Wednesday 18 November 2009

Kehadiran Syaitan Disaat-saat Kematian

Di saat kematian sedang hampir, ketika itu berbagai-bagai ujian akan berjumpa. Dalam pemikiran orang yang hampir kepada mati, akan terfikir berbagai-bagai perkara keduniaan, ditambahi pula syaitan datang memujuk, mahu menyesatkannya pada saat itu.

Syaitan ketika itu hadir, menyerupai dengan orang-orang yang terdahulu; orang yang disayangi, seperti menyerupai ibu, bapa, saudara mara, kakak, abang dan sebagainya. Diriwayatkan daripada Nabi SAW;

“Seseorang hamba itu, apabila hampir kepadanya kematian, akan datang kepadanya dua ekor syaitan. Satunya berada di kanan, dan satu lagi berada di kiri. Syaitan yang berada di kanan, menyerupai dengan wajah bapa, dia akan berkata, “Wahai anakku, Aku merupakan orang yang kamu sayangi dan kamu kasihi. Matilah atas agama nasrani, kerana ia adalah sebaik-baik agama”

Adapun syaitan disebelah kiri pula datang, menyerupai wajah ibu, seraya berkata, “wahai anakku, kamu dilahirkan menerusi perutku ini, kamu minum susu menerusi labu susuku ini, kamu dilahirkan menerusi pehaku ini. Matilah atas agama yahudi, kerana ia adalah sebaik-baik agama
[1]

Ketika orang yang sedang hampir dengan kematian, berlakunya kejadian-kejadian sebegini, sudah pasti ia melahirkan kebingungan menimpa diri. Lebih-lebih lagi, ketika itu, ujian tersebut melibatkan aqidah; yang pada bila-bila masa sahaja, tanpa iman yang kuat akan mengakibatkan kekufuran. Memandangkan bimbang kegelinciran iman di saat itu, lantaran tidak berdaya untuk berhadapan dengan ujian-ujian seperti ini, ekoran itu, ulama-ulama salaf terdahulu menggalakkan para mukmin agar melazimi membaca doa yang dianjurkan oleh Allah SWT, iaitu doa yang berbunyi;


ربنا لا تزغ قلوبنا بعد إذ هديتنا و هب لنا من لدنك رحمة

Maksudnya;

“Wahai tuhan kami, jangan kamu gelincirkan hati kami setelah kamu memberi hidayah kepada kami. berilah rahmatmu kepada kami” (Surah Al-Imran : 8)


Jika direnung kepada kandungan doa ini, kita akan dapat memahami betapa hati yang merupakan tempat tersimpan iman itu, amat mudah untuk berbolak. Berbolak tersebut, sama ada kepada kebaikan, juga tidak lepas dari berbolak kepada kesesatan. Dibimbangi hati itu berbolak kepada kesesatan, terutama ketika kedatangan syaitan yang memujuk agar menjadi kufur di saat kematian sedang mengunjung tiba, makanya doa sebegini seharusnya menjadi amalan harian.

Doa sebegini amat perlu dijadikan amalan harian. Ini kerana, amalan harian adalah amalan yang akan terbawa-bawa ketika saat kematian berkunjung tiba. Ekoran itu, seorang ulama tafsir, Mujahid telah berkata;

”Tidaklah seseorang yang mati itu, melainkan dibentang kepadanya akan apa yang terbiasa dengan dirinya. Jika dia terbiasa dengan amalan ahli lagha, maka dia akan dibentangkan dengan golongan ahli lagha. Sebaliknya, jika dia terbiasa dengan golongan zikrullah, maka akan dibentang bagi dirinya dengan golongan zikrullah juga
[2]

Zikrullah bukan bermaksud duduk bersila, memegang tasbih, lalu mulut terkumat kamit membaca ’subhanallah, alhamdulillah, Allahu Akbar’ dan sebagainya. zikurullah yang dimaksudkan, hendaklah dilihat dari sudut yang lebih luas. Dalam bahasa arab, kalimah zikrullah diterjemah sebagai ’mengingati Allah’. Justeru, semua perkara yang dilakukan; sama ada bercakap, bertindak, berfikir dan semua perkara yang boleh membawa kepada mengingati Allah, maka itu dikira sebagai zikrullah.

Orang yang terbiasa dengan zikrullah, pasti malaikat akan sering berdamping dengannya. Syaitan mudah berdamping dengan orang yang tidak melazimkan diri dengan zikrullah, ditambahi lagi jika pemikirannya tidak pernah terlintas melainkan perkara yang melalaikan sahaja. Apabila zikrullah menjadi amalan harian, ketika itulah Malaikat sentiasa berdampingan. Perdampingan tersebut, membawa sehingga sampai saat kepada kematian.

Ekoran itu, orang yang biasa dengan zikrullah, Malaikat akan sering berdampingan dengannya, hatta hampir saat kematian. Malaikat tersebut, akan sentiasa berpesan kepadanya agar sering mengingati Allah, disamping memperingatkannya dengan agama hanifiyyah; agama yang merujuk kepada mentauhidkan Allah SWT yang dipimpin oleh para Nabi terdahulu, dan disambung oleh Nabi Muhammad SAW. Wallahu ’Alam

6 comments:

Alhamdulillah,
Terima Kaseh Paduka.

Ilmu yang ada semolek-moleknya dikongsi dan di manfaatkan bersama. Terima kasih kerasa sudi membacanya.

Hamba ingin berkongsi sedikit kisah yang benar2 belaku.

Adek angkat hamba bernama Hj.Rahim, pada masa dia menunaikan Haji pada Tahun 1997, semasa berada di Makkah, dia jatuh sakit demam panas hingga pengsan tak sedarkan diri. Beliau di kejarkan ke hospital dan kemudian selepas diberikan satu suntikan oleh Doktor Arab yang bertugas, dia di songsong kebilik mayat kerana sudah tiada harapan lagi hanya menunggu sa'at sakaratulmaut.

Pada sa'at beliau tidak sedarkan diri, datang satu lembaga yang berkata, engkau datang daripada jauh, kenapa engkau nak ikut Muhammad. Muhammad itu salah dan sesat. Langsung Haji Rahim dengan suara lantang berkata, " engkau iblis Laknattullah " Lembaga itu pun setamerta hilang dan timbul satu sinaran cahaya kilauan yang putih macam bintang. Hj.Rahim pun berdoa, " Ya Allah, kalau sudah masa nya, hamba redha, tetapi kalau belum masa nya, hamba ingin melihat makam Rasulullah ". Langsung Hj.Rahim sedar dan melihat ramai jemaah haji laki2 dan perempuan terbaring di dalam bilik nya. kelihatan ada yang masih bergerak sedang menoggok air yang sudah tersedia seperti orang2 yang dalam kehausan yang teramat sekali. Selepas itu sunyi sepi didalam bilik yang hanya dapat secibis sinaran lampu daripada celah pintu masok sahaja.
Hentah beberapa lama kemudian, pintu bilik itu pun dibuka oleh dua orang jururawat dan menyongsong satu persatu mayat keluar daripada bilik itu. Alangkah terperanjat jururawat2 itu melihat Hj.Rahim sedang dudok merenong kearah mereka, mereka pun terpekik lalu lari keluar daripada bilik itu. Sekejap sahaja, datang Doktor dan beberapa orang yang lari masok mendapatkan Hj.Rahim, Doktor menyuroh pembantu nya membawa kerusi roda dan Hj.Rahim ditolak keluar. Kecoh di luar kerana berita saorang jemaah masih hidup disebar oleh Arab2 yang sedang menunggu diluar. Diluar Hj.Rahim kelihatan isteri nya dan ustad rombongan nya sedang terperanjat dan gembira melihat beliau masih hidup. Selepas itu beliau dan rombongan nya meneruskan perjalanan keMadinah dimana beliau dapat sampai kemakam Rasulullah.

Hj.Rahim yang sekarang berusia 53tahun dan sudah pun berumrah 2 kali, dan apa bila di tanya, beliau menjawab, kemungkinan kelebihan zikir Selawat atas Nabi Muhammad SAW yang beliau selalu tidak tinggalkan tiap2 hari.

Satu peringatan buat diri hamba dan berkongsi dengan teman2 MP.

Terima kasih kerana berkongsi pengalaman sebegini. Kita ada cerita yang tersendiri, tetapi kita rasa tidak berapa molek diceritakan disini. Sekali lagi terima kasih kerana sudi berkongsi cerita.

Semoga apa yang kita usahakan menjadi pedoman sahabat semua dan diredhai olehNya ketika kita menuju jalan pulang. Amin.

Post a Comment