PUSAKA MPA

Minangkabau

PUSAKA MPA

Urang Awak

PUSAKA MPA

Adat

PUSAKA MPA

Warisan

PUSAKA MPA

Sejarah

Showing posts with label bomoh. Show all posts
Showing posts with label bomoh. Show all posts

Monday, 9 May 2011

Berminat menjadi Bomoh @ Pawang ? - Part III


Teknik Pengubatan

(i) Mimpi

Di antara berbagai-bagai teknik yang terdapat di dalam perubatan secara tradisional, terdapat satu teknik yang amat menarik digunakan oleh bomoh-bomoh. Teknik ini adalah melalui mimpi. Mimpi yang dimaksudkan di sini adalah mimpi yang dialami oleh para bomoh pada waktu malam sewaktu tidur. Mimpi merupakan satu faktor yang sangat penting bagi bomoh-bomoh yang berada di tahap awalan atau di dalam 'latihan' menjadi bomoh. Fenomena ini jelas terutamanya bagi bomoh-bomoh yang memperolehi ilmu perbomohan melalui keturunan. Selepas mengalami beberapa peristiwa tertentu, bomoh ini akan mengalami mimpi pula.

Mimpi yang dialami oleh bomoh terdiri daripada dua iaitu mimpi khas dan mimpi biasa. Mimpi khas ini mempunyai beberapa sifat yang tertentu pula. Biasanya orang-orang yang dimimpikan itu terdiri daripada orang tua sama ada lelaki atau perempuan. Mereka berpakaian serba putih dan akan memperkenalkan dirinya kepada bomoh yang bermimpi. Orang ini dikenali sebagai 'wali kesakti'. Mereka telah mati dan menjelma dalam mimpi. Pada masa hayatnya mereka terdiri daripada orang-orang megah ataupun orang-orang besar dan ternama di dalam bidang pengubatan.

Seperti yang tersebut di atas, orang-orang ghaib ini berpakaian serba putih dan kedatangan mereka adalah pada malam-malam tertentu sahaja seperti malam Jumaat dan malam Selasa. Pakaian yang serba putih ini mungkin melambangkan orang yang sudah mati. Putih juga mungkin melambangkan kesucian.

Kedatangan pada hari-hari yang tertentu oleh 'makhluk ghaib' ini mungkin ada kepentingannya. Hari Jumaat mempunyai beberapa keistimewaan daripada pandangan Islam. Hari Selasa pula menurut kepercayaan bomoh adalah satu hari yang berkat. Hari Selasa dikaitkan dengan perubatan di mana terdapat kepercayaan kononnya anak-anak yang dilahirkan pada hari Selasa pada satu hari akan menjadi bomoh.

Di dalam bermimpi, orang tua atau makhluk ghaib akan mengajar bomoh cara-cara mengubati seseorang. Selain daripada itu, bomoh-bomoh juga akan diberi ramuan-ramuan bagi pengubatannya.

(ii) Menurun

Menurun merupakan satu fenomena di mana seorang bomoh berada di dalam keadaan yang seolah-olah tidak sedarkan diri ('trance'). Keadaan ini merupakan kemuncak di dalam pengubatan seseorang bomoh dan hanya digunakan bagi kes-kes yang teruk sahaja. Semasa menurun ini, para bomoh mendakwa mereka tidak sedar akan apa yang mereka lakukan. Oleh kerana kes yang melibatkan menurun merupakan kes-kes penyakit yang berat, maka makhluk ghaib perlu campur tangan di daIam pengubatan tadi.

Kebanyakan bomoh yang menurun melakukannya disebabkan oleh ilmu yang dipelajarinya sendiri. Mereka yang menurun selain daripada menggunakan doa-doa yang tertentu juga bergantung banyak pada 'makhluk ghaib'. Pesuruh atau makhluk ghaib merupakan faktor utama terjadinya keadaan menurun ini.

Satu hal yang agak unik di sini, di dalam keadaan tidak sedarkan diri, bomoh akan melakukan perlakuan-perlakuan yang ganjil. Perlakuan-perlakuan di sini adaIah di luar batasan perlakuan manusia yang rasional.

Terdapat satu keistimewaan pada bomoh, bidan yang menggunakan 'makhluk ghaib'. Keistimewaannya ialah, bomoh ini boleh mengubati seseorang tanpa hadir di tempat orang yang sakit. Misalnya kalau bidan yang tidak menggunakan pertolongan 'makhluk ghaib', terpaksa melakukan segala urut-mengurut untuk seseorang yang sakit itu, tetapi keadaan sebaIiknya akan terjadi kepada bidan yang menggunakan 'makhluk ghaib'. Misalnya pada malam hari pesakit kepada bidan tadi merasa sakit atau sengal tubuh badannya, si pesakit akan merasa seolah-olah dirinya sedang diurut oleh seseorang pada hal bidan ini tidak hadir sama. Ilmu seperti ini selalunya turun-temurun iaitu diperturunkan dari satu generasi kepada generasi selepasnya.

Isyarat hendak lupa diri

Seseorang bomoh dapat meneka bahawa ia akan mengalami keadaan menurun atau tidak sedarkan diri ini. Ada bomoh yang merasa sejuk ibu jari kakinya dan keadaan sejuk ini akan merebak ke seluruh badannya. Kemudian dia akan terus lupa atau tidak sedarkan diri. Ada juga bomoh yang merasa seram sejuk di bahagian telinganya dan diikuti oleh keadaan yang menyebabkan meremang bulu roma tengkuk dan akhir sekali, beliau pun mengalami keadaan menurun. Isyarat hendak lupa diri yang dialami oleh para bomoh ini berlainan di antara satu sama lain.

Terdapat dua keadaan yang boleh menyebabkan berlakunya peristiwa 'menurun' ini :

(i) Secara sengaja - Yang dimaksudkan dengan secara sengaja ialah, bomoh memang mempunyai tujuan ke arah menurun tadi dengan maksud mengubatkan penyakit. Ini dilakukan dengan menyeru 'makhluk ghaib' yang menjadi pesuruh bomoh tadi. Juga sebelum fenomena 'menurun' terjadi, terdapat beberapa upacara yang dijalankan oleh bomoh seperti menyediakan alat-alat pemujaan seperti bertih, nasi kunyit dan sebagainya.


(ii) Secara tidak sengaja - Keadaan tidak sengaja pula boleh timbul kerana beberapa sebab. Yang pertamanya, bomoh tidak mempunyai tujuan menurun apabila ia sedang mengubati seseorang pesakit. Tetapi disebabkan oleh keadaan yang sudah tidak dapat dikawaI dia dengan tiba-tiba akan lupa diri.

Keadaan kedua ini iaitu menurun dengan tidak sengaja, terjadi kepada bomoh yang melanggar pantang larang. Pantang larang yang boleh membawa kepada lupa diri atau menurun selalunya disebabkan oleh makanan, iaitu bomoh mesti berpantang daripada memakan benda-benda yang berdarah.

Apabila terjadi keadaan menurun, seseorang bomoh itu mestilah mengubati dirinya sendiri. Berkenaan dengan menurun dengan sengaja, tidaklah menyulitkan. Apabila habis saja berubat, dalam masa menurun itu seseorang itu akan pulih seperti sediakala. Misalnya bomoh akan meminta kemenyan, kemudian dibakar dan diperasap ke seluruh tubuh badannya.

Bagi keadaan menurun yang tidak sengaja pula, keluarga yang terdekat atau sahabat handai akan menolong bomoh itu lupa diri, keluarganya akan menyediakan asap kemenyan. Kemudian beliau akan 'menyahut' semula benda-benda yang di'bela'nya iaitu makhluk 'ghaib. Selepas ini barulah bomoh atau bidan tadi akan sedarkan diri dan pulih seperti sediakala.


Terima kasih : http://aizul-semuatentangkita.blogspot.com/2009/08/sistem-kepercayaan-bomoh-dan-teknik.html

Berminat menjadi Bomoh @ Pawang ? - Part II


Pengenalan

Satu perkara yang tidak dapat dinafikan ialah hakikat bahawa bomoh dan bidan memainkan peranan yang penting dalam masyarakat Melayu Kedah. Pada tahun-tahun sebelum datangnya peradaban serta pendidikan barat, khususnya Inggeris, peranan atau fungsi bomoh begitu menonjol sekali di kalangan masyarakat Melayu Kedah. Dalam perkataan lain, peranannya di sini tidaklah terhad pada bidang mengubati dan menyembuhkan penyakit sahaja, bomoh juga terlibat dalam kegiatankegiatan harian masyarakat Melayu Kedah. Aktiviti-aktiviti ini termasuklah mendirikan rumah baru, upacara perkahwinan, berpindah rumah, meneroka hutan, memilih jodoh, hal-hal mengenai kelahiran bayi, bersunat, mengubatkan penyakit dan lain-lain lagi.

Bagaimana memperolehi ilmu perbomohan:

Untuk menjadi seorang bomoh, seseorang itu mestilah memperolehi ilmu. Cara bomoh memperolehi ilmu dapat dibahagikan kepada dua golongan:

1) Memperolehi ilmu melalui menuntut atau belajar.

2) Memperolehi ilmu melalui warisan atau keturunan. Di dalam kategori ini ilmu perbomohan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi kemudiannya.

Daripada dua golongan ini boleh dipecahkan lagi kepada beberapa kategori lagi. Mula-mula kita tinjau ilmu yang diperolehi melalui "menuntut". "Menuntut" yang dimaksudkan di sini ialah dengan mempelajarinya daripada Tok Guru (bomoh) ataupun daripada amal ibadat yang tertentu. Orang yang menuntut melalui Tok Guru adalah terdiri daripada yang terlibat di dalam perubatan jenis akar kayu. "Penolong", iaitu makhluk ghaib yang menolong bomoh di dalam perubatan misalnya jin Islam dan sebagainya tidak perlu di dalam perubatan jenis ini. Yang lebih penting atau dititikberatkan ialah teknik menggunakan bahan-bahan daripada akar kayu.

Kategori kedua daripada bomoh menuntut ini ialah yang mempraktikkan ilmu ibadat. Orang yang menggunakan cara ini memperolehi ilmu melalui ilham. Ilham itu dikurniakan kepada seseorang adalah disebabkan oleh berkat amal ibadatnya. Setelah sekian lama beramal ibadat dengan penuh tekun dan sabar, datanglah pertolongan ghaib yang diistilahkan sebagai "ahli khutub", iaitu sejenis malaikat yang diutuskan oleh Allah untuk menolong bomoh di dalam usaha pengubatannya.

Ada satu jenis ilham yang diistilahkan sebagai "singgah". Ilham ini hanya bersifat sementara sahaja atau terhad di dalam jangka waktu yang tertentu sahaja. Roh yang berkebolehan di dalam hal-hal mengubat seperti wali-wali Allah dan jin Islam akan meresapi tubuh orang yang berkenaan dan akan memimpinnya di dalam usaha mengubati pesakit. Apabila orang yang berkenaan menerima ilham, dia dengan secara automatis menjadi pandai di dalam hal perubatan. Selepas habis tempohnya iaitu apabila roh-roh wali Allah dan jin Islam meninggalkannya, orang tadi akan menjadi seperti biasa semula. Tetapi jika orang yang berkenaan sedar akan ilmu yang dikurniakan kepadanya itu dan cuba mempelajarinya dengan lebih mendalam serta mengamalkannya, ilmu itu mungkin kekal diperolehinya.

Golongan kedua yang akan dibincangkan pula di sini ialah mereka yang mempelajari ilmu melalui warisan. Daripada golongan ini boleh dipecahkan lagi kepada dua kategori.

1) Mereka yang menjadi bomoh secara yang tidak disedari dan ilmu perbomohan diperturunkan kepada mereka oleh orang yang sudah mati.

2) Mereka yang memperolehi ilmu perbomohan daripada keluarga yang masih hidup lagi.

Bagi kategori pertama, bomoh tadi tidak berniat untuk menjadi bomoh tetapi disebabkan mereka mempunyai darah keturunan bomoh, maka ia harus diperturunkan oleh generasi sebelurnnya. Fenomena ini secara am agak jelas di dalam masyarakat Melayu di mana ilmu perbomohan bapa akan diperturunkan kepada generasi lelaki selepasnya dan ilmu perbomohan ibu akan diwarisi oleh anak perempuannya.

Kategori kedua daripada penerimaan ilmu melalui keturunan ialah ilmu diperturunkan oleh keturunan yang masih hidup lagi. Selalunya, datuk atau bapa akan menurunkan ilmunya kepada generasi selepasnya sebelum mereka meninggal dunia. Di dalam pengubatannya bomoh menggunakan jampi-jampi yang terdiri daripada ayat-ayat Quran dan juga jampi-jampi daripada perkataan Melayu. Segala doa ini kadang-kadang diperolehi melalui jampi.

Di sini "penolong" lebih banyak digunakan di dalam kes-kes bomoh yang turun-temurun. "Penolong" yang datang di dalam mimpi tadi berkemungkinan dalam bentuk roh-roh datuk nenek kepada bomoh-bomoh tadi yang pada satu masa asalnya adalah bomoh juga. Makhluk-makhluk ghaib yang dimimpikan oleh bomoh merupakan kuasa luar biasa yang menolong bomoh di dalam hal-hal pengubatan. Sungguhpun begitu, "penolong" tidak semestinya diperolehi daripada bomoh turun-temurun sahaja. Seseorang bomoh yang belajar juga boleh memperolehi "penolong" iaitu melalui menuntut.

Dari sudut pandangan Islam, seseorang bomoh menerima "penolong" melalui amal ibadatnya. Setelah sekian lama beramal ibadat dengan penuh tekun dan sabar mengenai ajaran-ajaran Islam, seseorang itu akan didatangi oleh pertolongan ghaib. Pertolongan ghaib ini dikenali sebagai "ahli khutub". Fungsi atau peranan ahli khutub ini berlainan dengan "penolong" biasa yang telah disebutkan tadi. "Penolong" biasa ini secara kasar dapat dikatakan boleh dibuat "orang suruhan" kepada bomoh, tetapi ahli khutub memberi pertolongan dalam erti kata yang agak berlainan daripada "penolong" biasa. Ahli khutub lebih bersifat menasihati atau memberitahu perkara-perkara yang di luar kemampuan manusia untuk berfikir. Dalam perkataan lain, ahli khutub memberitahu tentang perkara-perkara ghaib.

Kategori yang kedua terdiri daripada mereka yang tidak menggunakan "penolong". Di sini apa yang lebih penting terletak pada teknik pengubatan mereka. Mereka bergantung kepada kecekapan mencampur berbagai-bagai akar kayu. Jadi di sini jenis pengubatanlah yang memainkan peranan penting di dalam menentukan sama ada seseorang itu memerlukan "penolong" atau tidak.

Untuk menjelaskan lagi hal mengenai cara-cara memperolehi ilmu, ada dua perkara yang perlu penghuraian lanjut. Yang pertamanya adalah konsep "berkat" dan keduanya "Bakul Pengkeras". Dua perkara ini perlu diberi penghuraian kerana perkara ini merupakan sebahagian daripada inti pati perbincangan mengenai cara bomoh memperolehi ilmu.

Konsep Berkat

'Berkat' dapatlah diertikan sebagai pemberian istimewa Allah S.W.T. kepada makhluknya berdasarkan ibadatnya. Di sini menunjukkan permintaannya telah dikabulkan oleh Allah S.W.T. Tanpa adanya berkat, seseorang itu tidak boleh menjadi bomoh.

Pada amnya, berkat itu boleh diperolehi dari dua cara:-

i) Melalui pemberian Tuhan - Yang pertamanya, berkat melalui pemberian Tuhan ialah seseorang yang inginkan berkat mestilah sentiasa berdoa kepada Tuhan meminta hidupnya diberkati. Oleh itu wali-wali Tuhan kebanyakannya ialah bomoh, kerana hidup mereka dikatakan berkat dan segala permintaannya dikabulkan Tuhan. Wali-wali merupakan orang yang mempunyai taraf yang tinggi di sisi Tuhan. Melalui amalan-amalan dan doa-doa kepada Tuhan hidup mereka diberkati.

ii) Bergantung kepada corak hidup seseorang itu - Yang kedua pula bergantung kepada corak kehidupan seseorang itu. Ini bermakna seseorang itu pandai mengatur ekonomi rumah tangganya serta kehidupannya. Dia tidak boros tidak tentu hala dan tidak pula kedekut. Di samping bekerja dan menjaga ekonomi hidupnya, ia juga mestilah berdoa supaya ia akan diberkati Tuhan. Dengan ini, seseorang itu akan mendapat kehidupan yang aman dan sentosa selalu. Segala yang dilakukannya itu akan memberi manfaat atau kebaikan pada dirinya dan juga kepada orang lain.

http://aizul-semuatentangkita.blogspot.com/2009/08/sistem-kepercayaan-bomoh-dan-teknik.html

Berminat menjadi Bomoh @ Pawang ? - Part I


Untuk menjadi Ahli Sihir atau lebih dikenali sebagai Tok Bomoh @ Pawang oleh Masyarakat Melayu, adalah melalui berbagai cara dan jalannya. Iaitu :-
a. Melalui warisan dari keturunan datuk neneknya atau melalui saka-baka di mana datuk nenek atau keturunanya yang terdahulu pernah menjadi Tok Bomoh yang terkenal dan apabila mereka meninggal dunia maka ilmu perbomohan itu menurun atau mengalir terus ke dalam tubuh anak-cucu mereka pula.
b. Mereka didatangi oleh KhadamYang menyerupai datuk neneknya dalam mimpi yang memberitahunya supaya membaca ayat-ayat, jampi -jampi atau mentera-mentera tertentu. Setelah diamalkan ayat-ayat atau jampi tersebut maka datanglah khadam-khadam tertentu untuk memberi pertolongan.
c. Melalui bacaan wirid, ayat, jampi, serapah atau doa-doa tertentu yang diamalkanya.
d. Melalui amalan-amalan latihan pertahanan diri tertentu, ataupun daripada ilmu perlatihan pertahanan dirian yang dituntutnya.
e. Melalui pertapaan atau uzlah di tempat-tempat tertentu seperti di dalam gua, di muka kuala, di dalam hutan dan sebagainya sehingga dikunjungi oleh khadam-khadam yang bersyarat bagi menghasilkan hajatnya.
f. Melalui pembelajaran dan penerimaan daripada guru-guru yang mempunyai khadam atau yang diamalkanya melalui kitab-kitab tertentu secara bersendirian.g. Meniru tanpa berguru iaitu samada belajar dari kitab atau melihat cara orang lain berubat lalu di tirunya.

http://tokngah.blogspot.com/2007/11/cara-cara-menjadi-tok-bomoh-dan.html



Ada sesiapa yang berminat ?