, dan (5) jauhi ghibah dan orang yang membuatnya. Moga Allah beri rezeki untuk amalkannya. amin

Satu rumusan yang terbaik..alhamdulillah

Post a Comment