Sunday, 3 January 2010
Hadrat illahi
Tuhan melampaui segala sesuatu. Tidak ada satu pun perbuatan manusia yang memberi kesan kepada Tuhan. Tidak ada kebaktian manusia yang sampai kepada Tuhan. Tidak ada doa dan rayuan manusia yang boleh masuk ke dalam majlis keesaan Tuhan. Jadi, dalam menyembah Allah s.w.t adakah manusia hanyalah sebuah robot yang berdiri, rukuk dan sujud? Adakah dalam melakukan kebaktian kepada Allah s.w.t manusia hanyalah sebuah jentera yang bergerak? Apakah kerana Allah s.w.t melampaui segala sesuatu maka tidak ada sebarang cara perhubungan hamba dengan-Nya?
Seorang lelaki bekerja mencari batu-batu permata di dalam gua. Satu hari, ketika dia sedang asyik mengumpulkan batu-batu permata, tiba-tiba muncul seekor ular besar di hadapannya. Dia ketakutan dan lari sekuat-kuat tenaganya. Sejak kejadian itu setiap kali dia melihat kepada gua dia akan ‘ternampak' ular besar. Kehadiran ular besar menguasai hatinya.
Dua orang lelaki bersahabat baik dan saling berkasih sayang. Suatu hari, salah seorang daripada mereka meninggal dunia. Sahabat yang masih hidup itu sering mengunjungi anak sahabatnya yang telah meninggal itu. Lelaki itu ‘melihat' kehadiran sahabatnya pada si anak itu.
Dalam sebuah negeri ada seorang perempuan pelacur yang sangat cantik, menawan, memberahikan dan mempesonakan sebarang lelaki yang memandang kepadanya. Tidak ada lelaki yang dapat menahan keinginannya apabila melihat perempuan tersebut. Setiap hari perempuan itu akan menunggu pelanggannya dengan mempamerkan wajahnya di jendela rumahnya. Lelaki yang melintasi rumahnya pasti akan berhenti apabila melihat kepadanya. Perempuan itu tidak pernah kecewa menarik lelaki kepadanya. Pada suatu hari lalu seorang lelaki salih dihadapan rumahnya. Lelaki salih itu adalah seorang ahli ibadat yang tidak pernah berbuat maksiat. Secara tidak sengaja lelaki salih itu terpandang kepada perempuan tadi. Seperti besi di tarik oleh besi berani kaki lelaki salih itu berjalan ke arah rumah perempuan tersebut dan masuk ke dalamnya. Perempuan itu bersedia melayaninya. Lelaki salih itu pun sudah ada keinginan terhadap perempuan cantik itu. Tetapi sebaik sahaja lelaki salih itu menyentuh perempuan itu, tangan lelaki salih itu tiba-tiba menggeletar. Tubuhnya menggigil dan mukanya pucat. Perempuan itu berasa hairan lalu menanyakan keadaan tersebut. Salih itu memberitahu perempuan itu bahawa Tuhan Melihat perbuatannya dan Mendengar perkataannya. Dia sangat takutkan Tuhan. Penyaksiannya terhadap Tuhan itulah yang menjadikan sekalian tubuhnya menggigil dan mukanya pucat. Kehadiran Tuhan menguasai hatinya.
Al-Quran menceritakan tentang peristiwa yang di alami oleh Nabi Yusuf a.s.'...Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu; kalaulah tidak ia menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang ikhlas (dibersihkan dari segala dosa)...' (Ayat 24 : Surah Yusuf)
Pada saat yang genting itu Nabi Yusuf a.s menyaksikan kehadiran Tuhannya. Kehadiran Tuhan yang dialami oleh hati itu diistilahkan sebagai Hadrat Ilahi. Hamba-hamba yang ikhlas dengan Allah s.w.t, yang telah dipersucikan, dikurniakan makam ihsan, iaitu menyaksikan Hadrat Tuhan atau merasai kehadiran-Nya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sembahlah Tuhanmu seolah-olah kamu melihat-Nya. Sekalipun kamu tidak melihat-Nya, ketahuilah Dia melihat kamu". Hamba-hamba yang ikhlas dan dipersucikan menyembah Allah s.w.t dalam keadaan hati mereka merasai kehadiran Allah s.w.t. Suasana hati yang demikian dikatakan hati menyaksikan Hadrat Ilahi. Itulah ihsan.
Banyak ayat-ayat al-Quran yang menceritakan tentang Hadrat Tuhan. Tuhan berfirman:
Allah jualah nur bagi semua langit dan bumi. (Ayat 35 : Surah an-Nur)
Ke mana sahaja kamu menghadap muka kamu di sana ada Wajah Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Luas, Maha Mengetahui. (Ayat 115 : Surah al-Baqarah)
Kemudian Dia bersemayam di atas Arasy. (Ayat 4 : Surah al-Hadiid)
Dan Dia beserta kamu walau di mana kamu berada. Dan Allah melihat apa yang kamu kerjakan. (Ayat 4 : Surah al-Hadiid)
Bukan kamu yang membunuh mereka tetapi Allah yang membunuh mereka. Dan bukan kamu yang melempar tatkala kamu melempar, tetapi Allah yang melempar. (Ayat 17 : Surah al-Anfaal)
Kalimah yang sering diucapkan: "Laahau laa walaakuuwataillah billah"- tiada daya dan upaya melainkan berserta Allah" adalah peringatan kepada Hadrat Ilahi: Hadrat-Nya Mendengar; Hadrat-Nya Melihat; Hadrat-Nya beserta makhluk-Nya; Hadrat-Nya menerangi langit dan bumi; Hadrat-Nya menghadap kepada hamba yang menyembah-Nya; Hadrat-Nya bersemayam di atas Arasy dan lain-lain. Tidak ada satu keadaan, ruang atau zaman yang makhluk boleh terlepas daripada Hadrat-Nya yang menguasai sekalian makhluk: "Laahau laa walaakuuwataillah billah" walau siapa sekalipun makhluk itu. Carilah satu tempat yang paling tersembunyi yang tidak dapat dilihat oleh-Nya, jika kamu boleh melepasi Hadrat-Nya. Lakukan satu perbuatan yang tidak memerlukan daya dan upaya yang dari-Nya, jika kamu boleh bebas daripada Hadrat-Nya. Tidak mungkin, sekali-kali tidak mungkin, kerana Hadrat Allah s.w.t meliputi sekalian alam, meliputi segala sesuatu, membatasi segala kejadian.
Dia yang telah menciptakan semua langit dan bumi dalam enam masa; kemudian itu Dia bersemayam di Arasy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. Dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat apa sahaja yang kamu kerjakan. Kepunyaan-Nya segala kekuasaan di semua langit dan bumi; dan kepada Allah akan kembali segala urusan. (Ayat 4 & 5 : Surah al-Hadiid)
Tidak ada satu suasana pun yang terlepas daripada kehadiran atau Hadrat Tuhan, tetapi jarang sekali penghayatan terhadap yang demikian menguasai hati nurani manusia, walaupun mereka mempunyai pengetahuan mengenainya. Manusia mengetahui bahawa Tuhan Melihat dan Mendengar tetapi mereka tidak malu melakukan maksiat di hadapan Hadrat Tuhan Yang Melihat dan Mendengar. Manusia tahu Hadrat Tuhan sentiasa bersama-nya, tetapi masih lagi takut apabila mereka berada di tempat sunyi sendirian. Akal fikiran yang melahirkan pengetahuan tidak mampu berhubung dengan suasana Hadrat Ilahi. Hatilah yang berhubung dengan Hadrat Allah s.w.t kerana hati yang boleh diisi dengan iman. Semakin kuat iman semakin kuat suasana Hadrat Ilahi menguasai hati. Apabila sampai kepada satu peringkat, hati menjadi sebati dengan suasana Hadrat Ilahi. Lahirlah rasa malu dan gerun kepada Tuhan kerana dia merasai kehadiran Tuhan Melihat perbuatannya dan Mendengar perkataannya dan bisikan hatinya.
Suasana Hadrat Ilahi yang dirasakan atau dialami berbeza dari seorang manusia dengan manusia yang lain dan juga pada satu tempat dengan tempat yang lain. Tuhan sendiri menentukan tempat-tempat yang kehadiran-Nya boleh dirasakan lebih kuat daripada tempat-tempat yang lain. Di atas muka bumi ini tempat yang ditentukan oleh Tuhan sebagai tempat yang paling kuat menerima Hadrat-Nya adalah di Baitullah, Tanah Haram Makkah. Orang yang sudah menziarahi semua tempat di atas muka bumi akan mendapati tidak ada tempat untuk merasai kehadiran Allah s.w.t melebihi apa yang dirasakan pada sisi Kaabatullah. Selain Makkah tempat-tempat yang boleh dirasakan kehadiran Tuhan yang kuat adalah Madinah, Baitul Maqdis, Madyan, Bukit Thursina dan Baitulehem. Rasa kehadiran Tuhan pada tempat-tempat yang lain berlebih kurang menurut kadar yang ditentukan oleh Allah s.w.t dan bergantung kepada hati seseorang insan.
Oleh kerana pada sisi Kaabah insan dapat merasakan kehadiran Tuhan secara maksima, maka Kaabah menjadi Kiblat manusia menyembah Allah s.w.t. Walaupun kehadiran Tuhan di sana begitu kuat namun Tuhan bukan berada dalam Kaabah dan bukanlah Kaabah itu Tuhan. Apabila berdiri pada sembahyang menghadap kepada Kaabah bukan bermakna Kaabah yang disembah atau Kaabah dijadikan misal Tuhan. Dada menghadap Kaabah tetapi hati menghadap Allah s.w.t, Tuhan kepada manusia, hati manusia dan Kaabah. Walau di mana pun berdiri menghadap Kaabah hati menghayati suasana Hadrat Ilahi yang sekuat di Kaabah.
Mengapa Tuhan memilih Kaabah untuk menyatakan Hadrat-Nya yang paling kuat di atas muka bumi? Tuhan berbuat menurut kehendak-Nya, tidak tertakluk kepada hujah manusia. Muslim tunduk menyerah kepada kehendak Tuhan. Tuhan memerintahkan supaya menjadikan Kaabah sebagai Kiblat. Muslim menerima perintah Tuhan itu dengan patuh dan ikhlas melaksanakannya. Menolak sembahyang atau menolak Kaabah sebagai Kiblat membuatkan seseorang itu menjadi kufur.
Pada Alam Langit-langit pula tempat yang paling kuat menerima Hadrat Tuhan adalah Baitul Makmur. Kedudukan Baitullah kepada manusia sama dengan kedudukan Baitul Makmur kepada malaikat. Seramai tujuh puluh ribu malaikat memasuki Baitul Makmur setiap hari. Sekali memasuki mereka tidak keluar lagi sampai ke hari kiamat.
Pada sekalian alam atau semua kejadian Tuhan, tempat yang paling kuat menerima Hadrat Tuhan berada di Arasy, iaitu tempat Nabi Muhammad s.a.w menerima perintah sembahyang lima waktu sehari semalam. Hanya Nabi Muhammad s.a.w seorang sahaja yang pernah sampai di sana. Jibrail a.s tidak sampai ke tempat tersebut.
Terdapat perbezaan kekuatan suasana Hadrat pada tempat-tempat yang diberkati Allah s.w.t. Kaabah diistilahkan sebagai Rumah Allah, Baitul Makmur pula Rumah Yang Aman Sentosa dan Arasy adalah Takhta Kerajaan. Bolehlah diibaratkan Kaabatullah sebagai Negeri Hadrat, Baitul Makmur sebagai Istana Hadrat dan Arasy sebagai Takhta Hadrat (ibarat ini hanyalah perbandingan sekadar untuk kefahaman). Nabi Muhammad s.a.w memulakan perjalanan baginda s.a.w daripada Baitullah. Baginda s.a.w Mikraj ke Baitul Makmur, kemudian diangkat ke Arasy, tempat perjalanan yang paling tinggi. Pada Baitullah Rasulullah s.a.w menerima kedatangan Jibrail a.s. Dalam suasana Baitullah manusia menerima suasana Hadrat dalam keadaan manusia dihijab oleh cahaya malaikat. Keadaan ini perlu kerana manusia umum tidak dapat bertahan menerima suasana Hadrat tanpa hijab malaikat. Pada Baitul Makmur pula makhluk dihijab dari suasana Hadrat oleh cahaya Arasy. Pada Arasy pula Hadrat tidak terhijab, sebaliknya Hadrat itu sendiri yang menjadi hijab, melindungi makhluk daripada kehebatan Keagungan Allah s.w.t. Di Arasy, dalam suasana tidak terhijab daripada Hadrat Tuhan, Nabi Muhammad s.a.w menerima firman Tuhan tanpa perantaraan. Walaupun tanpa perantaraan Nabi Muhammad s.a.w mendengar Kalam Tuhan di sebalik hijab, iaitu Hijab Hadrat atau hijab ketuhanan, bukan hijab cahaya malaikat atau yang lain.
Dan tidaklah terdapat seorang manusia pun yang Allah berkata-kata dengannya, kecuali dengan wahyu atau dari belakang hijab atau dikirim-Nya utusan, lalu dia mewahyukan dengan izin-Nya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia adalah Maha Tinggi, Maha Bijaksana. (Ayat 51 : Surah asy- Syura)
Nabi Musa a.s telah mendengar perkataan Tuhan dari sebalik hijab tanpa Allah s.w.t memperlihatkan Diri-Nya. Oleh kerana terlalu asyik mendengar Kalam Tuhan, Nabi Musa a.s teringin untuk melihat-Nya.
Dan tatkala Musa datang di waktu (yang) Kami (tentukan itu) dan Tuhannya Berkata-kata dengannya, berkatalah dia: "Hai Tuhanku! Tunjukkanlah Diri-Mu kepadaku supaya aku lihat Engkau. (Ayat 143 : Surah al-A'raaf)
Permintaan Nabi Musa a.s itu dijawab oleh Tuhan. Dia berfirman: "Sekali-kali engkau tidak akan dapat melihat Aku, tetapi lihatlah kepada gunung itu, jika ia tetap pada tempatnya maka engkau akan melihat Daku!" Tatkala Tuhannya mentajallikan kepada gunung maka hancurlah ia dan tersungkurlah Musa pengsan. Setelah dia sedar berkatalah dia: "Maha Suci Engkau, dan aku adalah yang pertama sekali beriman". (Ayat 143 : Surah al-A'raaf)
Jika Kalam Tuhan didengar disebalik hijab, melihat Tuhan juga di sebalik hijab, iaitu melihat Hadrat-Nya, merasakan kehadiran-Nya dengan iman, dengan penuh keyakinan. Nabi Musa a.s mendengar perkataan Tuhan di Gunung Thursina dan meminta untuk melihat-Nya. Nabi Muhammad s.a.w mendengar perkataan Tuhan di Arasy, tetapi Nabi Muhammad s.a.w tidak meminta untuk melihat-Nya. Setelah kembali ke Makkah baginda s.a.w ditanya oleh Abu Zarr adakah baginda s.a.w telah melihat Allah s.w.t? Baginda s.a.w menjawab: "Semuanya cahaya, bagaimana aku dapat melihat-Nya". Hijab ketuhanan yang meliputi makhluk menyebabkan tidak mungkin makhluk melihat-Nya secara terang-terangan sebelum berlaku kiamat.
Manusia dapat mengalami Hadrat Ilahi kerana Dia memperkenalkan Diri-Nya melalui sifat-sifat-Nya, melalui nilai-nilai yang ada dengan manusia sendiri. '...Dan pada diri kamu apakah tidak kamu perhatikan? (Ayat 21 : Surah adz-Dzaariyaat). Nilai-nilai yang ada dengan manusia mengajar kepada manusia mengenai aspek tasybih Tuhan. Bakat yang ada dengan manusia membolehkan manusia berhubung dengan Tuhan. Manusia mempunyai bakat yang istimewa ini kerana manusia ada perkaitan dengan roh.
(Ingatlah) tatkala Tuhan engkau berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia daripada tanah. Maka apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya daripada Roh-Ku hendaklah kamu meniarap kepadanya dalam keadaan sujud". (Ayat 71 & 72 : Surah Saad).
Maha Luhur darjat-Nya, Yang Empunya Arasy. Dia turunkan roh dari urusan-Nya kepada barangsiapa yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya untuk memberi peringatan tentang hari pertemuan. (Ayat 15 : Surah al-Mu'min)
Seterusnya Allah s.w.t berfirman: '..Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau satu roh dari urusan Kami. Padahal tidaklah engkau tahu apa itu Kitab dan apa itu iman. Tetapi Kami jadikan ia nur yang Kami beri petunjuk dengan ia barangsiapa yang kami kehendaki daripada hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau akan memimpin kepada jalan yang lurus. (Iaitu) jalan Allah, yang kepunyaan-Nya apa yang ada di semua langit dan apa yang ada di bumi. Ketahuilah! Kepada Allah akan sampai segala urusan. (Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura)
Dan mereka bertanya kepada engkau tentang Roh. Katakanlah: "Roh itu adalah urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberi ilmu melainkan sedikit". (Ayat 85 : Surah Bani Israil)
Hati nurani atau rohani manusia ada perkaitan dengan roh yang termasuk dalam kategori urusan Allah s.w.t. Roh urusan Allah s.w.t menjadi nur yang memberi petunjuk kepada manusia. Hati nurani yang diterangi oleh nur ini akan terpimpin kepada jalan Allah s.w.t. Roh urusan Allah s.w.t itulah memungkinkan segala urusan sampai ke Hadrat-Nya. Amalan, doa, rayuan dan apa sahaja yang manusia lakukan sampai kepada Allah s.w.t kerana roh urusan Allah s.w.t. Bagaimana semua itu terjadi tidak dapat diterangkan kerana manusia diberi sedikit sahaja ilmu mengenai roh urusan Allah s.w.t itu. Dengan ilmu yang sedikit itulah manusia mencuba menggerakkan kefahaman mengenainya.
Tuhan mengajar manusia melalui nilai-nilai yang ada pada diri manusia sendiri.Manusia wujud, hidup, mendengar, melihat, berkata-kata, berkehendak dan berpengetahuan. Melalui nilai-nilai tersebut Tuhan mengatakan Dia Wujud, Hidup, Mendengar, Melihat, Berkata-kata, Berkehendak dan Berilmu. Oleh kerana manusia memiliki unsur seni yang diistilahkan sebagai roh, maka Allah s.w.t menggunakan istilah roh juga agar mudah manusia memahami tentang roh urusan Tuhan. Tetapi manusia jangan lupa apa yang dinisbahkan kepada Tuhan melampaui segala sesuatu, melampaui bahasa dan pengetahuan, melampaui penyifatan dan ibarat dan tidak ada sesuatu yang serupa dengan apa yang dinisbahkan kepada-Nya. Tuhan bukakan ilmu mengenai ini sedikit sahaja, hanya sekadar mencukupi untuk membuat manusia beriman mengenainya.
Roh manusia yang ada perkaitan dengan tiupan Roh Allah s.w.t adalah sesuatu yang sangat unik dan istimewa. Adam a.s yang diciptakan daripada tanah berkeadaan seperti mayat sehinggalah beliau a.s menerima tiupan Roh Allah s.w.t. Kesan daripada tiupan Roh Allah s.w.t dinamakan Roh Insan yang padanya terkumpul segala bakat-bakat yang diperlukan oleh manusia, seperti bakat-bakat mendengar, melihat dan lain-lain. Tiupan Roh Allah s.w.t menjadikan manusia hidup dan mempunyai daya dan upaya. Tiupan Roh Allah s.w.t juga melahirkan nafsu dan akal yang berguna bagi mengarahkan perjalanan kehidupan dan penggunaan bakat-bakat yang ada dengan manusia.
Apabila keupayaan untuk hidup, bakat-bakat, nafsu dan akal berkumpul dan bersatu dengan jasad jadilah ia seorang manusia yang cukup sifat dan sempurna kejadiannya. Ia menjadi makhluk yang berjasad dan berhati nurani atau dikatakan juga manusia yang memiliki aspek zahir dan aspek batin. Aspek zahir manusia umpama mayat dan aspek batinnya umpama malaikat. Ketika Adam a.s berada di dalam syurga aspek zahirnya tidak menyerlah, kurang pengaruhnya. Pada tahap itu kedudukan Adam a.s sama dengan malaikat. Setelah Adam a.s dihantar ke dunia aspek zahirnya berada di dalam suasana yang sesuai dengannya. Aspek zahir menjadi kuat dan cuba mempengaruhi aspek batin agar tunduk kepada keinginannya. Manusia pada aspek mayat tidak lagi menumpang aspek malaikat, malah ia cuba menggunakan aspek malaikat untuk memenuhi kepentingan dan keperluannya. Mungkin juga kerana ia menyedari yang ia akan kembali menjadi mayat, sedangkan aspek malaikat akan terus hidup, maka apa sahaja yang dia ingini mesti diperolehi sekarang, jangan bertangguh-tangguh lagi.
Bakat-bakat manusia seperti mendengar dan melihat dimiliki oleh kedua-dua aspek manusia iaitu zahir dan batin. Oleh kerana pengaruh zahir lebih kuat maka bakat aspek batin tidak mampu digunakan oleh manusia. Hijab zahiriah terlalu kuat sehingga manusia tidak mampu menyaksikan perkara-perkara ghaib, apa lagi hal-hal ketuhanan. Manusia seperti ini tidak dapat merasakan kehadiran Tuhan. Apabila terhijab daripada kehadiran Tuhan, amal ibadat yang dilakukan tidak memberi kesan dan tidak mampu melindungi manusia daripada terjerumus ke dalam kejahatan.
Manusia dapat mengalami suasana Hadrat Tuhan (kehadiran Tuhan) apabila bakat-bakat rohnya berfungsi. Roh manusia sangat istimewa. Roh yang Tuhan kurniakan kepada manusia menyebabkan manusia boleh mengenal Tuhan apabila Tuhan mengajar mereka mengenali-Nya melalui bakat-bakat dan nilai-nilai yang ada dengan mereka sendiri.
Keajaiban yang dimiliki oleh roh menyebabkan ada manusia yang salah mengerti tentang roh mereka. Mereka beranggapan roh itulah Tuhan, penjelmaan Tuhan atau Tuhan adalah batin (nyawa) kepada roh. Diri, roh dan Tuhan dikatakan yang sama. Fahaman ini adalah sesat dan kufur. Tuhan mengajar manusia mengenali-Nya melalui nilai-nilai yang ada dengan manusia bukan untuk menyesatkan manusia dengan akal dan khayalan mereka. Manusia mempunyai sifat melihat. Tuhan mengatakan Dia Melihat. Penglihatan manusia dan juga penglihatan roh bukanlah Penglihatan Tuhan. Ke dua-duanya tidak sama dan tidak serupa. Penglihatan manusia dan juga penglihatan roh adalah ciptaan Tuhan.
Tuhan boleh menciptakan penglihatan untuk manusia dan roh kerana Dia memiliki Penglihatan. Oleh kerana Dia yang memiliki Penglihatan maka Dia tahu bagaimana mahu menciptakan penglihatan. Tuhan berpengetahuan dalam menciptakan penglihatan untuk makhluk-Nya. Jika Tuhan tidak memiliki Penglihatan maka Tuhan menciptakan penglihatan makhluk dalam kejahilan. Keadaan ini adalah mustahil bagi Tuhan. Tuhan Maha Tahu tentang apa yang diciptakan-Nya kerana setiap nilai dan bakat yang diciptakan-Nya dimiliki-Nya sendiri secara Mutlak. Nilai Mutlak yang dimiliki oleh Tuhan menyebabkan Dia boleh mengadakan nilai-nilai tersebut yang tidak Mutlak. Oleh kerana itu tiada hujah bagi manusia mengatakan Tuhan tidak melihat perbuatan mereka kerana Tuhan memiliki Penglihatan Mutlak. Penglihatan Mutlak menyaksikan apa sahaja yang dipandang oleh penglihatan yang tidak Mutlak. Tidak mungkin penglihatan yang tidak Mutlak memandang tanpa penyaksian Penglihatan Mutlak.
Tuhan juga memiliki Roh Mutlak, lantaran itu Dia boleh mengadakan roh yang tidak Mutlak untuk manusia. Pendengaran, Penglihatan dan lain-lain adalah bakat Roh Mutlak. Roh tidak Mutlak juga memiliki bakat-bakat mendengar, melihat dan lain-lain. Keadaan yang demikian menyebabkan orang sufi sering mengatakan insan diciptakan dengan bayangan ar-Rahman. Ungkapan yang demikian melahirkan kefahaman yang insan adalah bayangan Tuhan. Sebenarnya bakat manusia tidak boleh dihubungkan dengan bakat Tuhan seperti menghubungkan bayang dengan yang empunya bayang. Wujud manusia dan sifat manusia tidak bertembung dengan Wujud Tuhan dan sifat Tuhan. Roh manusia bukanlah Roh Tuhan. Roh menggambarkan bakat-bakat yang banyak berkumpul dalam kesatuan. Bakat-bakat mendengar, melihat, berkata-kata, berkehendak, berkuasa, berpengetahuan dan hidup adalah bakat yang satu iaitu roh. Apabila disebut roh ia meliputi semua bakat dan nilai.
Apabila Bakat-bakat yang demikian dilihat pada suasana ketuhanan, maka suasana tersebut dinamakan Kudrat. Istilah Roh Tuhan adalah satu bentuk pengajaran Tuhan kepada manusia melalui nilai yang ada dengan manusia sendiri, supaya mudah manusia memperolehi kefahaman. Orang yang menyamakan rohnya dengan Roh Tuhan dan menyamakan dirinya dengan Tuhan wajiblah bertaubat sebelum nyawa sampai di halkum. Yakinlah hamba tetap hamba dan Tuhan tetap Tuhan, tidak ada kamil berkamil, satu bersatu, sama menyama. Bertaubatlah daripada iktikad yang salah!
Suasana Hadrat yang di alami oleh hati nurani dikenali sebagai hakikat atau hal ketuhanan. Hakikat dialami dalam dua keadaan. Dalam keadaan yang pertama orang yang mengalaminya tidak sedarkan kewujudan dirinya dan dalam keadaan yang ke dua pula pengalaman hakikat tidak mencabut kesedaran dan kehambaannya. Misalnya, dalam satu pengalaman hakikat, orang yang hilang kesedaran mengucapkan: "Ana al-haq! (Akulah Tuhan)", tetapi orang yang menetap dalam kesedaran dan kehambaan yang mengalami hakikat yang sama mengucapkan: "Hua al-Haq! (Dia jualah Tuhan)". Jenis pertama merasakan dia menjadi Tuhan. Jenis ke dua mengenali apa yang dimaksudkan sebagai Tuhan. Yang pertama hilang kesedaran diri lalu mengaku menjadi Tuhan. Yang ke dua pula mengenali Tuhan sebagai Tuhan dan hamba sebagai hamba. Jenis pertama dikurung oleh bayang dan mendapati sukar untuk melepasi peringkat itu. Jenis ke dua menetap di atas kenyataan yang benar dan lebih mudah untuk sampai kepada Kebenaran Hakiki.
Allah s.w.t mempunyai satu Hadrat bernama ar-Rahman. Orang yang hilang kesedaran masuk kepada bayangan ar-Rahman lalu merasakan dirinya adalah ar-Rahman. Dia merasakan dirinya sangat pemurah, mahu mengabulkan apa sahaja yang orang minta. Tetapi ‘ar-Rahman'-nya hanyalah bayangan. Oleh itu apa yang boleh diberinya juga adalah bayangan iaitu pengharapan dan angan-angan. Orang yang menemui Hadrat ar-Rahman dalam kesedaran mengalami hal yang berbeza. Dia tidak diganggu oleh bayangan. Dia mengalami suasana kesucian yang Maha Suci, kebesaran yang Maha Besar, keagungan yang Maha Agung. Pada ketika itu dia merasakan setiap zarah kewujudannya sama seperti debu tepung. Apabila berhadapan dengan Tuhan ar-Rahman dia merasakan setiap zarah kewujudannya relai seumpama debu tepung ditiup angin kencang.
Bila dia keluar daripada pengalaman tersebut dia mendapat pengertian tentang keagungan Tuhan ar-Rahman. Dia mengerti keadaan hancurnya Gunung Thursina tatkala Tuhan hadapkan keagungan-Nya ke sana. Dia mengerti maksud perkataan Jibrail a.s: "Jika aku melangkah satu langkah lagi cahaya keagungan Allah s.w.t akan membakar daku". Dia mengerti maksud perkataan Rasulullah s.a.w: "Cahaya di mana-mana, bagaimana aku boleh melihat-Nya".
Orang yang menetap dalam kehambaan mengalami hakikat dan memperolehi makrifat melalui pengalaman, bukan sekadar melalui ilmu. Ketika merasakan zarah kewujudannya tertanggal satu-satu dia mengenal Tuhan yang boleh dikenal. Setelah zarah-zarah kewujudannya ‘diterbangkan angin kencang' dan ‘hilang', dia mengenali Tuhan yang melampaui segala pengenalan. Lalu dia mendapat pengertian bahawa yang benar-benar kenal Tuhan adalah Tuhan sendiri. Hanya Dia yang mengenali Diri-Nya. Kami mengenali-Nya melalui-Nya, sekadar yang Dia izinkan kami mengenali-Nya. Pengalaman hakikat cara demikian menggabungkan tahu dengan tidak tahu, faham dengan tidak faham dan kenal dengan tidak kenal.
Perkara yang sering menimbulkan kekeliruan orang ramai adalah persoalan Qadak dan Qadar. Qadak dan Qadar berhubung dengan Ilmu Tuhan atau suasana Pentadbiran Tuhan. Ada orang yang Tuhan izinkan ‘masuk' ke dalam suasana Ilmu-Nya. Apa yang ditemui pada Hadrat Ilmu Tuhan adalah hakikat-hakikat yang menguasai perjalanan alam. Hakikat atau urusan Tuhan yang berhubung dengan manusia dinamakan Hakikat Insan. Urusan Tuhan yang berhubung dengan alam dinamakan Hakikat Alam. Urusan yang mencakupi segala perkara dinamakan hakikat kepada hakikat-hakikat atau hakikat yang menyeluruh. Pengalaman hakikat-hakikat pada Hadrat Ilmu Tuhan membawa seseorang kepada jalan yang menggabungkan dua jalan iaitu jalan nabi dan jalan asma'. Jalan nabi adalah syariat iaitu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan dan mengabdikan diri kepada-Nya.
Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu. (Ayat 56 : Surah adz-Dzaariyaat). Jalan asma' adalah menyaksikan Rububiah (ketuhanan) pada setiap masa dan dalam semua suasana.
Sesungguhnya aku bertawakal kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu. Tidak ada satu pun yang melata melainkan Dia jualah yang memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku adalah di atas jalan yang lurus. (Ayat 56 : Surah Hud)
Bukan kamu yang membunuh mereka tetapi Allah jualah yang membunuh mereka. Dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar tetapi Allah jualah yang melempar. (Ayat 17 : Surah al-Anfaal) Jalan syariat memperbaiki amal dan jalan asma' atau jalan hakikat adalah menyaksikan Hadrat Ilahi dalam segala perkara dan pada semua suasana. Bila dua jalan berpadu lahirlah amal zahir dan amal batin yang sesuai dengan peraturan dan kehendak Allah s.w.t, mengambil Qadak dan Qadar melalui nilai-nilai yang ada dengan manusia, berusaha dan beramal, dan pada masa yang sama beriman dan bertawakal kepada Tuhan yang memegang perjalanan segala urusan. Tidak ada sesuatu yang bebas daripada hakikat ketuhanan yang menguasainya. Allahu Akhbar!
Kasyaf dan Ilham Sufi
Setiap makhluk yang diciptakan Tuhan dilengkapkan-Nya dengan fitrah. Fitrah menerbitkan bakat dan keupayaan semulajadi yang membolehkan setiap kejadian itu berfungsi menurut kejadiannya. Fitrah matahari mengheret matahari untuk bergerak pada satu landasan sambil mengeluarkan cahaya yang mengandungi tenaga yang diperlukan oleh kejadian di bumi. Haiwan, tumbuh-tumbuhan, galian dan lain-lain semuanya mempunyai fitrah masing-masing dan setiap satunya bergerak menurut peraturan fitrahnya. Di antara semua kejadian, manusia dikurniakan fitrah yang paling sempurna kerana manusia berkewajipan memerintah dan mentadbir sekalian makhluk. Malaikat sendiri tunduk kepada manusia. Malaikat yang menguruskan bidang penglihatan tidak menghalang manusia menggunakan penglihatan matanya sekalipun yang dilihat olehnya itu diharamkan oleh Allah s.w.t. Malaikat yang menjaga nyawa tidak mencabut nyawa itu sekalipun manusia melakukan kejahatan dan kedurhakaan kepada Allah s.w.t.
Fitrah manusia merupakan sebaik-baik persediaan dalam melaksanakan tugas-tugas kehambaan kepada Allah s.w.t. Melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t dan menguruskan kehidupan di bumi merupakan kewajipan manusia. Dalam melaksanakan hal yang demikian itu fitrah manusia dikurniakan sesuatu yang sangat luar biasa iaitu keupayaan untuk membuat pilihan. Hanya manusia dan jin yang memiliki keupayaan memilih. Makhluk lain tidak diberikan bakat tersebut. Dalam membuat pilihan fitrah manusia boleh menggunakan bakat-bakatnya iaitu fikiran, ilham dan kasyaf.
Melalui bakat berfikir manusia boleh membuat pilihan dalam menguruskan kehidupan lahiriah mereka. Kekuatan fikiran yang ada dengan manusia mengangkat manusia kepada darjat yang tinggi. Mereka mampu menguasai daratan, lautan dan udara. Mereka mampu mengambil manfaat daripada anasir alam yang ada di sekeliling mereka. Sempadan bagi kekuatan fikiran adalah jangkauan pancaindera dan logik. Apa yang tidak mampu dijangkau oleh pancaindera akan menimbulkan kesulitan kepada fikiran dan apa yang tidak termasuk dalam bidang logik akan mengelirukan fikiran.
Bidang yang tidak dapat diterokai oleh fikiran mampu diterokai oleh ilham. Fikiran sangat mahir dalam menyusun sesuatu yang bersangkutan dengan kebendaan. Kebendaan yang menjadi bidang fikiran ini bertindak sebagai hijab kepada bidang ilham. Pengaruh dan tarikan kebendaan menjadi tembok yang menghalang manusia daripada memperolehi ilham.
Pengaruh dan tarikan kebendaan tertuju kepada hati. Jika hati dapat keluar daripada kekuasaan dan ikatan kebendaan hati akan mampu mengeluarkan sinar cahayanya untuk memperluaskan bidang yang dapat diterokai oleh akal fikiran melalui cetusan ilham. Akal fikiran yang dibantu oleh ilham dapat keluar dari bidang logik dan sempadan kebendaan. Manusia dapat menerima kewujudan kuasa ghaib yang menguasai anasir alam yang nyata.
Terdapat dua golongan manusia yang menguasai bidang ilham. Mereka adalah ahli falsafah dan ahli sufi. Ahli falsafah yang menggunakan kekuatan diri sendiri hanya mampu mengambil ilham pada bahagian permukaan sementara ahli sufi berkeupayaan untuk menyelam ke dasar lautan ilham. Walaupun berbeza darjat ilham tetapi oleh kerana ia masih di dalam satu daerah, maka terdapat tolak-ansur di antara sufi yang di dalam daerah ilham dan ahli falsafah yang juga di dalam daerah ilham. Sufi yang begini beranggapan ahli falsafah adalah juga ahli sufi. Begitu juga anggapan ahli falsafah terhadap ahli sufi. Fahaman ahli falsafah dan fahaman ahli sufi tahap ilham banyak persamaan. Sufi pada tahap ini boleh bekerjasama dengan ahli falsafah dalam mengwujudkan kepercayaan atau agama sejagat. Agama sejagat ini mengambil nilai-nilai murni kemanusiaan sebagai peraturan hidup dan keikhlasan sebagai kehambaan kepada Tuhan. Setiap individu diperlukan mempratikkan nilai-nilai murni kemanusiaan dan bebas melakukan keikhlasan menurut kemampuan dan bakat yang ada dengannya dalam menyatakan khidmatnya kepada Tuhan. Golongan ini sangat mengasihi manusia dan sangat bertolak ansur dengan sesama manusia. Mereka menganggap semua agama adalah baik dan benar. Mereka berfahaman semua agama menyembah Tuhan yang sama walaupun caranya berbeza. Mereka tidak mengutuk perbuatan memyembah Tuhan dengan menggunakan perantaraan seperti patung-patung. Kebanyakan agama dalam dunia hari ini telah diolah semula oleh golongan sufi-falsafah. Maksud sufi di sini termasuklah ahli agama yang selain Islam yang mengamalkan bidang kerohanian dan melatih diri dalam bidang tersebut. Dari kalangan merekalah muncul orang-orang yang membina tempat patung-patung dalam tempat-tempat ibadat agama Nasrani dan Yahudi. Orang yang beragama menyembah berhala tidak berasa janggal apabila mereka memasuki rumah ibadat orang Nasrani dan Yahudi. Pengaruh yang demikian juga menjalar ke dalam masyarakat Islam. Orang-orang Islam yang berjiwa falsafah gemar membina sesuatu yang menonjol dan tersergam di dalam masjid-masjid. Jika penyembah berhala melihat kaum Muslimin sedang sujud mungkin mereka menyangka kaum Muslimin sujud kepada benda yang menonjol dan tersergam itu.
Sufi seterusnya masuk ke dalam bidang kasyaf. Penyaksian mata hati dan pengalaman rasa merupakan bidang kasyaf. Hati menyaksikan dan merasakan suasana ghaib dan hal-hal yang berhubung dengan ketuhanan. Walaupun sufi menyaksikan dan merasakan hal ketuhanan tetapi ia bukanlah Tuhan. Apa yang dibukakan kepada sufi itu adalah ibarat kunci yang membuka pintu makrifat untuk sufi mengenali Tuhan. Kasyaf tahap tertinggi hanyalah pengalaman rasa tanpa penyaksian tentang hal ketuhanan itu. Pengalaman rasa atau zauk tanpa penyaksian membawa sufi bermakrifat tentang Allah s.w.t yang Maha Esa, tiada sesuatu yang menyerupai-Nya. Makrifat cara begini menanamkan kefahaman yang tidak mampu dihuraikan.
Penghuraian yang lengkap tentang Allah s.w.t hanya terdapat dalam wahyu. Apa yang diterangkan oleh wahyu tentang Allah s.w.t dapat difahami oleh seseorang manusia menurut tahap pemikiran, ilham dan kasyafnya. Orang yang mempunyai ke tiga-tiga bakat-bakat fitrah itu secara sempurna akan mengenal Allah s.w.t dengan sempurna. Wahyu menerangi kasyaf, kasyaf menerangi ilham dan ilham menerangi fikiran. Nur wahyu yang menerangi kasyaf, ilham dan fikiran itu membuka simpulan pada lidah sehingga lidah boleh berucap dengan fasih tentang Allah s.w.t, menurut kadar yang Dia izinkan.
Apabila sekalian bakat-bakat fitrah itu sudah disinari oleh nur wahyu baharulah fitrah kemanusiaan itu melonjak kepada fitrah Muslim. Manusia yang fitrahnya belum mencapai tahap fitrah Muslim, walaupun pintar menggunakan akal namun, dia masih belum bersesuaian dengan kehendak Allah s.w.t. Daya nilai fitrah manusia banyak bersesuaian dengan daya nilai fitrah Muslim dalam bidang akhlak tetapi tidak dalam bidang ketuhanan. Kebenaran yang sejati berada pada fitrah Muslim. Apa yang dinilaikan baik oleh fitrah manusia jika bercanggah dengan penilaian fitrah Muslim, maka fitrah manusia mesti akur dengan kebenaran fitrah Muslim. Orang Islam yang bijak sekalipun tidak akan dapat melihat hikmah di sebalik suruhan dan tegahan agama, sekiranya fitrahnya tidak naik kepada tahap fitrah Muslim atau pun jika akalnya enggan tunduk kepada kebenaran yang dinyatakan oleh wahyu. Apabila fitrah manusia mencapai tahap fitrah Muslim, akan ujudlah penyerahan yang sejati kepada Allah s.w.t, tanpa hujah dan tanpa takwil. Dia akan tunduk kepada peraturan Allah s.w.t yang dibawa oleh Rasul-Nya. Dalam jiwanya akan lahir keghairahan beragama. Dia akan cemburu jika Allah s.w.t, Rasulullah s.a.w, al-Quran dan agamanya dipersendakan apa lagi kalau dikhianati.
Semua bakat-bakat fitrah mestilah menjadi Muslim. Akal fikiran menjadi Muslim, ilham menjadi Muslim dan kasyaf menjadi Muslim. Bila semua bakat itu sudah menjadi Muslim, akan bercahayalah Roh Islam seseorang itu. Roh Islam akan hanya mengeluarkan yang Muslim, tidak ada percanggahan dengan Islam. Roh Islam yang paling sempurna adalah Roh Nabi Muhammad s.a.w. Jibrail a.s membacakan wahyu dan Roh Islam Nabi Muhammad s.a.w mentafsirkannya. Apa yang baginda s.a.w tafsirkan menepati apa yang wahyu maksudkan, tanpa sedikitpun percanggahan. Jika mahu melihat al-Quran dalam rupa manusia, maka Nabi Muhammad s.a.w adalah ‘al-Quran' yang hidup, berkata-kata dan bergerak dalam daerah kehidupan manusia. Selain Nabi Muhammad s.a.w darjat persamaan dengan wahyu itu bertingkat-tingkat menurut darjat akal, ilham dan kasyaf masing-masing.
Fikiran, ilham dan kasyaf sufi bukanlah satu sumber ilmu yang menyamai wahyu atau pun bebas daripada wahyu. Bakat-bakat tersebut hanyalah alat untuk mentafsirkan wahyu yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w mengenai sesuatu perkara yang diimani. Bakat-bakat tersebut walaupun boleh digunakan sebagai alat bagi menterjemah wahyu tetapi ia bukanlah secara sempurna. Ia berkedudukan seperti ijtihad para mujtahid yang mungkin benar dan mungkin silap. Dalam pembinaan hukum dan fatwa yang mengenai orang ramai, kedudukan ijtihad ahli mujtahid lebih kuat daripada ilham dan kasyaf sufi.
Ilham dan kasyaf sufi lebih bersifat peribadi, berguna untuk sufi itu sendiri dalam menentukan arah tindakannya. Kesan mabuk yang berlaku pada jalan kewalian sufi sukar terpisah daripada seseorang sufi itu dan kesan tersebut boleh mempengaruhi ilham dan kasyafnya. Apa yang diperolehi oleh sufi yang dipengaruhi oleh mabuk mungkin tidak menepati kebenaran yang asli. Sufi tersebut mungkin mengeluarkan pendapat yang kurang benar dan meninggalkan yang lebih benar. Oleh yang demikian kebenaran ilham dan kasyaf sufi itu mesti diuji dengan kebenaran al-Quran dan as-Sunah. Kedudukan seseorang sufi itu diukur dengan melihat sejauh mana ilham dan kasyafnya bersesuaian dengan ajaran al-Quran dan as-Sunah. Sufi yang telah mencapai tahap kewalian peringkat tertinggi, yang telah terlepas daripada kesan mabuk, fana dan bersatu dengan Tuhan, tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunah.
Al-Quran dan Hadis telah memberi penjelasan yang lengkap mengenai perkara-perkara yang bersangkutan dengan akidah. Perkara yang sudah cukup terang dan jelas ini tidak boleh digugat oleh apa sahaja, termasuklah fahaman, ilham dan kasyaf sufi. Jika terjadi percanggahan di antara ucapan ahli sufi dengan kenyataan al-Quran dan as-Sunah mengenai perkara akidah, ia mestilah ditolak dan perkataan al-Quran dan as-Sunah itu yang wajib diimani. Ucapan sufi yang demikian hendaklah dianggapkan sebagai ucapan yang lahir daripada suasana hati yang dipengaruhi oleh mabuk dan fana dan sufi berkenaan belum lagi menghabiskan perjalanannya. Jika perkataan sufi menyokong kenyataan al-Quran dan as-Sunah, maka perkataan tersebut hendaklah dibenarkan. Dalam memahami maksud al-Quran dan as-Sunah, aliran Ahli Sunah wal Jamaah hendaklah diikuti.
Ada perkara-perkara yang al-Quran dan al-Hadis hanya memberi maklumat secara sepintas lalu atau pun tidak memberi maklumat sedikitpun. Perkara-perkara berkenaan termasuklah soal-soal syurga, neraka, bumi, alam maya, malaikat, jin, makhluk rohani dan lain-lain. Ahli sufi banyak memperkatakan soal-soal yang demikian berdasarkan ilham dan kasyaf mereka, tanpa sokongan nas yang sahih. Dalam soal ini orang ramai tidak dituntut untuk mengimani perkataan sufi. Ilham dan kasyaf sufi boleh jadi benar dan boleh jadi juga tidak benar. Nabi-nabi diperakui oleh Allah s.w.t sebagai maksum, dijamin terpelihara daripada gangguan syaitan dan tidak terjadi kesalahan pada ilham dan kasyaf mereka. Apa juga kekeliruan yang timbul akibat gangguan syaitan diperbetulkan dengan segera dan kebenaran perkataan Nabi-nabi ditetapkan. Jaminan yang demikian tidak diberi kepada golongan yang bukan Nabi. Namun begitu, perkataan sufi mengenai soal-soal yang tidak bersangkutan dengan akidah itu boleh dijadikan iktibar dan mempercayainya tidak menjadi kesalahan. Melalui perkataan mereka orang-orang yang ingin memahami perkara-perkara tersebut mendapat sedikit pemahaman yang boleh dikembangkan melalui kekuatan akal fikiran.
Sufi memperolehi maklumat melalui kasyaf. Kadang-kadang kasyaf berlaku kepada sufi dalam bentuk ibarat atau pembukaan secara umum tanpa perincian. Kasyaf yang demikian perlu ditafsirkan. Biasa terjadi tafsiran yang dibuat oleh sufi itu tidak menepati gambaran atau ibarat yang dibukakan kepadanya Bila sufi menerima berita secara umum maka tafsiran secara umum juga yang diberikannya. Maklumat yang diperolehi secara umum, tanpa perincian, tidak dapat menceritakan sesuatu perkara dengan tepat. Sufi juga mungkin mendapat maklumat mengenai sesuatu kejadian dan maklumat tersebut datangnya daripada sumber takdir yang akan berubah, sedangkan perubahan yang akan berlaku tidak dibukakan kepadanya. Allah s.w.t berfirman:
Apa sahajat ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan) atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu? ( Ayat 106 : Surah al-Baqarah )
Ayat di atas memberitahukan tentang takdir yang di dalam perbatasan yang boleh berubah dengan kehendak dan perintah Allah s.w.t.
Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang) perubahan pada kalimat (janji-janji) Allah; yang demikian itulah kejayaan yang besar. ( Ayat 64 : Surah Yunus )
Ayat di atas ini pula memberitahukan tentang daerah takdir yang tidak akan berubah kerana Allah s.w.t telah menetapkannya. Kasyaf seorang sufi mungkin hanya sampai kepada daerah takdir yang mungkin berubah, tidak sampai kepada daerah takdir yang tetap. Oleh yang demikian apa yang disaksikannya mungkin berlaku dan mungkin juga tidak berlaku.
Perlu juga diketahui bahawa seseorang sufi melalui peningkatan kerohanian secara sedikit demi sedikit, bukan sekaligus. Suasana kerohanian atau makam mempengaruhi fahaman dan pegangan sufi. Seorang sufi boleh mengeluarkan beberapa pendapat yang berbeza mengenai perkara yang sama. Pendapatnya di awal perjalanan, pertengahan dan di akhir perjalanan mungkin bertentangan di antara satu sama lain. Pendapatnya yang paling benar adalah pendapat yang diberikannya setelah dia kembali kepada kesedaran sepenuhnya dan berkamil dengan syariat sepenuhnya.
Sufi yang masih di dalam perjalanan menemui beberapa fahaman yang bercanggah dengan prinsip syariat. Di antara yang demikian adalah konsep tauhid af'al, tauhid sifat dan tauhid wujud. Konsep tauhid yang demikian membawa Tuhan ke dalam perbatasan alam dan mengadakan persamaan di antara Tuhan dengan makhluk. Sufi yang sedang dikuasai oleh suasana kerohanian yang demikian menafikan perbuatan dirinya, sifatnya dan wujudnya. Semuanya diisbatkan kepada Allah s.w.t. Muncullah ungkapan seperti: "Tiada yang berbuat melainkan Allah. Tiada yang hidup melainkan Allah. Tiada yang maujud melainkan Allah" dan lain-lain ungkapan yang seumpamanya. Ungkapan yang paling popular dikaitkan dengan kesufian adalah: "Ana al-Haq!" Ada golongan yang beranggapan kononnya sufi yang belum mengucapkan "Ana al-Haq" belum lagi mencapai makam yang paling tinggi. Golongan sufi ikutan menggunakan ungkapan yang demikian bagi memukau kesedaran diri sendiri dengan cara mengulangi ucapannya sebanyak mungkin dan menghayati maknanya sehingga terpahat kepercayaan yang demikian dalam jiwa mereka. Golongan yang mengikut secara membuta tuli inilah yang menyebarkan kesesatan, berselindung di sebalik perkataan sufi yang sedang mabuk.
Manusia yang masih ada keupayaan untuk membuat pilihan, berfikir dan merasa, mestilah faham keadaan sufi yang fitrah mereka menerima kejutan alam ghaib sehingga keupayaannya untuk membuat pilihan, berfikir dan merasa hilang. Sufi yang demikian dikatakan berada di dalam jazbah. Orang yang berada dalam jazbah adalah umpama orang yang keluar ke laut menaiki perahu kecil. Bila dipukul gelombang dia menjadi mabuk dan meracau. Setelah dia sampai ke tengah laut, ombak sudah tenang, mabuknya berkurangan dan akhirnya dia kembali normal. Bila dia sudah sedar dia tidak meracau lagi. Pengalaman jazbah berguna kepada sufi berkenaan kerana pengalaman yang demikian menanggalkan sifat-sifat yang keji dari hatinya dan sifat ikhlas menjadi sebati dengannya. Pengalaman jazbah itu juga berguna kepada guru yang menjadi pembimbing kerana dengannya guru dapat mengetahui suasana dan stesen kerohanian muridnya. Ia juga menjadi tanda bahawa murid berkenaan mempunyai harapan untuk menjadi cemerlang kesudahannya. Guru yang arif akan membimbing muridnya supaya melepasi peringkat-peringkat zauk sehingga sampai kepada penghujung jalan yang tenang dan damai. Murid yang sudah melepasi peringkat jazbah dan kembali kepada kesedaran kemanusiaan biasa akan menyedari akan kekeliruan yang muncul dalam fahamannya sepanjang perjalanannya. Dia bertaubat daripada pegangan yang lalu. Kini dia menyaksikan satu kebenaran sahaja iaitu kebenaran kehambaan kepada Allah s.w.t. Manusia dan jin diciptakan untuk mengabdikan diri kepada-Nya, bukan untuk bersatu dengan perbuatan, sifat atau wujud-Nya.
Fahaman yang keluar dari ilham dan kasyaf sufi sekiranya menyalahi syariat wajiblah ditolak. Jika orang yang mengetahui tentangnya ada kebolehan, ucapan latah sufi haruslah diterjemahkan menurut stesen kerohanian sufi berkenaan dan penjelasan harus diberi kepada orang ramai agar latah sufi tidak disalahertikan. Sufi yang mengeluarkan ucapan latah ketika dalam jazbah haruslah dimaafkan, walaupun ucapannya menyalahi syariat. Harus diingat bahawa sufi tidak terlepas sepenuhnya daripada suasana mabuk sebelum dia sampai kepada makam siddiqiyat. Semua makam di bawah daripada makam siddiqiyat tidak terlepas daripada pengaruh mabuk sedikit atau banyak. Kesimpulannya pendapat sufi yang bertentangan dengan syariat wajib ditolak tetapi peribadi sufi itu sendiri tidak boleh dikutuk kerana dia dikuasai oleh mabuk
Kewujudan Diri Sendiri
Hakikat Insan dan Hakikat Muhammadiah adalah pengalaman kerohanian di dalam kefanaan, iaitu ketika hilang perhatian dan kesedaran terhadap diri sendiri. Dalam suasana tersebut si hamba tidak tahu siapakah dirinya. Dia hanyalah yang menyaksikan.
Setelah mengalami suasana Hakikat Muhammadiah si hamba berpindah kepada suasana di mana kesedaran dan perhatian terhadap kewujudan dirinya mula datang semula secara sedikit demi sedikit. Hakikat yang membuka jalan kepada kesedaran ini dinamakan Hakikat Insan Kamil.
HAKIKAT INSAN KAMIL
Si hamba menyaksikan bahawa Insan Kamil adalah pertemuan di antara ketuhanan dan kehambaan. Pada Insan Kamil berkumpul pengetahuan tentang Tuhan dan pengetahuan tentang makhluk Tuhan. Insan Kamil mengenal Tuhan dalam aspek tanzih dan tasybih. Insan Kamil memperolehi maklumat Hakikat Muhammadiah secara lengkap dan sempurna. Insan Kamil yang memiliki ilmu dan makrifat yang sempurna. Insan Kamil yang mempunyai pengenalan yang sempurna tentang Tuhan. Insan Kamil juga mempunyai pengetahuan yang sempurna tentang apa yang Tuhan sampaikan kepada hamba-hamba-Nya.
Insan Kamil juga mempunyai maklumat Hakikat Insan secara sempurna. Oleh kerana Hakikat Insan mengumpulkan maklumat yang lengkap tentang manusia dan alam makhluk sekaliannya, maka Insan Kamil mempunyai pengetahuan yang lengkap tentang manusia dan alam makhluk sekaliannya. Seluruh alam semesta ‘terkandung' dalam Insan Kamil. Hati si hamba yang terbuka kepada suasana Hakikat Insan Kamil menyaksikan seluruh alam semesta berada dalam hatinya. Si hamba menyaksikan pengetahuan ketuhanan datang secara langsung kepada hatinya.
Pembukaan kepada Hakikat Insan Kamil membuat hati si hamba menyaksikan alam semesta disempadani oleh dirinya dan pada masa yang sama dia menyaksikan ‘Allah' bersemayam dalam hatinya. Inilah peringkat yang paling tinggi bahayanya dalam semua peringkat pengalaman kerohanian. Ketuhanan dan kehambaan muncul pada hati yang sama, pada perasaan yang sama dan pada masa yang sama. Hanya kehambaan yang sentiasa membayanginya meneguhkan tapak kakinya berpijak pada jalan yang benar. Kehambaan pada peringkat ini sangat rapuh, mudah sahaja menjadi hancur lebur. Jika hal yang demikian terjadi hati si hamba tidak lagi melihat perbezaan di antara hamba dengan Tuhan, dirinya dengan Tuhan. Keadaan seperti ini tidak muncul sewaktu menyaksikan Hakikat-hakikat yang lain termasuklah Hakikat Muhammadiah kerana pada ketika itu makhluk dan dirinya tidak ada dalam perhatian dan kesedarannya. Pada tahap mengalami suasana Hakikat Insan Kamil ini kesedaran dan perhatian kepada diri dan makhluk baharu sahaja muncul kembali, belum begitu kuat dan berpengaruh. Kesedaran dan perhatian tersebut baharu pada tahap seumpama bayang-bayang yang belum melekat benar pada hati. Hakikat Insan Kamil adalah umpama stesen bebas bagi hati. Ia boleh menjadi Tuhan dan hamba pada masa yang sama. Ia juga boleh menjadi nabi dan wali. Ia juga boleh menjadi malaikat.
Jika seseorang yang baharu sahaja kembali sedikit kesedarannya terhadap kewujudan dirinya larut dalam Hakikat Insan Kamil, hatinya akan mengalami apa yang biasa disebut oleh orang sufi sebagai bersatu dengan Tuhan. Rasa bersatu dengan Tuhan berbeza daripada mengalami suasana keesaan yang berlaku pada stesen kedua belas dahulu. Pada ketika itu keesaan dialami dalam suasana tiada kesedaran terhadap diri sendiri. Si hamba hanya menyaksikan Allah s.w.t semata-mata, tidak pada dirinya dan makhluk lainnya. Dia hanya menyaksikan satu wujud iaitu wujud Allah s.w.t, wujud yang lain tidak ada dalam perhatiannya. Oleh yang demikian tidak timbul isu bersatu dengan Tuhan pada peringkat itu. Pada peringkat Hakikat Insan Kamil pula wujud Allah s.w.t dan wujud dirinya menyata dalam kesedarannya dan mungkin dia tidak dapat membezakan yang satu dengan yang lain. Dalam keadaan demikian dia mungkin menyaksikan Allah s.w.t sebagai Haq (Yang Hakiki) dan juga khalq (makhluk sebagai bayangan Yang Hakiki). Dia mungkin merasakan dirinya sebagai Tuhan dan hamba Tuhan, yang sama dalam aspek yang berbeza. Dia mungkin melihat sifat-sifat yang ada pada dirinya sebagai sifat Tuhan dan dia menjadi penzahir sifat Tuhan secara sempurna. Dia mungkin merasakan pada wujudnya yang satu bertemu Wujud Tuhan dengan wujud alam semesta. Dia mungkin menyaksikan seluruh alam semesta seumpama bola kecil terkandung di dalam hatinya. Dia mungkin melihat badannya sebagai Arasy, rohnya sebagai Roh Muhammad dan zatnya sebagai Zat Tuhan. Dia mungkin juga melihat ilmunya sebagai Ilmu Tuhan dan bakat dirinya sebagai malaikat.
Bila dikuasai oleh rasa kelarutan dalam Hakikat Insan Kamil dia mungkin melihat dirinya berada pada satu falak di atas daripada falak yang ada makhluk yang lain. Malaikat, jin dan yang lain-lain mungkin dilihatnya berada di bawah daripada falak dirinya. Dia mungkin melihat bakat dirinya bergerak melalui makhluk yang lain. Jika dia berada dalam satu kumpulan pekerja dia mungkin melihat bakat dan daya upayanya berada pada setiap pekerja tersebut.
Suasana hati yang bertembung dengan Hakikat Insan Kamil mungkin membuat seseorang melaungkan "Ana al-Haq!". Ucapan "Ana al-Haq" pada peringkat ini berbeza daripada ucapan Ana al-Haq pada peringkat stesen ke sebelas. Pada stesen ke sebelas dahulu si hamba semata-mata menjadi alat dan Tuhan Pengguna alat. Si hamba tidak melihat ucapan tersebut sebagai ucapannya. Dia menyaksikan Kalam Tuhan yang keluar daripadanya. Pada peringkat Hakikat Insan Kamil pula ucapan "Ana al-Haq" dilafazkan dalam keadaan ada kesedaran diri. Kesedaran tersebut membuatnya melihat ucapan itu sebagai ucapan Tuhan dan juga ucapan dirinya yang bersatu dengan Tuhan. Apa yang dia ucapkan itulah yang Tuhan ucapkan, dan apa yang Tuhan ucapkan itulah yang dia ucapkan. Beginilah keadaan yang berlaku kepada orang yang larut dalam Insan Kamil.
Ramai orang menyangkakan Insan Kamil adalah penghabisan jalan. Mereka jadikan Insan Kamil sebagai makam mereka.
Semua keturunan Adam a.s dinamakan manusia. Dalam bangsa manusia itu ada golongan yang sempurna dinamakan manusia yang sempurna. Dalam golongan manusia yang sempurna itu ada kumpulan yang menjadi Nabi dan Rasul. Bangsa manusia secara keseluruhannya dikuasai oleh Hakikat Insan. Golongan manusia yang sempurna itu pula dikuasai oleh Hakikat Insan Kamil. Dalam golongan manusia yang sempurna itu, yang menjadi nabi dan rasul dikuasai pula oleh Hakikat Muhammadiah.
Hakikat-hakikat, termasuklah Insan Kamil, bukanlah makhluk yang ada dalam alam. Hakikat adalah urusan Tuhan. Insan Kamil adalah urusan Tuhan yang menguasai satu kumpulan manusia yang sempurna kehambaannya kepada Allah s.w.t. Insan Kamil yang asli, yang ada pada sisi Tuhan tidak berupa, tidak berbentuk, tidak berwarna, tidak menempati ruang dan zaman dan juga tidak bernama. Manusia-manusia sempurna yang muncul di atas muka bumi bolehlah dikatakan salinan lengkap kepada Insan Kamil yang asli. Manusia yang paling sempurna, menjadi salinan Insan Kamil yang paling sempurna menerima penguasaan sepenuhnya daripada Hakikat Muhammadiah dan beliau adalah Nabi Muhammad s.a.w. Manusia-manusia sempurna yang lain, walaupun sempurna tetapi kesempurnaan mereka tidak mencapai tahap kesempurnaan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka tidak menerima penguasaan Hakikat Muhammadiah secara lengkap, selengkap Nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu hanya Nabi Muhammad s.a.w sahaja yang bernama Muhammad, yang lain bernama Ibrahim, Musa, Isa, Nuh dan lain-lain. Manusia sempurna yang lain tidak mengaku diri mereka sebagai Muhammad walaupun mereka juga menerima maklumat daripada Hakikat Muhammadiah. Sejak Nabi Adam a.s sampailah kepada Nabi Isa a.s tidak ada seorang Nabi pun yang mengaku menjadi Muhammad. Kumpulan manusia yang sah kesempurnaan mereka tidak mengaku menjadi Muhammad atau bersekutu dengan Muhammad. Jika ada orang yang mengaku menjadi Muhammad atau bersekutu dengan Muhammad, baik secara zahir atau secara batin, maka nyatalah mereka telah keliru dalam memahami hakikat.
Salinan Insan Kamil yang paling sempurna dalam kumpulan Nabi-nabi adalah Nabi Muhammad s.a.w, penutup Kenabian. Salinan Insan Kamil yang sempurna dalam kumpulan wali-wali adalah Muhammad Imam Mahadi, penutup kewalian. Muhammad Imam Mahadi tinggal di dalam dunia dan menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya oleh Allah s.w.t. Bila tugas tersebut selesai beliau kembali ke rahmatullah. Pada ketika itu salinan Insan Kamil tidak akan muncul lagi ke dunia. Bila salinan Insan Kamil tidak ada lagi di dalam dunia maka tertutuplah ilmu ketuhanan. Tidak ada lagi manusia yang mengenal Allah s.w.t. Pada ketika itu berlakulah kiamat besar.
Ada beberapa perkara lagi perlu diketahui berhubung dengan daerah Insan Kamil yang selalu diperkatakan apabila bercakap mengenainya. Insan Kamil dikatakan bersemayam di dalam Kaabatullah. Kaabatullah selalu disebut dalam memperkatakan tentang hakikat. Ada orang mengatakan dia bersembahyang menghadap Kaabatullah. Ada pula yang mengatakan dia bersembahyang di dalam Kaabatullah. Yang lain pula mengatakan dia sembahyang dengan ketiadaan Kaabatullah. Ada juga orang mengatakan dia menemui Rasulullah s.a.w di dalam Kaabatullah. Berbagai-bagai lagi keadaan Kaabatullah yang diceritakan orang dalam menggambarkan suasana hakikat.
Kaabatullah yang dikatakan seperti cerita di atas merupakan suasana simbolik bagi menggambarkan keadaan hubungan hati dengan Allah s.w.t. Umat Islam bersembahyang menghadap Kaabatullah bukan bermakna mereka menyembah Kaabatullah dan bukan juga Allah s.w.t berada dalam Kaabatullah. Allah s.w.t memilih Kaabatullah sebagai tempat yang boleh dirasakan kehadiran-Nya dengan kuat. Jadi, Kaabatullah dihubungkan dengan Hadrat Ilahi. Berhadap ke Kaabatullah bermakna menghadap kepada Hadrat-Nya.
Di dalam suasana hakikat, Kaabatullah menjadi misal bagi suasana ketuhanan. Bila dikatakan Insan Kami bersemayam di dalam Kaabatullah ia bermaksud Insan Kamil adalah suasana ketuhanan, berada dalam Ilmu Tuhan. Orang yang bersembahyang di dalam kesedaran melihat Kaabatullah berada di hadapannya. Orang yang di dalam zauk merasakan berada di dalam Kaabatullah. Orang yang baqa dengan Allah s.w.t tidak melihat kepada Kaabatullah. Orang yang ‘memasuki' Ilmu Allah, mengenali suasana Hakikat Muhammadiah dan mengambil ilmu daripada sumber tersebut, menggambarkannya sebagai berjumpa dengan Rasulullah s.a.w di dalam Kaabatullah dan menerima pengajaran daripada baginda s.a.w. Pengalaman-pengalaman yang disebut di atas merupakan pengalaman dalam ‘misal kepada hakikat'.
Penyaksian terhadap rupa, bentuk, cahaya dan warna adalah penyaksian kepada misal bagi hakikat-hakikat. Apa yang disaksikan itu menjadi cermin yang membalikkan kefahaman tentang hakikat yang tidak boleh disaksikan. Rasulullah s.a.w melihat pada malam Israk dan Mikraj, bentuk misal kesenangan dan kemewahan dunia sebagai perempuan cantik dan umur dunia yang sudah lanjut sebagai perempuan tua. Kedua-duanya menceritakan tentang hakikat dunia tetapi berlainan rupa bagi menceritakan maksud yang berbeza.
Hakikat boleh diibaratkan sebagai cahaya dan cermin sebagai Alam Misal. Jika benda nyata diletakkan di hadapan cermin dan cahaya dipancarkan kepadanya, akan kelihatanlah gambaran benda nyata itu di dalam cermin. Gambaran yang kelihatan di dalam cermin itu menyatakan bahawa pada benda nyata itu ada pancaran cahaya. Cahaya disaksikan dalam bentuk benda-benda nyata. Bentuk benda-benda nyata itu menjadi misal kepada cahaya, menceritakan bahawa di sana ada kehadiran cahaya. Tetapi benda nyata dan gambaran benda nyata yang kelihatan atau bentuk misal itu bukanlah cahaya. Cahaya tetap dalam keadaan aslinya yang tidak ada rupa dan warna. Ada orang yang tidak membezakan bentuk misal dengan cahaya yang asli. Orang yang tidak membezakan bentuk misal dengan hakikat kepada yang dimisalkan itu memahamkan hakikat ketuhanan mempunyai wajah-wajah tertentu.
Hakikat Insan Kamil adalah umpama cahaya yang hening. Hati insan umpama cermin yang jernih. Orang yang memandang ke dalam cermin hatinya bersuluhkan cahaya Hakikat Insan Kamil akan menyaksikan wajahnya sendiri di dalam cermin itu, lalu dia menyangkakan bahawa itulah wajah Insan Kamil yang asli, dan itu jugalah wajah Tuhan yang tidak dibezakan dengan Insan Kamil. Jika orang Hindu menyembah tuhan dalam rupa monyet orang tadi menyembah Tuhan dalam rupa dirinya sendiri. Lama-lama orang Hindu menyembah monyet, tidak lagi menyembah Tuhan. Lama-lama orang tadi menyembah dirinya, tidak lagi menyembah Tuhan. Inilah yang selalu terjadi kepada orang yang berjalan kepada hakikat tanpa membawa syariat.
Orang yang berjalan pada jalan kerohanian perlu melepasi bentuk-bentuk misal. Lepaskan apa juga yang sampai kepada penyaksian. Nafikan dengan kalimah "La ilaha illa Llah". Orang yang berjaya melepasi bentuk-bentuk misal tersebut akan sampai kepada Penyaksian Hakiki, iaitu menyaksikan tanpa rupa, bentuk, cahaya, warna dan wajah. Pada Penyaksian Hakiki juga tidak ada suara, tidak ada huruf. Penyaksian berlaku kepada mata keyakinan. Si hamba yang menyaksikan dengan mata keyakinan mengucapkan: "Sesungguhnya hatiku tidak berasa syak lagi bahawa Engkau yang daku pandang tanpa rupa, tanpa bentuk, tanpa cahaya, tanpa warna, tanpa suara dan tanpa huruf". Itulah keadaan memandang dengan tiada sesuatu yang dipandang, tahu tanpa sesuatu pengetahuan dan kenal tanpa sesuatu pengenalan. Penyaksian akal dinamakan ilmul yaqin. Penyaksian mata hati dinamakan ainul yaqin. Penyaksian mata keyakinan dinamakan haqqul yaqin. Haqqul yaqin meruntuhkan segala pengetahuan dan penyaksian kerana sesungguhnya Tuhan adalah:
Tiada sesuatu yang serupa dengan-NyaKeyakinan terhadap Allah s.w.t adalah:
Dan Dia Mendengar dan Melihat Jika seseorang mahu cepat sampai ke matlamat hendaklah bersegera melepaskan bentuk-bentuk misal yang sampai kepada penyaksiannya. Berpindahlah kepada Penyaksian Hakiki. Tanda seseorang sudah memiliki Penyaksian Hakiki adalah dia dapat melihat hakikat ketuhanan pada dua perkara yang bertentangan dengan sekali pandang. Nama, rupa, bentuk, cahaya dan warna tidak menghijab pandangannya untuk menyaksikan hakikat atau Rububiah. Makrifat tentang nama-nama Tuhan penting bagi memperolehi Penyaksian Hakiki. Jika Yang Menghidupkan tidak menghijab Yang Mematikan, Yang Menaikkan tidak menghijab Yang Menjatuhkan, Yang Memberi tidak menghijab Yang Menahan, Yang Awal tidak menghijab Yang Akhir, Yang Zahir tidak menghijab Yang Batin, maka yang disaksikan pada setiap masa dan dalam semua suasana adalah Yang Maha Esa. Apabila mata ilmu dan mata hati tidak menutup mata keyakinan maka yang disaksikan adalah Yang Haq!
Tidak semua orang yang memasuki daerah Hakikat Insan Kamil akan terdorong kepada suasana bersatu dengan Tuhan. Si hamba yang telah mengalami suasana kehadiran kenabian dan mengalami pula suasana keesaan Tuhan akan sentiasa dibayangi oleh rasa kehambaan kepada Tuhan. Pertembungan dengan Hakikat Insan Kamil tidak menyebabkan berlakunya perlarutan. Suasana Hakikat Insan Kamil dialaminya sebagaimana mengalami suasana Hadrat kenabian dan Hadrat ketuhanan. Si hamba tidak mengalami suasana menjadi Insan Kamil atau menjadi Tuhan atau bersatu dengan Tuhan. Insan Kamil merupakan salah satu Hadrat yang dialaminya dan melalui pengalaman tersebut dia mengerti maksud Insan Kamil.
Orang yang berjalan pada jalan kehambaan akan menetap sebagai hamba, tidak berubah menjadi Adam atau Muhammad atau Insan Kamil atau Tuhan. Sepanjang perjalanan dia berada dalam suasana dia yang menyaksikan dan melalui penyaksian tersebut dia memperolehi pengetahuan dan pengenalan (ilmu dan makrifat) tanpa melepaskan pandangan kepada "Allah Yang Maha Esa" dan "Tiada sesuatu serupa dengan-Nya". Melalui jalan kehambaan kehadiran kenabian, kehadiran Hakikat-hakikat Insan, Muhammadiah dan Insan Kamil dan juga kehadiran Tuhan berperanan sebagai Pembimbing. ‘Pertemuan' dengan Hadrat-Hadrat tersebut memperkuatkan Petunjuk Ghaib dalam dirinya. Juru-bicara dalam dirinya sentiasa memberi peringatan. Dia diperingatkan agar berjalan terus, jangan berhenti walaupun dilambai oleh syurga atau dihalang oleh neraka, walaupun dibukakan suasana Hakikat-hakikat. Semua itu untuk diketahui dan untuk dikenal, bukan tempat untuk bermakam.
Dalam suasana Hakikat Insan Kamil, seseorang biasa berjumpa dengan hakikat maut iaitu mengalami suasana Izrail. Boleh juga dikatakan jika seseorang itu tidak mengalami suasana Izrail dia tidak memasuki daerah Insan Kamil dengan sepenuhnya. Dia mungkin berjalan di bawah bayangan daerah itu sahaja.
Manusia biasa naik ke langit melalui jalan biasa yang dilalui oleh semua orang, iaitu jalan mati. Orang yang memasuki daerah Hakikat Insan Kamil juga mengalami kematian, tetapi bukan kematian tubuh badan. Kematian yang berlaku di sana adalah kematian secara kebatinan, iaitu merasai kehadiran Maut. Dia mungkin merasai suasana kematian beberapa kali pada alam kebatinannya. Pengalaman yang demikian membuka tutupan pada hati. Pada stesen kerohanian yang ke lapan si hamba telah menghadapkan dirinya kepada maut. Pada ketika itu dia menuju kepada pengecilan kesedaran terhadap diri sendiri. Ia menjadi lonjakan untuk mencapai stesen yang berikutnya. Tetapi pengalaman tersebut tidak banyak memberi pengertian kepada dirinya. Dalam daerah Hakikat Insan Kamil pula si hamba sedang menuju ke arah pembesaran kesedaran terhadap diri sendiri. Oleh itu setiap pengalaman menarik perhatiannya. kehadiran Maut pada daerah Insan Kamil memperjelaskan pengalaman pada stesen ke lapan dahulu. Dalam daerah Insan Kamil ini si hamba merasakan sangat hampir dengan Maut. Biasa terjadi pada peringkat ini dia mendapat firasat mengenai kematian orang-orang tertentu dan kemudiannya ternyata firasat tersebut adalah benar. Keadaan ini bersifat sementara sahaja. Apabila dia meninggalkan daerah Insan Kamil dia keluar juga daripada Hadrat Maut itu dan firasat tentang kematian tidak ada lagi.
Apabila Hadrat Maut dan Hadrat Insan Kamil bertemu pada satu daerah, pada satu hati, suasana kehambaan akan menetap dan terhindarlah suasana ketuhanan. Hadrat Maut memperlihatkan kedaifan, kehinaan dan kejahilan si hamba. Hadrat Insan Kamil memperlihatkan kekuasaan, kemuliaan dan kebijaksanaan Tuhan. Orang yang benar-benar menyaksikan keagungan Tuhan adalah orang yang sedang menghadapi sakratul maut. Keadaan ini samalah seperti keadaan orang yang menerima wang satu juta dan pada masa yang sama dia mengetahui bahawa dia menghidapi penyakit kanser yang akan membawanya kepada maut. Begitulah umpamanya keadaan hati yang merasai Hadrat Maut dan Hadrat Insan Kamil pada satu masa. Dia diperlihatkan kekerdilan dirinya sebagai hamba Tuhan dan keagungan Allah s.w.t sebagai Tuhan. Bertambah kuatlah rasa kehambaan pada dirinya. Jadi, Hadrat Insan Kamil yang menyebabkan sebahagian orang mengalami suasana bersatu dengan Tuhan boleh juga menambahkan rasa kehambaan. Si hamba yang bertambah rasa kekerdilan diri dan kehambaannya kepada Tuhan bermunajat kepada Tuhan dengan penuh tawaduk:
"Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang Maha Esa. Tiada sesuatu bersekutu dengan-Mu. Daku hanyalah hamba-Mu yang lemah, hina dan jahil. Di hadapan Wajah-Mu Yang Maha Mulia dan Maha Suci daku menyaksikan betapa lemah, hina dan jahilnya diriku.
Engkau perlihatkan pakaian keindahan-Mu. Bukan Engkau memerlukan pakaian dan bukan juga Engkau menghijab Diri-Mu, tetapi jika tidak kerana pakaian keindahan-Mu nescaya hancur leburlah segala kewujudan yang menghadap kepada keagungan-Mu. Pakaian keindahan itu bukan menutupi Diri-Mu, kerana Engkau Maha Esa, mana mungkin ditutupi oleh sesuatu. Wujud kami jua yang Engkau selimuti dengan kelembutan pakaian keindahan-Mu, agar kami dapat bertetangga dengan kebesaran, kemuliaan, keperkasaan dan keagungan-Mu. Engkau berbuat demikian demi rahmat dan kasihan belas-Mu kepada kami.
Engkau memiliki satu pakaian yang Engkau pakai bila menyamar. Di dalam penyamaran-Mu berdatanganlah penyanggahan, kerana Engkau tidak dikenal dalam penyamaran-Mu. Kekasih akan menunjukkan kebencian. Sahabat akan menunjukkan permusuhan. Seteru akan mempergiatkan fitnah. Besarlah huru-hara terjadi apabila Engkau menyamar. Ilahi! Daku bermohon kepada-Mu. Selamatkanlah daku daripada pengingkaran tatkala menerima kedatangan-Mu dalam penyamaran. Jadikan daku sentiasa mengenali-Mu ketika menyamar dan ketika menyata.
Engkau Maha Cinta. Engkau mencintai agar Diri-Mu dikenali. Lalu Engkau perkenalkan Diri-Mu melalui nama-nama-Mu. Nama dan zat nama sendiri tidak berupaya mendatangkan kesan. Hanya Engkau, Zat yang memiliki segala kekuasaan dan kekuatan. Semuanya menumpang kekuasaan dan kekuatan Zat Diri-Mu Yang Maha Esa, Maha Tinggi. Sekaliannya menyaksikan bahawa: ‘Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai segala sesuatu' ".
Kesedaran si hamba kepada kewujudan dirinya dan makhluk lainnya semakin bertambah. Banyak perkara telah disaksikannya, diketahui dan dikenalinya namun kesedaran yang kembali kepadanya belum cukup kuat buat dia mengenali dirinya. Si hamba berhadap kepada Hadrat Tuhannya dan bermunajat:
"Ilahi Rabbi! Engkau perlihatkan kepadaku jalan kenabian, jalan asma' dan jalan Insan Kamil. Daku melihat sekaliannya namun daku tidak melihat diriku di atas mana-mana jalan. Ilahi Rabbi! Siapakah pula aku ini?"
Juru-bicara dari dalam dirinya menyampaikan perutusan:
"Tuhan berkehendak engkau berdiri di hadapan-Nya bukan untuk bertutur-kata, bukan untuk mendengar pertuturan-Nya, bukan untuk mengajukan pertanyaan, bukan juga untuk meminta pengetahuan, tetapi hanyalah berdiri tegak semata-mata demi untuk-Nya. Baharulah engkau benar-benar mengenali Keagungan-Nya. Jangan engkau mendahului-Nya. Bila Dia berkehendak mengucapkan tutur kata Dia akan mengucapkan tutur kata-Nya. Bila Dia berkehendak memberikan kefahaman akan ditanamkan kefahaman ke dalam hatimu. Sebelum itu berdiri tegak di dalam makammu yang rendah itu!"
Si hamba berdiri tegak. Maksud berdiri tegak adalah hati menghadap kepada Allah s.w.t secara keseluruhannya, tidak condong ke kanan atau ke kiri. Ingatan dan penghayatan hanya kepada Allah s.w.t. Suasana demikian biasa dipanggil makam alif tanpa baris. Alif yang tidak berbaris tidak bergerak dan tidak bersuara.
Makam alif berdiri tegak biasa diperkatakan oleh mereka yang mengaku diri mereka sebagai ahli hakikat. Mereka meletakkan baris-baris pada alif, maka jadilah alif baris di atas, alif baris di bawah dan alif baris di hadapan. Bila sudah diletakkan baris alif sudah boleh bersuara. Suara alif adalah ‘a', ‘i' dan ‘u'. Bagi mereka a, i dan u merupakan tahap makrifat yang sangat tinggi. Berbagai-bagai ilmu dibentuk berdasarkan a, i dan u itu. Oleh kerana mereka berpegang kepada alif yang berbaris, maka mereka hanya boleh mengeluarkan bunyi, tidak boleh mengeluarkan perbuatan. Golongan ini hanya bercakap tentang iman dan tauhid tetapi tidak melakukan amalan Islam. Bagi mereka puncak makrifat yang mereka temui itu tidak memerlukan mereka beramal. Inilah golongan yang sesat dalam istilah.
Apa yang berlaku dalam perjalanan kerohanian berbeza daripada jalan yang meletakkan baris kepada alif. Makam alif berdiri tegak adalah penjelasan kepada stesen kerohanian yang ke sebelas. Pada makam ini si hamba berdiri dengan penyerahan secara menyeluruh kepada Allah s.w.t, tidak ada kehendak, tidak ada permintaan dan tidak ada apa-apa melainkan menyerah kepada Allah s.w.t semata-mata. Penyerahan pada peringkat ini lebih sukar daripada penyerahan pada stesen ke sebelas dahulu. Ketika itu kesedaran dan perhatian terhadap diri sendiri tidak ada, lalu penyerahan berlaku secara spontan. Pada peringkat alif berdiri tegak, kesedaran dan perhatian kepada diri sendiri sudah mula tumbuh. Sebelum kesedaran dan perhatian terhadap diri sendiri itu menawan hati, si hamba diperintahkan supaya berdiri tegak seumpama alif, menundukkan kesedaran dan perhatiannya secara menyeluruh di bawah kekuasaan dan pengawasan penyerahan kepada Allah s.w.t. Berbuat demikian di dalam kesedaran sangatlah sukar. Pada ketika itulah si hamba teringatkan Insan Kamil dan berharap Insan Kamil membantunya. Bila timbul sahaja ingatan dan perhatian kepada Insan Kamil terhijablah ingatan, perhatian dan pandangannya daripada Tuhannya. Juru-bicara dari dalam dirinya dengan segera menegurnya:
"Tuhan berkata: ‘Bagaimana engkau mahu masuk ke dalam majlis-Ku sedangkan engkau masih menggantungkan harapan kepada selain-Ku dan engkau masih inginkan yang selain-Ku!"
Teguran tersebut sangat memeranjatkan si hamba. Tuhan tidak mahu ada di antara-Nya dengan hamba-Nya sesuatu yang lain, walaupun sesuatu yang lain itu adalah Insan Kamil atau Qutubul Aqtab atau Wali Qutub atau apa sahaja. Si hamba dengan penuh tawadhuk menyeru Tuhannya:
"Wahai Pelindung diriku. Tunjukkan daku jalan yang lurus. Arahkan diriku dengan Diri-Mu untuk menatap Wajah-Mu".
Si hamba kembali berdiri tegak dengan Allah s.w.t dan untuk Allah s.w.t. Alif berdiri tegak di hadapan Hadrat Allah s.w.t. Allah s.w.t hadapkan Nur-Nya kepada alif. Alif hancur lebur seperti hancurnya Gunung Thursina. Alif yang hancur tidak akan wujud lagi, tidak akan ada alif yang berbaris. Alif hilang, yang ada hanyalah Nur. Nur di mana-mana, tidak ada alif, tidak ada baris dan tidak ada sesiapa pun. Pada tahap ini ‘aku' si hamba itu juga tidak ada. Hanya Dia yang ada dan hanya Dia yang mengenali Diri-Nya, tidak ada sesiapa yang ikut campur dalam urusan-Nya. Suasana pada tahap ini menjadi penjelasan kepada suasana kerohanian pada stesen ke dua belas.
Nur menghadap kepada Zat Yang Maha Agung. Lemah longlai nur di hadapan kemaha-agungan Zat. Nur berhadapan dengan Wahdaniatik Zat yang Qiamuhu Binafsih. Zat Berdiri Dengan Sendiri, cukup lengkap sendiri-Nya, tidak memerlukan nur untuk menerangi Diri-Nya. Fanalah nur, maka nyatalah Ghaibul Ghuyub Zat. Zat menerangi Zat oleh Zat dengan Zat. Zat dalam keesaan-Nya serba cukup. Zat Melihat sendiri-Nya, Mendengar sendiri-Nya, Berpengetahuan sendiri-Nya, Berkata-kata sendiri-Nya, Hidup sendiri-Nya, Berkehendak sendiri-Nya dan Berkuasa sendiri-Nya. Zat tidak memerlukan sifat tambahan untuk muslihat Diri-Nya. Sifat yang boleh diletakkan pada Zat adalah "Melampaui segala penyifatan" dan "Tiada sesuatu serupa dengan-Nya". Bagi-Nya Wajah tanpa rupa, Mata tanpa kelopak, Ucap tanpa suara, Ilmu tanpa halaman, Dekat tanpa mana dan Jauh tanpa hingga. Semua ini memperjelaskan stesen kerohanian yang ke tiga belas.
Zat Maha Mencintai Diri-Nya. Dia Menyaksikan Diri-Nya bersama kesempurnaan sifat Diri-Nya. Dia memperakukan bahawa:
Sesungguhnya Aku adalah Allah!Dia sendiri menamakan Diri-Nya ALLAH. Demi Cinta-Nya kepada Diri-Nya Dia menetapkan:
Tiada Tuhan melainkan Aku!Dia telah menentukan bahawa Dia adalah Tuhan dan tidak akan ada Tuhan yang selain-Nya. Selanjutnya Dia mengadakan ketentuan Siratalmustaqim (Jalan yang lurus), yang pada jalan hakikat dinamakan Khutbah Makrifat. Khutbah Makrifat yang pertama adalah:
Muhammad Rasul Allah! Bagi mengwujudkan Muhammad Rasul Allah, Dia mengadakan urusan-Nya yang dikenali sebagai Hakikat Muhammadiah iaitu pemangkin atau hijab ketuhanan yang membolehkan Muhammad diciptakan. Berasaskan kepada penciptaan Muhammad itulah sekalian makhluk diciptakan. Dia tidak akan menciptakan makhluk jika Dia tidak berkehendak menciptakan kekasih-Nya, Muhammad. Pada urusan-Nya yang dipanggil Hakikat Muhammadiah itu diletakkan-Nya maklumat atau penyaksian yang melengkapkan Khutbah Makrifat:
Tiada Tuhan melainkan Allah! Sejak Allah s.w.t mengadakan urusan-Nya yang bernama Hakikat Muhammadiah, Dia telah menetapkan bahawa "Muhammad Rasul Allah" sebelum lagi makhluk diciptakan, sebelum alam diciptakan. Oleh itu setelah Dia menciptakan makhluk, maka sekalian makhluk wajib memperakui bahawa "Muhammad Rasul Allah" walaupun Muhammad yang bertubuh badan belum diciptakan. Nabi-nabi dan rasul-rasul sejak Nabi Adam a.s bersaksikan bahawa "Muhammad Rasul Allah" walaupun mereka datang ke dunia lebih dahulu daripada Nabi Muhammad s.a.w, kerana mereka menerima maklumat daripada Hakikat Muhammadiah yang padanya ada kenyataan "Muhammad Rasul Allah". Tujuan Allah s.w.t mengadakan Urusan-Nya (Hakikat Muhammadiah) itu adalah untuk menyatakan bahawa "Tiada Tuhan melainkan Allah." Apabila Allah s.w.t ‘menanamkan benih' "Tiada Tuhan melainkan Allah" pada Hakikat Muhammadiah, maka kemunculan makhluk yang ‘bersumberkan' Hakikat Muhammadiah itu tidak mempunyai kekuatan untuk melahirkan Tuhan yang lain daripada-Nya. Sekali-kali tidak mungkin akan ada Tuhan yang selain Allah s.w.t. Termetrailah kedudukan-Nya sebagai Zat al-Haq, Yang Mutlak dan Ghaibul Ghuyub, terpelihara keagungan-Nya daripada dijangkau oleh sesuatu yang lain daripada Diri-Nya.
Semua kewujudan dibina di atas tapak tauhid. Hakikat Muhammadiah menerima amanah tauhid dan berkewajipan menanggung dan menyebarkannya sebagai Rasul Allah yang menjadi rahmat ke seluruh alam.
Hakikat Muhammadiah sebagai Urusan Allah s.w.t dipanggil Nur Allah. Pada Hakikat Muhammadiah dibekalkan maklumat yang lengkap tentang makhluk yang akan Allah s.w.t ciptakan. Dalam aspek ini Hakikat Muhammadiah dipanggil Hakikat Insan atau Hakikat Alam. Ia dipanggil juga Nur Muhammad. Sebab itu biasa dikatakan sekalian makhluk diciptakan daripada Nur Muhammad. Ia membawa maksud segala kejadian diciptakan menurut apa yang ada pada ketentuan Allah s.w.t, pada suasana hakikat yang dipanggil Nur Muhammad atau Hakikat Insan. Wajah atau aspek Hakikat Muhammadiah yang menghala kepada Allah s.w.t, yang menjadi hijab ketuhanan, dinamakan Nur Allah. Wajah atau aspek Hakikat Muhammadiah yang menghala kepada penciptaan makhluk, termasuklah penciptaan Nabi Muhammad s.a.w, dinamakan Nur Muhammad.
Pada Hakikat Muhammadiah dibekalkan pengetahuan dan pengenalan yang lengkap tentang Tuhan. Pada Hakikat Muhammadiah juga dibekalkan maklumat yang lengkap tentang pengabdian kepada Tuhan. Dalam wajah atau aspek ini Hakikat Muhammadiah dikenali sebagai Insan Kamil. Insan Kamil yang mengenali Tuhan dengan sempurna dan mengetahui cara mengabdikan diri kepada Tuhan dengan sempurna. Apabila Insan Kamil menghala kepada manusia-manusia yang sempurna yang ada di bumi, yang mengetahui dan mengenal Tuhan dengan sempurna dan juga mengabdikan diri kepada Tuhan dengan sempurna, Insan Kamil dikenali sebagai Hakikat Abdul Rab (hakikat hamba Tuhan). Kesempurnaan ilmu, makrifat dan pengabdian kepada Tuhan yang paling tinggi dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w, kekasih-Nya dan hamba-Nya. Setingkat di bawah kedudukan Rasulullah s.a.w adalah golongan nabi-nabi. Di bawah daripada golongan Nabi-nabi adalah golongan wali-wali, siddiqin dan orang-orang salih. Mereka adalah kumpulan manusia yang berhakikatkan Hakikat Abdul Rab. Ketua agung bagi sekalian Abdul Rab adalah Nabi Muhammad s.a.w dan baginda s.a.w dikenali sebagai Abdul Allah (Hamba Allah). Manusia sempurna yang lain berhakikatkan Nama-nama Tuhan yang selain Nama Allah. Mereka berkedudukan sebagai Abdul Malik, Abdul Rahman, Abdul Latif, Abdul Karim dan sebagainya. Setiap Abdul Rab akan mempamerkan hakikat ketuhanan yang menguasainya. Pada Hakikat Abdul Rab (hakikat hamba Tuhan) diletakkan penyaksian Khutbah Makrifat:
Tiada Tuhan melainkan Allah. Muhammad Rasul Allah. Hakikat kehambaan ditemui dalam Hakikat Muhammadiah. Apabila si hamba menemui hakikat kehambaan yang menguasainya, maka terbentuklah perakuan, perhatian dan kesedaran yang teguh tentang kewujudan yang Tuhan kurniakan kepadanya. Kesedaran pada peringkat ini adalah kesedaran dalam Ilmu. Si hamba menyaksikan hakikat dirinya dalam Ilmu Allah s.w.t. Dalam Ilmu Allah, si hamba melihat hakikat dirinya sebagai Abdul Rab yang dipersiapkan untuk menjadi hamba-Nya. Dalam suasana Ilmu Allah s.w.t itulah si hamba menyaksikan Kudrat, Iradat, Ilmu, Hayat, Sama', Bashar dan Kalam Tuhan. Perhatian kepada sifat-sifat Tuhan menyedarkan si hamba tentang pergantungannya kepada sifat-sifat tersebut. Dia menumpang sifat-sifat Tuhan dan kerana itu dia kembali menyedari sifat-sifat atau bakat-bakat yang ada dengan dirinya, iaitu berkuasa, berkehendak, mengetahui, hidup, mendengar, melihat dan berkata-kata. Si hamba menyaksikan semua bakat-bakat tersebut sebagai medan kehambaannya kepada Tuhan. Orang yang telah meletakkan baris pada alif hanya melihat bakat berkata-kata, lantaran itu mereka hanya bercakap tentang iman, tauhid dan makrifat tanpa beramal. Si hamba yang menemui kembali bakat dirinya setelah memperolehi kesedaran Abdul Rab, bukan hanya bercakap tetapi juga melaksanakan amal yang menunjukkan kehambaan kepada Tuhan. Inilah perbezaan besar di antara jalan yang menetap dalam kehambaan dengan jalan yang membuang kehambaan.
HAKIKAT ABDUL RAB
Jalan Hakikat Abdul Rab (hamba Tuhan) jarang ditemui kerana kebanyakan manusia mencari Insan Kamil. Mereka menyangkakan menjadi Insan Kamil merupakan kemuncak pencapaian. Mereka tidak tahu bahawa menjadi Hamba Tuhan itulah kesempurnaan jalan. Orang yang benar dengan Allah s.w.t ‘menemui' Insan Kamil untuk dibawa kepada jalan Hamba Tuhan. Insan Kamil berperanan membuka jalan kehambaan kerana Insan Kamil mempunyai ilmu yang sempurna tentang Allah s.w.t dan pengabdian kepada-Nya. Salinan Insan Kamil yang paling sempurna, Nabi Muhammad s.a.w, membawa sahabat-sahabat baginda s.a.w ke jalan menghambakan diri kepada Tuhan dengan sebenar-benar kehambaan. Mereka tidak mengejar makam-makam dan martabat dan tidak juga mengejar kekeramatan. Makam yang mereka tuntut ialah makam hamba Tuhan. Martabat yang mereka cari adalah ketakwaan kepada Tuhan. Kekeramatan yang mereka kejar adalah berjihad pada jalan Tuhan.
Si hamba bergerak jauh daripada daerah Insan Kamil. Pengetahuan dan pengenalan yang diperolehinya daripada ‘pertemuan' dengan Insan Kamil itu sangat berguna bagi memperkuatkan kehambaannya. Berbekalkan pengetahuan dan pengenalan tersebut dia meneruskan perjalanannya bagi mencari kedudukannya sebagai seorang hamba Tuhan. Pada tahap ini kesedaran kemanusiaannya belum kembali sepenuhnya. Dia masih lagi dikuasai oleh kesedaran dalam Ilmu.
Kemudian si hamba mendengar Juru-bicara dari dalam dirinya membacakan:
Masuklah engkau (Abdul Rab) ke dalam golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah engkau ke dalam syurga-Ku. ( Ayat 30 : Surah al-Fajr )
Ketika menaik, pada stesen ke sembilan, si hamba mendengar bacaan di atas sebagai ujian. Pada peringkat kesedaran di dalam Ilmu ini pula ayat tersebut merupakan perintah. Dia diperintahkan keluar daripada kesedaran Ilmu dan masuk sepenuhnya ke dalam kesedaran kemanusiaan. Syurga adalah barzakh atau sempadan atau pun suasana peralihan di antara kesedaran Ilmu dengan kesedaran kemanusiaan, kesedaran hakikat dengan kesedaran insan, suasana Pemerintah dengan suasana yang diperintah. Jasad Adam a.s diciptakan di dalam syurga dan di dalam syurga juga ia menerima tiupan dari Roh Allah s.w.t. Di dalam syurga wujud yang diperintah menerima bakat dan keupayaan daripada wujud yang memerintah. Anasir jasad dicantumkan dengan anasir rohani di dalam syurga kerana satu tujuan:
Sesungguhnya Aku hendak ciptakan khalifah di bumi. ( Ayat 30 : Surah al-Baqarah ) Roh yang membawa bakat kekhalifahan berjumpa dengan jasad yang menyatakan bakat kekhalifahan itu. Pertemuan itu berlaku di dalam syurga. Pada peringkat ini si hamba yang di dalam kesedaran Ilmu itu menyaksikan jalan penurunan ke Alam Arwah, daripada kesedaran Ilmu kepada kesedaran rohani.
Sebelum keluar daripada kesedaran Ilmu si hamba diberi kekuatan untuk menghadapi dunia yang akan menjadi tempat menetapnya nanti sehingga ke akhir hayatnya. Si hamba tidak perlu takut kepada kehuru-haraan dunia kerana dengan izin Allah s.w.t kekuasaan dunia telah dicabut daripadanya sewaktu dia melalui proses menaik dahulu melalui suasana:
Matilah kamu sebelum kamu mati. ( Maksud Hadis ) Kesedaran terhadap hakikat ketuhanan iaitu Hakikat Abdul Rab, yang menguasainya memberinya kekuatan untuk menghadapi apa yang selain Tuhan. Hamba yang kembali ‘bersama' Hakikat Abdul Rab merasakan dirinya yang lama sudah ‘kiamat' dan diri yang baharu bergerak menurut kehendak dan peraturan Allah s.w.t. Tuhan menceritakan suasana sesudah kiamat:
Pada hari yang akan digantikan bumi ini dengan bumi lain dan semua langit juga. Dan akan tampil mereka ke hadapan Allah Yang Maha Esa, Maha Perkasa. ( Ayat 48 : Surah Ibrahim )
Hamba yang menyaksikan penguasaan ketuhanan terhadap dirinya kembali kepada kesedaran rohani dalam keadaan seolah-olah telah berlaku kiamat dan segala sesuatu diheret ke hadapan Allah, Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Tidak akan ada sesuatu yang keluar daripada kekuasaan dan keperkasaan Tuhan.
Ketika di dalam kesedaran rohani itu si hamba mendapat pengetahuan yang jelas bahawa kesempurnaan jalan bagi kehidupan di bumi adalah gabungan jalan kenabian dan jalan asma'. Jalan kenabian adalah syariat, iaitu mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.
Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku. ( Ayat 56 : Surah adz-Dzaariyaat )
Jalan Asma' adalah menyaksikan Rububiah atau hakikat ketuhanan atau pun urusan Tuhan, pada setiap masa dan dalam semua suasana.
Apa sahaja yang melata ubun-ubunnya adalah dalam genggaman Tuhannya. Dan Tuhanku berada di atas jalan yang lurus. ( Ayat 56 : Surah Hud )
Bukan kamu yang membunuh mereka tetapi Allah yang membunuh mereka. Dan bukan kamu yang melimpar ketika kamu melimpar tetapi Allah yang melimpar, kerana Dia mahu memberi kemenangan kepada orang-orang yang beriman dari (jihad) itu satu nikmat yang baik. Sesungguhnya Allah Mendengar, Melihat. ( Ayat 17 : Surah al-Anfal )
Kesempurnaan jalan yang menggabungkan kedua-dua jalan tersebut, iaitu bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah s.w.t dan tidak lalai daripada mengingati serta memperhatikan sesuatu tentang-Nya pada setiap waktu dan semua suasana.
Dalam kesedaran rohani si hamba menyaksikan:
Ya Allah! Engkau adalah Tuhan dan daku adalah hamba-Mu. Ketika di dalam kesedaran rohani itu juga si hamba memperakui kewujudannya yang berjasad. Gabungan rohani dan jasad si hamba menyaksikan:
Aku naik saksi tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi Muhammad adalah Rasul Allah.Itulah penyaksian seorang insan yang menanggung amanah:
1: Rukun Islam.
2: Rukun Iman.
3: Rukun Ihsan
Kepada para insan yang berpegang teguh dengan amanah tersebut dibacakan ayat penetapan:
Ingatlah! Bahawa sesungguhnya aulia Allah itu tidak mereka takut dan tidak mereka berdukacita. Mereka adalah beriman dan mereka sebenarnya bertakwa. Mereka mendapat berita gembira di kehidupan dunia dan di hari akhirat; tiada lagi perubahan pada ketentuan Allah, itulah keuntungan yang besar.
( Ayat 62 - 64 : Surah Yunus )Si hamba memasuki daerah kesedaran rohani dengan munajat:
"Ilahi! Daku bukan seorang abid, maka daku tidak kuat beribadat. Daku bukan seorang alim, maka daku tidak tahu menyeru. Daku hanyalah seorang penyerah, maka terimalah daku. Lakukan apa yang Engkau mahu dengan diriku. Daku jualkan diriku kepada-Mu. Harganya adalah sabar, reda, tawakal dan ikhlas. Engkau ambillah diriku dan kurniakan kepadaku sabar, reda, tawakal dan ikhlas. Izinkan daku memakai pakaian sebagai hamba-Mu".
Kemudian si hamba membacakan:
Katakanlah: "Wahai Tuhanku! Masukkan daku dengan kemasukan yang baik dan keluarkan daku dengan keluaran yang baik. Dan jadikanlah untukku pertolongan yang langsung dari-Mu sebagai kekuatan yang menolong". ( Ayat 80 : Surah Bani Israil )
"Engkau jualah Pelindung diriku, yang memfitrahkan daku untuk berdiri di antara kedua Tangan-Mu, Jalal dan Jamal-Mu, dan menetapkan daku dalam makam Hadrat-Mu. Nur-Mu yang menjadi perisai melindungi daku dalam melaksanakan perintah dan peraturan-Mu".
Maha Suci Engkau, Tuhanku, Tuhan Yang Maha Perkasa dari apa yang mereka sifatkan. Dan salam sejahtera atas sekalian yang diutus. Dan segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Kemudian si hamba mengalami suasana kebatinan yang digambarkan sebagai "dinding Kaabatullah terbuka dan terbentanglah bumi baharu yang rata dan sangat luas, dilengkungi oleh Rahmaniat Tuhan". Si hamba diterangi oleh cahaya Hakikat Ahmadiah.
http://jalansufi.com