Tuesday 21 September 2010

Ahlul Bait yang sebenar

Istilah ‘Ahlul Bait’ disebut oleh Allah pada surah ketiga puluh tiga (al-Ahzab), ayat ketiga puluh tiga juga, yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah hendak menghilangkan kotoran (dosa) daripada kamu Ahlul Bait dan menyucikan kamu sesuci-sucinya.”

Berkenaan ayat ini yang juga dikenal dengan Ayat Tathir, al-Tirmidzi merekodkan sebuah hadis daripada Ummul Mukminin Ummu Salamah r.a yang bermaksud:

Ayat ini (surah al-Ahzab: 33) turun di rumahku. Ketika itu Ali, Fatimah, Hasan dan Husain sedang berkumpul. Rasulullah menyelimuti mereka dengan sehelai kain kisa’ (jenis pakaian yang sangat longgar) lalu bersabda, “Ya Allah, mereka inilah ahlul baitku. Hilangkanlah kotoran (dosa) daripada mereka dan sucikanlah mereka sesuci-sucinya.

Daripada hadis tersebut, jelaslah bahawa Ahlul Bait dalam Ayat Tathir adalah terdiri daripada Sayidina Ali a.s, Sayidatina Fatimah a.s, Sayidina Hasan a.s dan Sayidina Husain a.s, termasuklah Rasulullah SAW sendiri. Abu Sa’id al-Khudri juga merekodkan hadis tentang lima orang suci ini iaitu: (Sabda Rasulullah SAW) Ayat ini turun mengenai lima orang; aku sendiri, Ali, Fatimah, Hasan dan Husain.

Hanya mereka berlimalah yang dikatakan Ahlul Bait. Adapun isteri-isteri Rasulullah SAW, mereka tidak termasuk dalam kelompok ini. Hal ini ditegaskan sendiri oleh baginda SAW dalam hadis yang pertama tadi, iaitu setelah Rasulullah SAW memberitahu tentang Ahlul Bait, Ummu Salamah r.a bertanya tentang kedudukannya. Rasulullah SAW menjawab, “Kamu dalam kebaikan.” Oleh itu, pendapat yang menyatakan bahawa isteri-isteri Rasulullah SAW ialah Ahlul Bait, adalah batal dan bercanggah dengan sabda baginda SAW sendiri. Kalaulah pendapat mereka benar, mengapa Ummu Salamah r.a hanya berada dalam kebaikan, tetapi tidak termasuk dalam Ahlul Bait?

Allah berfirman dalam Ayat Tathir, bahawa dosa Ahlul Bait telah dihapuskan dan mereka juga suci sesuci-sucinya. Hal ini bermaksud, Ahlul Bait adalah terpelihara dan suci daripada segala dosa, atau istilahnya maksum. Bagaimanapun, ahli keluarga Rasulullah SAW dan keturunannya yang lain tidaklah maksum. dan tidaklah suci dan terpelihara daripada dosa.

Apakah hak dan keistimewaan Ahlul Bait?

Keturunan Ahlul Bait HARAM menerima zakat dan sedekah. Hal ini berpandukan sabda Rasulullah SAW, “Sedekah itu tidak lain adalah kotoran. Oleh itu, sedekah tidak halal bagi Muhammad dan Ahlul Bait Muhammad.” Hadis ini direkodkan oleh Muslim daripada Ibnu Syihab dalam suatu peristiwa yang membabitkan al-Fadhl Bin Abbas r.a. Sedekah adalah kotoran kerana sedekah dapat membersihkan harta, diibaratkan sehelai kain yang digunakan untuk mengelap habuk, sudah tentulah kain itu kotor. Sedekah juga termasuklah zakat, kerana dengan zakat, harta kita disucikan.

Selain haram menerima zakat, Ahlul Bait juga berhak menerima selawat. Selalunya kita berselawat, “Allahumma solli ‘ala Muhammad wa aali Muhammad.” Aali Muhammad ataupun keluarga Muhammad SAW ialah Ahlul Bait. Bagaimanapun, tidak semua keturunan Ahlul Bait mendapat selawat, sebaliknya mereka yang terpilih dan tinggi tahap taqwanya sahaja yang layak.

Demikianlah serba sedikit darihal Ahlul Bait. Pentingnya kita mengenal mereka kerana cinta kepada mereka adalah wajib selepas cinta kepada Allah dan Rasulullah SAW. Selain itu, hak dan keistimewaan mereka juga wajib dipenuhi sebagai satu daripada ketetapan syariat.

Mencintai Ahlul Bait adalah wajib fardu ain

Al-Tabrani merekodkan sebuah hadis Rasulullah SAW:

Tidak sempurna iman seseorang hamba melainkan cintanya kepadaku melebihi cintanya terhadap diri sendiri, cintanya kepada keturunanku melebihi cintanya terhadap keturunannya sendiri, cintanya kepada ahlul baitku melebihi cintanya terhadap ahlul baitnya sendiri, dan cintanya kepada zatku melebihi cintanya terhadap zatnya sendiri.”

Daripada Sayidina Ali a.s, Rasulullah SAW bersabda,
Sesiapa mencintai kedua-dua orang ini, yakni Hasan dan Husain, serta ayah dan ibu mereka, nescaya ia berada sedarjat denganku pada Hari Kiamat.”

Hadis yang agak serupa matannya telah direkodkan oleh Ahmad Bin Hanbal:

Sesiapa mencintaiku dan mencintai kedua-dua orang itu, yakni Hasan dan Husain, serta mencintai ibu dan bapa mereka, yakni Fatimah dan Ali, kemudian ia meninggal dunia sebagai pengikut sunnahku, ia bersamaku di dalam syurga, sedarjat.”

Hadis-hadis ini sesuai sekali dengan firman Allah dalam surah al-Syura ayat kedua puluh tiga:

Katakanlah: Aku tidak minta sebarang upah pun atas hal itu (seruan dakwah), malainkan kasih sayang terhadap kerabat.”

Menurut al-Maqrizi, kerabat yang dimaksudkan ialah kerabat Rasulullah SAW. Sementara itu, seorang ulama Ahlul Bait yang terkenal, Ja’far al-Sadiq a.s telah bertanya Abu Ja’far al-Ahwal, “Apa pendapat ahli Basrah mengenai firman-Nya “Aku tidak minta kepadamu sesuatu upah pun melainkan kasih sayang kepada kerabat”?” Abu Ja’far menjawab, “Aku jadikan diriku tebusan anda, mereka berkata bahawa ayat ini adalah untuk kerabat Rasulullah.” Ja’far al-Sadiq a.s pun berkata, “Mereka telah berbohong. Sesungguhnya ayat itu diturunkan khusus kepada kami Ahlul Bait; kepada Ali, Fatimah, Hasan dan Husain, Ashab al-Kisa’ a.s.”

Akibat buruk jika tidak mencintai Ahlul Bait

Adapun balasan bagi orang yang tidak melaksanakan kewajipan ini dicatat oleh al-Hakim dalam sebuah hadis daripada Zaid Bin Arqam.

Rasulullah SAW bersabda, antaranya:

Mereka (Ahlul Bait) adalah keturunanku, dicipta daripada darah dagingku, serta dikurniakan pengertian dan pengetahuanku. CELAKALAH orang daripada umatku yang mendustakan (tidak memperakui) keutamaan mereka dan memutuskan hubungan denganku melalui (pemutusan hubungan dengan) mereka. Kepada orang-orang seperti ini, Allah tidak akan menurunkan syafaatku.”

Al-Hakim juga merekodkan hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri:

Demi jiwaku yang berada dalam kekuasaan-Nya, seseorang itu tidak membenci kami Ahlul Bait melainkan Allah akan memasukkannya ke dalam neraka.”

Empat golongan yang akan mendapat syafaatku pada Hari Kiamat; Orang yang menghormati keturunanku, orang yang memenuhi keperluan mereka, orang yang berusaha membantu urusan mereka pada saat diperlukan, dan orang yang mencintai mereka dengan hati dan lidahnya.

Kutinggalkan di tengah kalian dua benda yang berharga (al-thaqalain); kitab Allah sebagai tali terentang di antara langit dan bumi, dan ‘itrahku (Ahlul Bait). Kedua-duanya tidak akan terpisah sehingga kembali kepadaku di al-Haudh (telaga Rasulullah SAW pada Hari Kiamat).

Susur galur
Rasulullah SAW mempunyai dua putera dan empat puteri daripada isterinya Khadijah dan seorang putera daripada hambanya Mariah al-Qibtiyah. Daripada tujuh orang anak ini, hanya Zainab dan Fatimah a.s yang sempat berkahwin dan menghasilkan zuriat. Adapun Ruqayyah dan Ummu Kalthum tidak memperoleh anak hasil perkahwinan mereka dengan Uthman Bin Affan. Putera-putera Rasulullah SAW pula meninggal dunia sewaktu kecil.


Zainab Binti Rasulullah berkahwin dengan sepupunya, Abu al-‘As Bin Rabi’ dan melahirkan 2 orang anak; seorang putera bernama Ali dan seorang puteri bernama Umamah. Ali Bin Abu al-‘As meninggal dunia sewaktu remaja. Umamah Binti Abu al-‘As pula berkahwin dengan Sayidina Ali a.s sebagai memenuhi wasiat Fatimah a.s, ibu saudaranya. Perkahwinan ini tidak menghasilkan zuriat. Selepas Sayidina Ali a.s menemui kesyahidan, Umamah bertemu jodoh dengan Mughirah Bin Naufil dan memperoleh seorang putera bernama Yahya. Bagaimanapun, keturunan Yahya tidak dijumpai sekarang.

Fatimah a.s pula dikahwinkan oleh Rasulullah SAW dengan Sayidina Ali a.s atas perintah Allah. Mereka berdua dikurniakan 3 orang putera dan 3 orang puteri. Puteri mereka yang bernama Zainab mempunyai anak hasil perkahwinan dengan Abdullah Bin Ja’far, namun keturunannya tidak bersambung. Yang keturunannya masih berkembang biak sampai sekarang ialah Hasan a.s dan Husain a.s. Kebanyakan keturunan Hasan a.s berada di Timur Tengah, manakala keturunan Husain a.s berada di wilayah Nusantara.

Allahumma solli ‘ala sayidina Muhammadin wa ahlal bait.

http://www.masterfaiz.com/2009/11/siapa-ahlul-bait-rasulullah-bahagian-1.html

17 comments:

Sekadar mengetahui siapakah itu Ahlul Bait :)

terimakasih tuan atas pencerahannya..... sesungguhnya isu dakwa dakwi sesetengah pihak kononnya sbg "ahlul bait" banyak sedang berlegar di alam multiply dan blogspot juga FB. Mereka ini sebenarnya tak layak pun mengaku ahlul bait in the first place..... syurkurlah hamba yg hina ini sekadar berani mengaku ahlul jawi....

Mungkin yang mengaku ahlul bait ada kebenaran kerana mereka mengambil susur galur belah Hassan dan Hussein. Yang ikhlas serta merendah diri dalam kesederhanaan mungkin golongan ahlul bait, yang penyagak dan mendabik dada ahlul carbait kot ?

teringat kat bom karbaid raya baru2 ni.... huhuhuhu.....

Isu ini janganlah dipanjangkan kerana sedih kita....keturunan kita yang menjadi tukang asah kepada tukang penggali parit untuk pengairan di ladang gambir..huhuhuhu !

sekadar bertanya.. adakah disebabkan hadis ini yg telah menimbulkan fahaman Syiah??

Daripada Sayidina Ali a.s, Rasulullah SAW bersabda,

“Sesiapa mencintai kedua-dua orang ini, yakni Hasan dan Husain, serta ayah dan ibu mereka, nescaya ia berada sedarjat denganku pada Hari Kiamat.”

Hadis yang agak serupa matannya telah direkodkan oleh Ahmad Bin Hanbal:

“Sesiapa mencintaiku dan mencintai kedua-dua orang itu, yakni Hasan dan Husain, serta mencintai ibu dan bapa mereka, yakni Fatimah dan Ali, kemudian ia meninggal dunia sebagai pengikut sunnahku, ia bersamaku di dalam syurga, sedarjat.”

mungkin ada yg boleh terangkan lebih jelas lg bersuluh... makasih

Terima kasih atas info nya tuan..zaman sekarang ni ramai yg mengaku keturunan ahlul bait..namun tingkah laku payah nak terima oleh akal...walau bgmanapun berbangga la kamu dgn keturunan mu..walaupun dari ladang kelapa sawit di Banting...haa..haa

sensitif info ini pd masa kini kerana masih dlm siasatan.....

ramai ker yg mengaku keturunan ahlul bait?? tak pernah pulak saya dengar pengakuan tersebut secara terus terang.

Syiah, Khawarij dan Muktazilah terhasil selepas peperangan Siffin antara penyokong Saidina Ali R.A dan Muawiyyah bin Abu Sufyan (L.A)

mari kita mencintai rasulullah dan ahlul baitnya

kalau nak memperkatakan 'ahlul bait' , 'aali' dan 'keturunan' dan 'nasab' Rasululah saw maka amat panjang. Perkara ini telah lama diperkatakan dgn panjang lebar dan juga diperdebatkan panjang lebar. Malah perdebatan ana dgn yg mengaku sebhg al-alawiyyin pun panjang. Jadi ana ambil keputusan kalau sudah tahu diam-diam sajalah. Bagi pencari susurgalur sudah tentu arif dan faham. Langkah pertama ialah mengenal diri. Wasilah serta 'panggilan' utk menjejak susurgalur sudah lama menyala di Malaya.

Ramai tu tidaklah seberapa tetapi mengenai pengakuan itu ada juga terdapat artikel2 mengenai mereka ini. Ada kalangan kita kat sini juga yg 'mempunyai' galur ahlul bait :)

syiah itu bukanlah mereka yang mencintai keluarga nabi..itu kewajipan kepada semua umat islam!..syiah itu adalah orang yang mengagungkan sayyidina ali DAN dalam masa yang sama menolak para sahabat..yang lebih radikal, mereka menolak terus nabi kerna dikatakan jibril tersilap bagi wahyu, sepatutnya bagi kepada ali..[kata guru saya]

bagi yang menolak sahabat, ia tidak benar sama sekali juga, kerna sahabat adalah tunggak utama dalam perjuangan nabi s.a.w..tapi kalo tak nak mengaku tak memberi apa2 kesan melainkan tidak mengaku abu bakar sebagai sahabat..ini dah masuk bab syirik kerna abu bakar sebagai sahabat telah termaktub dalam al quran yang menceritakan bab hijrah dimana disebutkan nabi & sahabat (yang merujuk kepada abu bakar)..[pernah dengar orang baca kitab, tapi tak tahu nama kitab tu apa]

Post a Comment