Wednesday 23 December 2009

Nasihat-nasihat Berguna Dari Tuhan mu

Berkata Abu Zar r.a. bahawasanya Nabi s.a.w telah bersabda: Allah telah berfirman: Sesungguhnya Aku telah mengharamkan ke atas diriKu kezaliman, dan Aku pun menjadikannya haram di antara sesama kamu, maka janganlah hendaknya kamu saling zalim-menzalimi sesama kamu sendiri!

Wahai hamba-hambaKu! Kamu sekalian lapar, melainkan sesiapa yang Aku beri makan, maka hendaklah kamu minta makan daripadaKu, nescaya Aku berikan kamu makan.

Wahai hamba-hambaKu! Kamu sekalian telanjang, melainkan sesiapa yang Aku beri pakaian, maka mintalah pakaian daripadaKu, nescaya Aku berikan kamu pakaian.

Wahai hamba-hambaKu! Kamu sekalian membuat kesalahan pada waktu malam dan siang, dan Aku sajalah yang boleh mengampunkan segala dosa (selain syirik), maka mohonlah pengampunan daripadaKu, nescaya Aku mengampunkan semua dosa-dosa kamu.

Wahai hamba-hambaKu! Kamu sekalian tidak mampu merancang sesuatu mudharat untuk memudharatkan Aku. Dan kamu pun tidak mampu merancang sesuatu manfaat untuk memanfaatkan Aku.

Wahai hamba-hambaKu! Andaikata orang-orang yang terdahulu, dan orang-orang yang terkemudian di antara kamu, sama ada dari manusianya mahupun jinnya, semuanya bertaqwa seperti taqwanya hati seorang manusia yang paling taqwa di antara kamu, tiadalah akan menambah barang sedikit pun di dalam kerajaanKu.

Wahai hamba-hambaKu! Andaikata orang-orang yang terdahulu, dan orang-orang yang terkemudian di antara kamu, sama ada dari manusianya mahupun jinnya, semuanya berhati jahat seperti jahatnya hati seorang manusia yang paling jahat di antara kamu, tiadalah akan mengurangi barang sedikit pun di dalam kerajaanKu.

Wahai hamba-hambaKu! Andaikata orang-orang yang terdahulu, dan orang-orang yang terkemudian di antara kamu, sama ada dari manusianya mahupun jinnya berkumpul berdiri di atas sekeping tanah, lalu mereka memohonKu, lalu Aku akan mengabulkan tiap-tiap seorang apa yang dimintanya, nescaya tidak akan terkurang sedikit pun dari apa yang Aku miliki melainkan seperti terkurangnya air yang membasahi sebatang jarum apabila dicelupkan ke dalam laut.

Wahai hamba-hambaKu! Sebenarnya semua itu adalah amalan-amalan kamu yang Aku catitkan untuk kamu sekalian, kelak di kemudian hari akan Kubalas atas tiap-tiap satu daripadanya. Oleh itu barangsiapa menerima yang baik, maka hendaklah ia bersyukur kepada Allah. Dan barangsiapa menerima sebaliknya, maka janganlah ia menyalahkan orang lain, selain dirinya sendiri. (
Riwayat Muslim, Abu Uwanah, Ibnu Hibban, Hakim)

6 comments:

Aku miliki melainkan seperti terkurangnya air yang membasahi sebatang jarum apabila dicelupkan ke dalam laut.

'...miliki melainkan seperti terkurangnya air yang membasahi sebatang jarum apabila dicelupkan ke dalam laut....' dan tidak seperti kita, umpama sehelai benang yang dicelup ke dalam laut yang luas.....

tapi bukankah menyedihkan umat islam ni ibarat buih di lautan menjadi bahan ejek2kan al-kafirun huhuhu

Diejek atau diherdik..atas perbuatan atau kekurangan sendiri yang tidak mahu memperbaiki keadaan atas alasan 'dah takdir..'

kerana kekuatan itu tiada...bila disergah terus melatah
semuga "setitis bintik di Malaya membawa kemakmuran ke seluruh dunia"

Post a Comment