PUSAKA MPA

Minangkabau

PUSAKA MPA

Urang Awak

PUSAKA MPA

Adat

PUSAKA MPA

Warisan

PUSAKA MPA

Sejarah

Wednesday 23 December 2009

Berinteraksi Dengan Allah

Kehidupan ini mempunyai seribu satu erti dan makna. Dalamnya ada mengandungi pelbagai pelajaran bagi mereka yang ingin mengambil pelajaran daripadanya. Kehidupan ini tidak semudah yang disangka oleh golongan yang sambil-lewa dan tidak sesusah yang disangka oleh golongan yang tamak dan bergantung kepada dirinya semata-mata.

Hidup ini suatu lapangan, tempat di mana Allah s.w.t. menyempurnakan kehambaan para hambaNya yang ingin menyempurnakan kehambaan diri mereka kepadaNya. Hidup ini suatu peluang, tempoh untuk para hambaNya menzahirkan rasa kesyukuran, kesabaran dan keredhaan kepadaNya, yang merupakan antara ciri-ciri kehambaan kepadaNya.

Manusia yang leka daripada hakikat dirinya yang sekadar seorang hamba kepada Tuhannya, secara tidak langsung akan menghadapi kesulitan dalam berinteraksi dengan kehidupan itu sendiri. Ini kerana, apa yang dicari hanyalah kepuasan nafsu diri, kelazatan yang memberi manfaat kepada kepentingan diri sendiri, tanpa menghayati makna kehidupannya yang lebih sempurna, iaitu dirinya hidup sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakannya daripada tiada kepada ada, iaitulah Allah s.w.t. yang Maha Pencinta.

Seseorang yang hidup semata-mata untuk kepuasan nafsu dan kepentingan diri, kerana tidak menghayati hakikat kehambaan diri, pasti tersalah dalam berinteraksi dengan kehidupan ini, sehingga membawa kepada terasa terbeban dengan sebuah kehidupan yang sementara ini. Apa yang dikejar selalunya tidak dapat. Apa yang didapatinya juga tidak akan kekal bersamanya setelah dia mati. Di mana nilai sebuah kehidupan bagi manusia yang semacam ini?

Bagi seseorang manusia yang menghayati makna kehambaan diri kepada Tuhannya, pasti akan memahami kehidupan ini dengan maknanya yang lebih luas dan sempurna. Kebendaan dan duniawi tidak lagi berkuasa menawan kebahagiaan dan kelapangan hati dan jiwanya. Dia tahu, hidup ini ialah untuk menterjemahkan makna kehambaan diri kepada Allah s.w.t. dengan menunaikan ketaatan kepadaNya secara zahir mahupun batin.

Bertolak daripada itulah, akhirnya seseorang mula memahami bahawasanya, seluruh kehidupan ini, samada berkaitan dengan ketentuanNya mahupun penetapan hukum-hakamNya, merupakan penzahiran "interaksi" Tuhannya kepadanya. Seseorang hamba yang sentiasa menghadirkan rasa kehambaan diri kepadaNya dalam segenap tindakannya dalam kehidupannya, akan turut merasai kehadiran muamalah (interaksi) Tuhannya kepadanya melalui segala yang berlaku dalam kehidupannya.

Bermula dengan menunaikan ketetapan syariat dan hukum Allah s.w.t. dalam kehidupannya, maka penghayatan terhadap makna syariat yang dilaksanakannya dengan jiwa hamba mula bersinar dalam hatinya. Dia mula melihat hakikat di sebalik syariat dengan pandangan zauqi (perasaan rohani) kurniaan Ilahi. Dia mula menghayati bahawasanya, syariat ialah bukti kewujudan dan kehendak Tuhan yang menciptakan dan mentadbirnya dan seluruh alam ini.

Bertolak daripada itu juga, takkala dia menunaikan ketaatan batin (hati) kepada Tuhannya, dengan sifat-sifat mahmudah seperti ikhlas, jujur, tawadhuk, istiqomah, sabar, syukur, redha dan sebagainya, maka dia mula mengenali hakikat ketentuan Allah s.w.t. dalam segenap kehidupannya.

Apabila dia ditimpa sesuatu yang berat terasa oleh nafsu dan dirinya, maka di situlah peranan seseorang hamba dalam menzahirkan kehambaannya kepadaNya dengan melahirkan sifat "sabar" terhadap ketentuanNya yang menimpanya tersebut. Dia juga menzahirkan rasa lemah di hadapan Allah s.w.t. dengan mengembalikan ketentuanNya kepadaNya, dengan mengadu masalah yang menimpanya kepada Allah s.w.t. yang mengujinya dengan ketentuan tersebut, dalam rangka semata-mata untuk menagih keredhaan dan bantuanNya.

Seseorang hamba yang mengadu masalahnya kepada Allah s.w.t. dalam rangka untuk menzahirkan kelemahan dirinya kepadaNya berbeza dengan seseorang yang mengadu kepada Allah s.w.t. akan masalahnya dalam bentuk membangkang ketentuanNya.

Adapun seorang hamba yang mengadu masalahnya kepada Allah s.w.t. dalam rangka untuk menzahirkan kelemahan diri kepadaNya, tujuannya hanyalah untuk menzahirkan hakikat diri yang "lemah" dan sentiasa memerlukan bantuanNya dalam menghadapi ketetapanNya, sedangkan orang yang merungut di hadapan Allah s.w.t. mengenai ketentuanNya ke atasnya bertujuan untuk menzahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap ketentuanNya yang tidak mengikut kehendak dan keinginan nafsu dirinya.

Mengadu dengan tujuan menzahirkan rasa lemah kepada Allah s.w.t. tidak mengandungi unsur mempertikaikan ketentuan Allah s.w.t., tetapi sekadar memohon rahmat dan bantuan Allah s.w.t. agar dia mampu menghadapi ketentuanNya dengan bantuanNya. Adapun orang yang merungut kepada Allah s.w.t. membawa maksud mempertikaikan ketentuan Allah s.w.t. dan terkadang boleh membawa kepada menyalahkan Allah s.w.t., seolah-olah dia lebih pandai dari Allah s.w.t.. Berbeza antara menzahirkan rasa lemah dengan menzahirkan kepandaian diri di hadapan Allah s.w.t..

Oleh kerana itu, Imam Abu Al-Hasan As-Syazuli yang menghayati makna kehambaan ini mengungkapkan ungkapan penuh adab di hadapan Allah s.w.t. dengan berdoa (dalam hizb al-kabir):

"Wahai Tuhanku. Aku tidak memohon agar tertegahnya apa yang Engkau mahu tentukan ke atasku. Tetapi, aku memohon sokonganMu (kepadaku) dengan bantuanMu kepadaku dalam setiap ketentuanMu ke atasku"

Nilai kehambaan ini juga pernah diungkapkan oleh Saidina Rasulullah s.a.w. dalam doa Baginda s.a.w. ketika di Thaif dengan berdoa:

"Wahai Tuhanku, aku mengadu kepadaMu akan lemahnya diriku…".

Nilai-nilai mengadu dalam rangka meminta bantuan daripadaNya dan menzahirkan kelemahan diri dan keperluan kepadaNya merupakan antara nilai kehambaan yang tertinggi dalam diri seseorang hamba kepada Tuhannya.

Oleh yang demikian, hamba yang beradab dengan adab kehambaan tersebut mula menzahirkan rasa memerlukannya dan bersabar dalam rangka untuk membuktikan kehambaan diri kepadaNya dengan sentiasa mengharapkan bantuan daripadaNya.

Adapun takkala dia ditimpa sesuatu yang menyenangkan diri dan nafsunya, samada kesenangan dalam bentuk kebendaan, rezeki, jodoh dan sebagainya, maka dia akan menzahirkan rasa kesyukuran kepadaNya dengan mengembalikan segala kebaikan yang didapatinya kepada Allah s.w.t., bukan menyandarkan kebaikan tersebut kepada usaha dirinya sendiri.

Inilah nilai kehambaan yang agung dalam diri seseorang manusia, di mana dia sentiasa berasa menghargai setiap kebaikan dalam kehidupannya kerana menghayati bahawa semua kebaikan adalah daripada Allah s.w.t., Tuhan yang Maha Pemurah.

Dengan rasa syukur tersebut, maka Allah s.w.t. menganugerahkan makrifatuLlah (mengenal Allah s.w.t.) kepadanya, dan menganungerahkan kefahaman tentang rahsia-rahsia muamalah Allah s.w.t. dalam segenap kehidupannya. Inilah kelebihan daripada sifat syukur yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. yang berfirman dengan maksud: "jika kamu bersyukur, Aku akan tambah buatmu akan nikmat"… Penambahan nikmat yang agung adalah, kefahaman tentang hakikat diri, hakikat kehidupan dan hakikat ketuhanan Allah s.w.t. dalam kehidupannya seharian.

Hidup ini ialah tempat bemualamah secara beradab. Bagaimana seseorang ingin beradab dalam bermuamalah dengan Allah s.w.t. melalui kehidupannya, sedangkan dia tidak mengenal hakikat dirinya sebagai hamba Allah s.w.t. yang perlu beradab kepadaNya, tidak mengenali hakikat kehidupan yang merupakan tempat menzahirkan adab kepada Allah s.w.t. dalam berinteraksi kepadaNya dan tidak mengenali Allah s.w.t., Tuhan yang ingin menyempurnakan adab kehambaannya melalui kehidupannya?

Dalam hidup ini terkandung risalah-risalah Allah s.w.t. dalam segenap detik dalam kehidupan kita, jika hati kita sentiasa hadir dalam bermuamalah denganNya dengan adab kehambaan kepadaNya. Sabar dan syukur merupakan dua sayap utama bagi kerohanian seseorang hamba dalam menuju keredhaanNya. Setelah seseorang mencapai istiqomah dalam sabar dan syukur dalam segenap kehidpannya terhadap setiap ketentuanNya dengan bantuan Allah s.w.t., maka dia akan dianugerahkan rasa redha kepada Allah s.w.t. dalam setiap ketentuanNya.

Pada darjat "redha" inilah, seseorang manusia tidak lagi merasai beza antara ketentuan dengan ketentuan, tiada merasai susah ataupun senang, kerana hatinya sentiasa fokus kepada mencari keredhaan Allah s.w.t. di sebalik setiap ketentuanNya, dan menghadapi setiap ketentuanNya dengan pandangan redha kepada Allah s.w.t.. Sesungguhnya, redha kepada Allah s.w.t. ini merupakan darjat yang teragung yang dicapai oleh seseorang hamba Allah, kerana seseorang tidak akan meredhai Allah s.w.t. melainkan setelahmana Allah s.w.t. meredhainya dan berkehendak supaya dia juga meredhaiNya.

Kehidupan ini sebuah perjalanan dalam muamalah kehambaan seseorang hamba dengan Tuhannya. Nilai kehidupan adalah pada penghayatan seseorang terhadap makna kehambaan dirinya dalam kehidupannya, makna kehidupannya selaku hamba kepada Tuhannya dan makna ketuhanan Allah s.w.t. dalam kehidupannya selaku hambaNya. Tanpa makna-makna tersebut, kehidupan tiada erti bagi seseorang manusia. Hidup tanpa "makna", yang tinggal hanyalah "makan". Makan, minum, tidur dan sebagainya, dalam rangka memenuhi nafsu di sekitar usianya yang semakin menuju kesudahan. Akhirnya, dia di sisi Allah s.w.t. bagaikan binatang, bahkan lebih sesat dan rendah daripada binatang, kerana tidak menghargai nilai kehidupannya sebagai manusia yang penuh dengan makna-makna yang mulia.

Masalah kemurungan, kesedihan, penderitaan dan rasa malang manusia sebenarnya bukanlah kerana gagal menanggung ketentuan Allah s.w.t., tetapi masalah-masalah tersebut kembali kepada "tidak memahami makna di sebalik ketentuanNya" lalu membawa kepada kegagalan dalam berinteraksi dengan ketentuanNya sebagaimana yang sepatutnya. Tanpa menghayati makna kehambaan diri, makna kehidupan yang merupakan medan menyempurnakan kehambaan dan makna ketuhanan Allah s.w.t. dalam kehidupan, maka seseorang akan mencari kebahagiaan yang bukan sebenarnya suatu kebahagiaan, akhirnya dia terus menderita dan menderita dalam rangka untuk mencari kebahagiaan menurut persepsinya.

Kebahagiaan bukan pada kepuasan nafsu, tetapi pada terealisasinya kehambaan diri kepada Allah s.w.t.. Kekayaan itu ialah kekayaan jiwa, seperti yang diberitahu oleh Baginda s.a.w. yang mulia. Hidup ini bukan tempat setiap orang cari apa yang dia mahukan, tetapi hidup ini ialah tempat setiap orang menunaikan tujuan asal dirinya diciptakan. Kalau mahu terus mencari makna kebahagiaan selain makna yang diingini oleh Tuhan, maka setiap langkahmu dalam mencarinya adalah suatu penderitaan. Akhirnya, yang kamu himpunkan hanyalah penderitaan demi penderitaan.

Wallahu a'lam…

Nasihat-nasihat Berguna Dari Tuhan mu

Berkata Abu Zar r.a. bahawasanya Nabi s.a.w telah bersabda: Allah telah berfirman: Sesungguhnya Aku telah mengharamkan ke atas diriKu kezaliman, dan Aku pun menjadikannya haram di antara sesama kamu, maka janganlah hendaknya kamu saling zalim-menzalimi sesama kamu sendiri!

Wahai hamba-hambaKu! Kamu sekalian lapar, melainkan sesiapa yang Aku beri makan, maka hendaklah kamu minta makan daripadaKu, nescaya Aku berikan kamu makan.

Wahai hamba-hambaKu! Kamu sekalian telanjang, melainkan sesiapa yang Aku beri pakaian, maka mintalah pakaian daripadaKu, nescaya Aku berikan kamu pakaian.

Wahai hamba-hambaKu! Kamu sekalian membuat kesalahan pada waktu malam dan siang, dan Aku sajalah yang boleh mengampunkan segala dosa (selain syirik), maka mohonlah pengampunan daripadaKu, nescaya Aku mengampunkan semua dosa-dosa kamu.

Wahai hamba-hambaKu! Kamu sekalian tidak mampu merancang sesuatu mudharat untuk memudharatkan Aku. Dan kamu pun tidak mampu merancang sesuatu manfaat untuk memanfaatkan Aku.

Wahai hamba-hambaKu! Andaikata orang-orang yang terdahulu, dan orang-orang yang terkemudian di antara kamu, sama ada dari manusianya mahupun jinnya, semuanya bertaqwa seperti taqwanya hati seorang manusia yang paling taqwa di antara kamu, tiadalah akan menambah barang sedikit pun di dalam kerajaanKu.

Wahai hamba-hambaKu! Andaikata orang-orang yang terdahulu, dan orang-orang yang terkemudian di antara kamu, sama ada dari manusianya mahupun jinnya, semuanya berhati jahat seperti jahatnya hati seorang manusia yang paling jahat di antara kamu, tiadalah akan mengurangi barang sedikit pun di dalam kerajaanKu.

Wahai hamba-hambaKu! Andaikata orang-orang yang terdahulu, dan orang-orang yang terkemudian di antara kamu, sama ada dari manusianya mahupun jinnya berkumpul berdiri di atas sekeping tanah, lalu mereka memohonKu, lalu Aku akan mengabulkan tiap-tiap seorang apa yang dimintanya, nescaya tidak akan terkurang sedikit pun dari apa yang Aku miliki melainkan seperti terkurangnya air yang membasahi sebatang jarum apabila dicelupkan ke dalam laut.

Wahai hamba-hambaKu! Sebenarnya semua itu adalah amalan-amalan kamu yang Aku catitkan untuk kamu sekalian, kelak di kemudian hari akan Kubalas atas tiap-tiap satu daripadanya. Oleh itu barangsiapa menerima yang baik, maka hendaklah ia bersyukur kepada Allah. Dan barangsiapa menerima sebaliknya, maka janganlah ia menyalahkan orang lain, selain dirinya sendiri. (
Riwayat Muslim, Abu Uwanah, Ibnu Hibban, Hakim)

Keris lama




Antara barangan yang dijumpai, dibalut dengan surat khabar lama dan diletakkan atas bumbung rumah lama. Sedang berusaha untuk mendapatkan pakaian baru semoga dijadikan pesaka generasi akan datang, insya Allah. Maaf bilah yang dipertontonkan bukanlah yang indah2 atau yang mahal2 sekadar 'besi buruk' peninggalan orang tua.

Tertib Dalam Amalan : Syariat, Tarikat, Hakikat dan Makrifat

Kalau Tuhan tidak 'wujud' di dalam ibadah, lama kelamaan,  Tuhan akan bertambah jauh dan bertambah jauh. Lebih-lebih lagilah kalau tujuan dan niat ibadah itu adalah untuk dipuji, untuk disanjung, dan kerana sebab-sebab  lain yang berbentuk duniawi. Sudah tentulah ia tidak akan ada nilai apa-apa. Malahan ibadah seperti ini akan Allah lemparkan semula ke muka pengamalnya beserta dengan laknat-Nya sekali. 

Lagi banyak dia beribadah, lagi dia rasa sombong, angkuh, riyak, ujub, rasa diri mulia, rasa diri baik dan sebagainya. Lagi banyak dia beribadah, lagi dia pandang orang lain hina, jahat dan tidak berguna. Beramal dalam Islam ada tertibnya. Ada “progression”nya dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Ia bermula dengan Syariat, kemudian dengan Tariqat, diikuti pula dengan Hakikat dan diakhiri dengan Makrifat.

1. Syariat.

Ini adalah ilmu. Ia melibatkan ilmu tentang peraturan, hukum-hakam, halal haram, sah batal dan sebagainya. Ilmu perlu dalam beramal. Tanpa ilmu, kita tidak tahu macam mana hendak beramal mengikut cara yang Tuhan mahu. Kalaupun kita sudah cinta dan takut dengan Tuhan dan kita terdorong untuk menyembah-Nya, kita tidak boleh berbuat demikian ikut sesuka hati kita atau ikut cara yang kita cipta sendiri. Tuhan tidak terima, kita mesti ikut cara yang ditetapkan oleh Islam dan kita mesti belajar. Amalan tanpa ilmu itu tertolak. Ilmu atau syariat ini ibarat biji benih.

2. Tariqat.

Ini adalah peringkat menghidupkan ilmu menjadi amalan secara istiqamah dan bersungguh-sungguh, difahami, dihayati. Ilmu [syariat] yang ada perlu dilaksanakan. Pengamalan ilmu ini dinamakan juga tariqat wajib dan ia tidak sama maksudnya dengan tariqat sunat yang mengandungi wirid-wirid dan zikir-zikir yang menjadi amalan setengah pengamal-pengamal sufi. Tariqat ini ibarat kita menanam biji benih tadi [syariat] hingga ia bercambah, tumbuh dan menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun.

3.Hakikat.

Hakikat adalah buah. Selepas kita ada syariat, kemudian kita amalkan syariat itu hingga ia naik ke peringkat tariqat, yakni ia menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun, maka kalau cukup syarat-syaratnya maka pokok itu akan menghasilkan buah.

Buah tariqat adalah akhlak dan peningkatan peringkat nafsu atau pencapaian maqam-maqam mahmudah. Boleh jadi ia menghasilkan maqam sabar, maqam redha, maqam tawakkal, maqam tawadhuk, maqam syukur dan berbagai-bagai maqam lagi. Boleh jadi hanya terhasil satu maqam sahaja [sebiji buah sahaja] atau boleh jadi akan terhasil beberapa maqam berbeza dari satu pokok yang sama.

Hakikat juga adalah satu perubahan jiwa atau perubahan peringkat nafsu hasil dari syariat dan tariqat yang dibuat dengan bersungguh-sungguh, istiqamah, faham dan dihayati.

4. Makrifat.

Ini adalah hasil dari hakikat, iaitu hal-hal hakikat yang dapat dirasai secara istiqamah. Ia adalah satu tahap kemajuan rohaniah yang tertinggi hingga dapat benar-benar mengenal Allah dan rahsia-rahsia-Nya. Orang yang sudah sampai ke tahap ini digelar Al Arifbillah.

Kalau kita lihat dengan teliti, tertib dalam amalan ini bermula dari yang lahir dan berakhir dengan yang batin. Syariat dan tariqat itu terletak dalam kawasan lahir. Hakikat dan makrifat pula menjangkau ke alam batin iaitu ke dalam hati dan rohani. Kita juga dapat lihat bahawa peringkat syariat dan tariqat adalah peringkat-peringkat yang agak mudah untuk dicapai kerana ia hanya melibatkan usaha lahir. Tetapi untuk mencapai peringkat hakikat dan makrifat, ia agak lebih sukar dan lebih rumit.

Kesukaran ini ialah kerana pertama, ia memerlukan istiqamah dalam beramal dan kedua kerana ia memerlukan juga amalan batin atau amalan hati atau apa yang dinamakan hikmah. Amalan yang berhikmah ialah amalan yang dihayati dan dijiwai, yang mempunyai roh dan rasa-rasa. Tanpa kedua-dua perkara ini iaitu istiqamah dan hikmah, tariqat tidak akan dapat melonjak ke peringkat hakikat dan seterusnya ke peringkat makrifat.

Itu sebabnya ramai orang yang berjaya sampai ke peringkat tariqat iaitu boleh berilmu dan beramal tetapi tersekat di situ sampai ke tua tanpa dapat meningkat ke peringkat hakikat. Sudah beramal selama 50 hingga 60 tahun tetapi tidak juga lahir akhlak dan tidak juga dapat mencapai maqam-maqam mahmudah. Dalam ertikata yang lain, mereka sudah beribadah berpuluh-puluh tahun tetapi ibadah mereka belum menghasilkan buah iaitu akhlak.

Istiqamah. 

Ini adalah salah satu syarat atau tuntutan untuk mencapai hakikat. Istiqamah ialah tetap dalam beramal. Amalan pula adalah amalan lahir dan ada amalan batin atau hati. Istiqamah itu perlu dalam amalan lahir mahupun amalan batin. Malahan istiqamah dalam amalan batin lebih dituntut. Istiqamah dalam amalan lahir agak mudah. Ramai orang yang istiqamah dalam sembahyang, dalam berpuasa, dalam berzakat dan sebagainya. Ramai yang tak tinggal sembahyang, tak tinggal puasa. Tetapi istiqamah dalam amalan batin adalah lebih sukar dan rumit. Istiqamah dalam amalan batin ini ramai yang tidak mampu melakukannya walaupun sudah istiqamah dalam amalan lahir. 

Ramai orang cuba sabar tapi tidak istiqamah dalam sabar. Duit hilang boleh sabar. Sakit dan demam boleh sabar. Tapi bila orang kata nista dan menghina, tidak sabar. Bila isteri buat hal, tidak sabar. Ramai orang boleh bersyukur. Dapat duit bersyukur, dapat pangkat bersyukur, dapat anak pun bersyukur tapi tidak mampu bersyukur bila dapat berbuat ibadah dan kebaikan, dan bila terhindar dari berbuat maksiat dan kejahatan. Ramai orang boleh jadi pemaaf kalau yang meminta maaf itu kawannya, isterinya atau anaknya. Tapi kalau yang meminta maaf itu musuh atau seterunya, susah dia hendak maafkan.

Ramai orang boleh berbuat baik kepada kawannya, sanak-saudaranya, ibu dan ayahnya yang selalu berbuat baik padanya tetapi tidak sanggup berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat padanya. Ramai orang boleh bertegur sapa dan bermesra dengan kawan-kawannya tetapi tidak boleh bertegur sapa dan bermesra dengan orang yang dibencinya. Begitulah seterusnya.

Sangat susah dan payah untuk kita beristiqamah dalam amalan hati. Justeru itu ia tidak dapat dijadikan pakaian atau ia tidak dapat mendarah mendaging. Itu sebab istiqamah itu, terutamanya istiqamah batiniah sangat dipandang besar. Ia dianggap satu keramat. Ada hadis yang maksudnya lebih kurang ; "janganlah kamu meminta jadi wali, tapi mintalah istiqamah"

Amalan yang tidak istiqamah tidak akan ada kesan apa-apa pada hati. Amalan yang istiqamah, walaupun sedikit akan tetap ada kesan pada hati. Ibarat air yang menitik ke atas batu, lama kelamaan batu itu akan terlekuk jua. Tetapi air banjir yang besar yang melanda batu sekali sekala tidak akan memberi apa-apa kesan kepada batu.

Istiqamah adalah tanda ikhlas. Kalau sesuatu amalan itu tidak ikhlas, ia sukar untuk diistiqamahkan. Seperti kata para hukama [ahli hikmah] ; "Hidupnya [kekalnya] amal kerana ikhlas."

Dalam pada itu, istiqamah batiniah lebih memberi kesan kepada hati daripada istiqamah lahiriah. Itu sebabnya istiqamah batiniah lebih dituntut dan lebih utama. Ia adalah amalan hati dan kerana itu ia mempunyai kesan yang langsung dan terus kepada hati.

Hikmah.

Ia adalah syarat atau tuntutan kedua untuk mencapai hakikat. Hikmah di sini bukan bermaksud bijaksana. Kalau bijaksana, orang Arab akan sebut "Abqoriah". Hikmah di sini bukan bermaksud ilmu atau setakat faham ilmu sahaja. Hikmah ialah ilmu dalam ilmu. Hikmah adalah rasa dan penghayatan. Ia adalah rasa yang Allah campakkan ke dalam hati.

Untuk mendapat ilmu, kita boleh belajar. Tetapi untuk mendapat hikmah, ilmu mesti diamal. Baru ilmu itu bukan setakat di akal tetapi jatuh ke hati. Ilmu hati ini sahaja yang boleh mengubah dan menginsafkan orang. Kalau ilmu lahir itu dikendalikan oleh akal, hikmah pula ialah ilmu yang dikendalikan oleh roh atau hati.

Seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis ; Maksudnya ; "Kalau kamu amal ilmu yang kamu tahu, Allah akan ajar kamu ilmu [hikmah] yang kamu tidak tahu."

Untuk menjadi ulama itu senang. Tetapi untuk menjadi ahli hikmah sangat susah. Ilmu adalah apa yang kita belajar tetapi hikmah adalah apa yang Tuhan ajar kita seperti dalam firman Allah ; "Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, Allah akan ajar kamu ilmu [hikmah]. Sesungguhnya Allah Mengetahui segala sesuatu." [Al Baqarah : Ayat 282]

Orang yang mendapat ilmu hikmah, dia mendekati nabi. Inilah dua perkara yang perlu dititik beratkan kalau sekiranya amalan hendak ditingkatkan dari peringkat tariqat kepada hakikat dan seterusnya kepada makrifat. Ia memerlukan penglibatan hati dan rohani dalam ibadah dalam bentuk penjiwaan dan istiqamah terutamanya istiqamah batiniah di samping amalan lahiriah yang baik dan rapi. Kalau hati dan rohani tidak turut sama beribadah, agak mustahil perkara ini boleh tercapai.

Untuk mendapat buah dari ibadah iaitu akhlak dan untuk mencapai maqam-maqam mahmudah, ibadah mesti ada roh, mesti ada rasa-rasa, mesti ada penjiwaan dan mesti ada penghayatan. Salahlah orang yang menafikan amalan hati dan amalan rohani dalam ibadah. Kalau amalan lahir sahaja dititikberatkan maka ia mungkin memadai di peringkat syariat dan tariqat iaitu pada peringkat ilmu dan amal. Memang itu kerja lahir. Tetapi untuk mendapat hasil dari ilmu dan amal tersebut dan supaya ibadah boleh mendidik hati, amalan lahir semata-mata tidak memadai. Dalam ertikata yang lain, untuk mencapai maqam hakikat dalam ibadah dan amalan, itu bukan lagi kerja lahir. Itu adalah kerja hati.

Dosa-dosa Besar yang Tidak Disedari

Terima kasih Tuhan, kerana dengan rahmatMu banyak peringatan-peringatan yang Kau beri untuk dapat kami membaiki diri kami. Kami rasa ini satu hadiah yang besar dari Engkau berkat bulan Muharam ini. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhamad s.a.w, kerana engkaulah ya Rasulullah kami dapat meneruskan kuliah kali ini. Moga-moga kami pandai bersyukur dan dapat membanyakkan selawat kepada nabi kami.

Kerana ilmu kita tak banyak, tak halus, banyak benda silap yang kita tak tahu, banyak ilmu yang seni-seni kita tak faham. Kita telah buat kesalahan tanpa kita sedar. Kita telah buat dosa-dosa besar tapi tak tahu. Kita banyak buat kesalahan dengan Tuhan tapi tak sedar. Jadi yang kurang pada kita ialah ilmu-ilmu seni. Bila ilmu-ilmu seni itu kita tak faham, pada saya, pada orang lain saya tak tahulah, makin banyak kita ibadah makin banyak kita tipu diri. Makin kita nak jadi orang baik dah jadi tak baik. Makin banyak kita beribadah makin jahat kita dengan Tuhan, kerana ilmu kita tak boleh menyuluh diri kita, sebab ilmu Tuhan itu sangat seni. Sangat tersirat.

Yang sebenarnya ilmu yang seni-seni, ilmu yang tersirat itulah yang boleh mengubat hati. Ilmu lain tak boleh, kadang-kadang dia tipu kita, ilmu lahir tak terasa apa-apa. Bila tak terasa apa-apa, makin banyak kita buat, kita dah rasa luar biasa, kita kurang ajar dengan Tuhan, kita dah rasa hebat. Ini dah berdosa dengan Tuhan tapi kita tak sedar, kita dah tak takut dengan Tuhan.

Sedangkan itu kesalahan besar, dosa besar. Jadi kalau ilmu kita tak seni, makin buat baik jadi makin tak baik. Kan pelik didengar, kalau orang tak pernah dengar ilmu macam ni, tentulah dia fikir ajaran sesat ke ni? Yang sebenarnya dosa-dosa besar ada 2 bahagian:
1. dosa-dosa yang lahir   2.  dosa-dosa yang batin

Ramai orang yang nak beragama, yang nak juga pada Islam kalau ilmunya tak seni, tak halus, ilmu yang tersirat tak tercungkil, dia tak terjebaklah dengan dosa-dosa besar lahir (yang nampak oleh mata lahir). Sebab dia nak beragama juga, yang lahir ini mudah dikesan. Tapi orang ini akan terjebak dengan dosa-dosa besar yang batin

Bagi yang jenis tak fikir agama, dosa-dosa besar yang lahir pun dia tak ambil kisah apa lagi yang batin. Bagi orang yang agak nak beragama insyaAllah dosa-dosa lahir dia tak buat seperti zina, mencuri, minum arak, judi, menipu, rasuah...itu semua dosa-dosa besar dia tak buat. Dia tak akan berzina, melacur. Nah disitu dia tipu diri "Aku tak buat dosa besar, bersih aku ni!" Terasa baik dia. Makin baik lahirnya yang dalam makin jahat. Makin cantik di luar makin burruk di dalam. Makin bercahaya lahir, yang dalam makin gelap.

Sebab itu para sahabat salafusoleh dan orang-orang yang bertaqwa dia bukan takutkan dosa-dosa besar yang lahir tapi yang takutkan ialah dosa-dosa besar yang batin terutama syirik. Dikalangan salafusoleh para sahabat pernah berkata kalau aku mati di bilik aku ini mati sebagai orang beriman, sedangkan kalau aku pergi ke tangga rumah ini mati syahid, itu besarlah. Tak apa, saya nak mati di bilik, kenapa? Padahal jarak bilik dengan tangga itu 2-3 depa sahaja, dia takut jalan dari bilik ke tangga dia jadi syirik. Apa maksud tu?

Begitulah orang bertaqwa bimbangnya dengan syirik, bimbang dengan Tuhan. Dengan jarak 2-3 depa dia tak yakin dirinya selamat dari syirik walaupun di tangga dijanjikan mati syahid. Tak apalah yang penting aku dapat mati beriman cukuplah. Kalau masuk neraka tak kekal, daripada mengharapkan mati syahid tapi dapat mati kafir. Begitulah hati orang beriman, adakah hati kita macam itu? Hati orang mukmin bergolak, tak tahu nasib aku macam mana. Dari saat ke saat dia takut, tak tahu bagaimana nasibnya.

Bagi orang yang nak beragama juga, memang dia tak buat dosa-dosa besar yang lahir. Kalau ilmu dia tak halus, di situ dia rosak, dia buat dosa besar yang batin. Bila orang puji berbunga hati, itu dosa besar. Terfikirkah itu dosa besar? Itu yang saya maksudkan dia tipu kita, disebabkan kita tak buat dosa besar yang lahir tu jadi dia tipu kita. Dalam pengalaman kita orang yang beribadah kuat, kalau kita tegur ''Saya tak buat salah. Tak, tak saya tak buat!'' Kenapa? Soalnya dia tak nampak di dalam, di luar ok. Tengok. Kebaikan yang diluar menipu diri. Kebaikan yang diluar merosakkan batinnya. Cahaya yang terang di luar menggelapkan dalam. Bila kita berjaya dalam ibadah ke, terasa luar biasa, ujub itu dosa besar, terfikirkah itu dosa besar? Tak! dia berlalu begitu sahaja padahal kita dah lakukan dosa besar.
                               
Contoh lain, terlintas dalam fikiran ''Kalau aku berjuang/berdakwah nanti, macam mana nak makan, anak ramai, isteri ramai? Dosa ini lebih besar daripada contoh yang awal tadi sebab ini dah masuk kawasan syirik, merosakkan akidah. Terfikir ke kita yang fikiran macam itu sudah merosakkan akidah? Sebab itu dosa batin, yang susah nak dikesan oleh orang biasa. Bagi orang yang nak ikut Tuhan, dosa lahir itu macam dengar bunyi gajah. Dari jauh dah dengar gedebuk-gedebuk bunyi gajah jadi senang dia nak elak, larilah. Tapi dosa batin macam bunyi semut, tak terdengar, tak ada. Bila tak ada maka tak rasa bahaya. Bila gajah berjalan, semut berjalan berbunyi, sama. Tapi gajah senang dikesan kesak kesuk kesak kesuk, kalau semut jalan di tepi telinga pun tak dengar. Kita dah buat dosa besar tapi kerana kita tak faham, jadi kita kata kita tak buat.

Jadi ramai orang yang buat dosa besar batin. Untuk orang yang nak beragama tapi ilmunya tak ada, tak halus maka dia akan banyak buat dosa besar batin. Macam orang lain dapat kesenangan, terdetik hati kita rasa tak senang, itu dosa....mana kita terfikir itu dosa? Kalau orang dapat kesusahan, kita tak rasa susah, itu dosa...terfikir ke kita itu dosa? Mana boleh orang susah kita tak rasa susah, mana perikemanusiaan kita? Itu tanda hatinya sudah bankrup, tak susah dengan kesusahan orang.

Pernahkah kita menungkan,''Eh, aku ni banyak dosa sebab aku tak terasa susah dengan kesusahan orang lain.'' Tapi kalau minum arak ''Astaghfirullah hal 'azim aku telah minum arak''. Setahun dia boleh ingat. Atau kalau berzina setahun dia boleh ingat. Main diotak, tak tenang. Tapi tak rasa susah dengan kesusahan orang, ada bermain-main di otak?...Tak! Dia berada dalam keadaan selesa tak berasa berdosa dengan Tuhan. Nampak tak ilmunya? Sebab itu kalau ilmu tak halus, tak seni, banyak ilmu tersirat kita tak tahu maka banyak dosa-dosa batin kita buat tanpa disedari.

Ilmu-ilmu tersirat, ilmu-ilmu seni itulah ilmu tasawuf, itulah ilmu rohani. Banyak dosa-dosa batin yang kita buat tak tahu. Lebih-lebih lagi sembahyang banyak, ibadah banyak, wirid zikir banyak, kerja-kerja umrah/haji dah banyak tetapi dah takut dengan Tuhan, sebab ditutup oleh kebaikan lahir tadi. Itu satu kejahatan paling besar. Sebab ianya telah mencabut rasa kehambaan. Rasa kehambaan itulah yang Tuhan nak. Bila dicabut rasa kehambaan dia tak nampak dosa besar. Bila rasa kehambaan tercabut datanglah rasa ketuanan, dah besar, bila dibiarkan dia akan datang rasa ke Tuhanan. Musnah dia punya akidah, tak bahaya ke ?

Kadang-kadang orang yang lalai dengan Islam, sekejap sembahyang sekejap tidak sembahyang, sekejap puasa sekejap tidak puasa, tapi dia rasa bersalah. Dia sedar dia salah. Itu lebih selamat daripada orang yang jaga yang lahir, ibadah yang banyak dalam hati buat jahat, tak terasa takut lagi. Yang tadi masih rasa takut lagi, dalam buat jahat dia rasa takut, rasa kehambaan masih kekal. Yang ini dia banyak buat secara luaran tak terasa takut. Sebab di sisi Tuhan orang yang buat dosa terasa berdosa itu yang selamat. Orang berdosa rasa tak berdosa, itu yang rosak! Rasa berdosa, rasa bersalah, rasa kehambaan itulah yang Tuhan nak.

Kalau kita ambil yang lahir sahaja mungkin banyak ibadah yang makin rosak sebab dia tak nampak kesalahan dirinya. Sebab itu orang dulu, kalau ada orang nak tanya tentang hukum hakam kalau nak jaga hati kalau aku terus jawab mungkin nanti ada megah. Kamu pergilah tanya si Ahmad, bila sampai si Ahmad tanyalah si Yusuf, kerana nak jaga hatilah tu. Dari Yusuf suruh pergi ke Mahmud juga. Akhirnya pusing sampai baliklah kerana tak dapat elak dia pun jawab.

Sebab itu orang dulu, kalau nak sangat berdakwah, dia tak berdakwah. Waktu dia seronok sangat nak bersyarah tu, dia tahan diri, sebab dia fikir jangan-jangan dorongan ini hanya untuk nak megah, untuk kepentingan diri. Syeikh Abdul Kadir Jailani selepas 30 tahun beribadah, buat itu buat ini, dia berdakwah. Sebab sebelum itu dia tak berdakwah. Kadang orang tanya mengapa tuan tak berdakwah, kadang-kadang dia tak jawab sebab dia tahu mengapa dia tak berdakwah. Setelah 30 tahun baru dia berdakwah, dia dah jadi orang baik...mungkin mula dari 30 tahun jadi sekarang dah 60 tahun. Orang terkejutlah. Dia kata '' Saya dah dapat arahan'', nbaru dakwah, ada arahan dari Tuhan, ada bisikan dari pihak Tuhan baru dia berdakwah. Dia berhati-hati. Sebab itu sekali sahaja dia berdakwah, yang dah nak baik terus jadi baik, yang dapat hidayah mendadak baik, yang jahat-jahat bergolak hati. Itu kesanya. Hari ini orang kerja dakwah tapi tak ada kesan, mengapa? Sebab hati nak sangat berdakwah, masuk surat khabar lagi seronok, sehingga dakwah tak dapat memberi kesan.

Sheikh Abu Yazid Bustami lepas berdakwah ramai orang sedar, kerajaan tak senang, maka dibuang.7 tahun dibuang, 7 tahun negara bergolak. Ladang tak jadi, makan susah, kemarau, kemudian baru orang perasan mengadu ke Gabenor,''Tuanku, sejak kita buang Yazid tu keadaan jadi begini, dah teruk ni, coba bawa balik Yazid''. Dia balik masalah selasai. Kesan rasa hati mereka, bergolak negara. Mana ada orang macam ini sekarang. Masing-masing nak berdakwah, tak ada seorang pun masuk Islam, semua orang Islam tak  berubah, dirinya pun tak berubah. Sebab dia berjuang tapi membawa dosa besar batin, bawa kejahatan batin, diluar bercahaya dalamnya gelap. Kerana ilmunya tak seni, ilmu rohaninya tak menyuluh batin, dia buat jahat tak sedar, dia berdosa pun tak perasan.

Ini semua faktor ilmulah. Kalau ilmu kita tak banyak, tak global, tak seni, makin kita baiki diri yang luar, makin terjun ke Neraka, makin terjun ke maksiat. Makin kita buat kejahatan tanpa kita sedar. Kena berhati-hatilah jangan sampai sembahyang, puasa, wirid kita menipu kita. Jangan ibadah kita merusakkan hati kita. Patutnya makin banyak kita baiki diri makin rasa bersalah, rasa berdosa, makin rasa tak berguna, makin rasa jauh dengan Tuhan. Itulah yang akan menyelamatkan kita.

Mengenal Tuhan

Mengenal Tuhan tidak cukup kalau terhenti setakat akal sahaja. Walaupun kita sudah belajar sifat 20 sehingga faham dan alim, ia belum menjamin kita "kenal" Tuhan. Kita sebenarnya baru "tahu" tentang Tuhan dengan akal. Sedangkan mengenal Tuhan ialah dengan hati, bukan dengan akal. Hati yang arif dan kenal Tuhannya mampu untuk mengawal diri dari kemungkaran. Jika akal yang 'tahu' tentang Tuhan, ia tidak mampu mengawal tuannya dari kemungkaran dan dosa. Dia juga payah untuk berubah dan meningkatkan diri.

Keseluruhannya sifat-sifat Tuhan itu adalah lambang kasih sayang Tuhan terhadap hamba-hamba- Nya. Antara tanda kasih sayang Tuhan itu ialah nikmatNya yang diberikan terlalu banyak dan luas, bahkan tidak terhitung. Jika satu nikmat sahaja kita hurai, sudah cukup untuk menunjukkan betapa baiknya Tuhan kepada kita. Contohnya, cuba kita tutup hidung selama 5 minit. Tentu kita akan mati kerana tidak boleh bernafas. Begitulah besarnya nikmat Tuhan. Maha Besar Tuhan! Kita patut berterima kasih kepada Tuhan. Kalau Tuhan tidak beri kita udara, kemudahan dan keselesaan hidup yang canggih pun tidak bermakna kerana kita tidak dapat mengecapinya.

Rasa-rasa hati seperti inilah yang menguatkan hubungan hati seorang hamba dengan Tuhannya. Hubungan hati dan rasa inilah yang menundukkan manusia agar patuh kepadaNya dengan hati yang penuh kecintaan pada Tuhan. Jadi, kita perlu sentiasa ingat betapa Pengasih dan Penyayangnya Tuhan yang menjadikan kita. Kita ini hanya seorang hamba yang hina-dina. Diri kita yang hina dan banyak dosa ini pun Allah masih sayang dan beri berbagai nikmat seperti penglihatan, pendengaran, kesihatan dan sebagainya.

Kalau begitulah kasih sayang Tuhan kepada manusia, kenapa kita tidak boleh berkasih sayang sesama insan? Kita selalu menyebut Allah itu Pengasih dan Penyayang melalui kalimah Bismillah namun kita masih ada kesombongan di hati. Kita hina orang dan sebagainya kerana selama ini kita belajar mengenal Tuhan dengan hujah akal semata-mata. Hati kita tidak tersentuh pun jika disebut tentang kehebatan Tuhan. Justeru itu kita mesti ubah cara kita belajar atau mengajar Tauhid tentang Tuhan supaya dapat mengenal Tuhan dan memiliki rasa-rasa bertuhan. Rasa-rasa bertuhan itulah yang hendak dibawa ke mana-mana.

Rasa bertuhan itu kalau hendak dikiaskan adalah seperti berhadapan dengan seekor harimau. Harimau tersebut sedikit pun tidak mengusik kita. Jika kita dihidangkan makanan di waktu itu, beranikah kita terus makan rezeki yang sedap-sedap terhidang di depan kita? Tentu tidak, sebab kita terasa kehebatan harimau itu. Rasa takut kepada harimau itu yang boleh menerkam bila-bila masa. Begitu juga dengan Tuhan. Hati yang kenal Tuhan tidak tunggu-tunggu dan berfikir malah dia benar-benar faham dan terasa kehebatan Tuhan setiap masa.

Kehebatan Tuhan itu jauh lebih dari seekor harimau. Jika Allah hendak bertindak ke atas kita, Allah tidak akan bertangguh. Dia boleh buat dalam sekelip mata. Mengapa kita tidak terasa kehebatan Tuhan yang amat jauh lebih hebat dari harimau itu? Seandainya kita sentiasa merasakan kehebatan Tuhan di dalam hati, dan perasaan bertuhan itu kita bawa ke mana-mana, kita tidak akan makan rasuah, jatuhkan orang lain dan lain-lain. Sebagaimana kalau harimau ada di depan kita, apakah masih sempat untuk bergaduh? Tentu tidak. Segala-galanya hilang, yang ada dalam hati ialah perasaan takut akan 'kehebatan' harimau itu.

Mengapa tidak rasakan Tuhan begitu? Tuhan yang nyawa kita kalau Dia tarik satu urat pun, kita sudah tidak mampu hendak hidup. Sebab itulah dikatakan Tuhan itu Maha Besar. Di hari ini, orang yang ikut Islam pun sudah kehilangan Tuhan, sebab itu Tuhan biarkan umat Islam seluruh dunia diratah-ratah oleh musuh. Manusia sudah terlalu longgar hubungannya dengan Tuhan, sekalipun dalam solat. Sedangkan ketika solatlah sepatutnya rasa bertuhan itu benar-benar dihayati dan dirasai.

Rasulullah bersabda: "Cukup 2 rakaat solat sunat tapi memberi kesan pada peribadi daripada beribu-ribu rakaat tetapi tidak memberi kesan."

Memiliki Jiwa Sufi

Apabila agama tidak menjadi pegangan dan panduan maka ideologi yang menjadi pengganti. Ideologi itu pula ada yang sudah tersedia tersusun dan terhimpun sebagai satu fahaman politik. Namun sebenarnya apabila bukan wahyu yang menjadi pegangan dan panduan maka hidup seseorang itu dengan apa yang difikirkannya maka itulah ideologi tanpa nama.

Untuk mengekang nafsu buas dan rakus dan menolak segala ideologi sama ada berbentuk isma-isma atau ideologi sendiri, sekaligus dapat mempertautkan hati sesama umat Islam tanpa mengira batas sempadan golongan, puak, kedudukan, bangsa, asal usul, keturunan dan negara, umat Islam perlu memiliki jiwa sufi yang di antara ciri-cirinya adalah seperti berikut:

1. Rasa kehambaan

Berusaha bersungguh dan istiqamah (berterusan) memperolehi atau mencapai rasa kehambaan yang mendalam. Benar-benar mengenali diri itu adalah hamba yang dicipta oleh Allah SWT. Sewajarnya sampai kepada tahap rasa takut, bimbang, cemas, gementar, malu, mengharap, rindu, rasa dilihat, didengar, diketahui sehingga tidak lekang dari hati. Seiringan dengan itu tidak lekang pula rasa berTuhan yang tinggi, kenal Allah SWT hingga ke peringkat merasai keagungan, kebesaran, kehebatan Allah SWT. Biarpun tidak dapat dicapai dalam tempuh yang singkat namun inilah matlamat hidup manusia yang sebenar. Matlamat ini yang mesti diburu, dikejar dan diusahakan hingga akhir hayat.

2. Mengenang nasib di Akhirat.

"Dunia ini adalah tanaman akhirat". Ertinya segala amalan, pekerjaan, perlakuan dan gerak geri sepanjang hidup ini hanyalah disifatkan sebagai menanam sahaja. Akhirat merupakan tempat memungut hasil. Apa yang bakal dikutip di akhirat nanti sama ada pahala atau dosa, sama ada syurga atau neraka, bergantung kepada apa dan bagaimana kita menanam. Orang yang berjiwa sufi sentiasa takut dan bimbang. Takut dan bimbang tentang nasibnya di akhirat kelak. Takut dan cemas di saat berhadapan Qadhi Rabbul Jalil yang akan menyelongkar setiap apa yang dilakukan sepanjang hidup. 

Satu apa pun tidak akan tercicir, sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi hatta gerak dan lintasan hati sekalipun. Maka perlumbaan di dunia ini, apa yang diburu ketika hidup, kerakusannya ialah terhadap menimba amal sebanyak-banyaknya dan menolak segala perbuatan mungkar dan keji. Begitupun banyak amalan dan menolak kejahatan, nasib di sisi Allah SWT di akhirat nanti belum tahu. Ianya sangat bergantung kepada rahmat Allah SWT. Sesungguhnya rahmat Allah SWT itu hampir kepada orang yang beramal.

Apa saja nikmat yang bersifat duniawi tidak lebih hanya sekadar umpama peralatan dalam menanam padi. Alat-alat yang membantu dan memudahkan kerja-kerja menanam padi. Lebih lengkap dan sempurna segala peralatan maka lebih mudah kerja-kerja menanam dan berpeluang mendapat hasil yang lumayan. Itu pun bukan satu jaminan kerana kadang-kadang dirosakkan oleh berbagai-bagai musuh seperti burung dan ulat. Tanpa disangka-sangka yang menanam dengan peralatan tradisi berjaya mengutip hasil yang banyak kerana dikawal sungguh-sungguh dari musuh dan penyakit padi.

3. Rasa berdosa.

Imam As Shafie menghitung dosanya sebanyak biji pasir di Padang Sahara dan dirinyalah orang yang paling banyak dosa. Seorang ahli sufi mengira jumlah dosanya hitung panjang sepuluh dosa setiap hari. Dia hidup selama enam puluh lima tahun. Dikira dosanya bermula pada usia lima belas tahun. Maka jumlah dosanya ialah 10 x 365 x 50 = 182,500. Satu hari di akhirat sama panjangnya dengan seribu tahun mengikut ukuran dunia. Andainya setiap satu dosa itu Allah SWT hukum sehari masuk neraka, maka 182,500 dosa itu di darab dengan seribu lantas ahli sufi itu menjerit, jatuh pengsan dan terus mati.

Alangkah indahnya hidup bermasyarakat apabila setiap orang lebih memikirkan dosa dan kesalahan sendiri. Rasa berdosa itu tidak memberi kesempatan dan tidak ada ruang untuk dirinya memikirkan kejahatan dan cacat cela orang lain. Jauh sekali hendak menyakiti, menindas dan menzalimi orang lain. Malah diganti dengan penuh kasih sayang dan cinta mencintai.

4. Mengutamakan orang lain.

Sekumpulan tentera Islam yang cedera parah dari satu peperangan sedang berbaring untuk menerima layanan dan rawatan. Salah seorang merintih kehausan. Pelayan membawa segelas air. Sebaik saja gelas hampir mencecah mulutnya kedengaran pula seorang lain yang juga merintih kehausan. Ditolaknya gelas tersebut sebagai isyarat untuk diberi kepada orang itu. Begitu juga yang berlaku, ada suara mahukan air lalu ditolaknya untuk diberi kepada orang itu pula. Perkara yang serupa juga terjadi kerana adanya suara kehausan daripada tentera yang baru tiba. Ditolaknya air itu untuk orang baru itu. Tetapi yang baru tiba itu telah meninggal dunia sebelum sempat meneguk air. Lalu pelayan kembali membawa kepada yang pertama, pun telah mati, yang kedua pun menghembuskan nafas terakhir, yang ketiga pun telah meninggal dunia. Segelas air itu tidak sedikit pun membasahi tekak mereka.

Begitulah secebis kisah betapa para sahabat yang berjiwa luhur, di saat nyawa hampir melayang pun masih sempat berbakti dan mengutamakan orang lain. Mereka tidak langsung adanya kepentingan diri. Bukan keselesaan hidup yang tergugat, bukan kesenangan hidup yang tergugat, bukan harta benda yang tergugat, malah di saat nyawa tergugat pun masih meletakkan orang lain lebih utama dan berharga. Orang lain lebih layak diberi peluang untuk menyambung hidup.

5. Menutup aib saudaranya.

    Memiliki jiwa sufi bukan sahaja tidak mengorek ngorek, tidak mengintai dan mengintip, tidak mencari cari kesalahan saudaranya, malah kesalahan yang terlanjur pun diusahakan untuk menutupinya. Ini bukan bererti bersubahat dan menyetujui perbuatan jahat saudaranya itu tetapi tidak dijaja, tidak disebar dan tidak diberitahu kepada orang lain, kecuali kalau terpaksa dengan maksud untuk membaikinya, maka diadukan kepada orang tertentu umpamanya kadhi atau pemimpin.

Kalaupun terpaksa didedahkan, itu pun menurut kaedah yang diharuskan oleh syariat seperti untuk pendakwaan atau penghakiman yang sangat terbatas kepada orang-orang tertentu. Bukannya tersebar hingga orang buta dan orang pekak pun turut tahu. Anak-anak kecil yang belum mukallaf pun sudah mengenal kemungkaran orang lain. Kesalahan orang lain yang dipandang berat itu pun andainya berlaku berulang kali akan sangat memberi kesan buruk kepada kepentingan masyarakat. Kesalahan yang sekadar sekali, mungkin terlanjur tidak boleh lawan nafsu maka diharapkan yang empunya diri akan sedar dan insaf sendiri dan membaiki kesalahan tersebut tanpa melibatkan orang lain.

Sabda Rasulullah SAW "Barangsiapa membela (menjaga nama baik/kehormatan) saudaranya tanpa kehadirannya maka Allah akan membelanya di dunia dan di akhirat." (Riwayat Al-Baihaqi)

Dipetik dari Rahsia Keagungan Ummah (Syeikh Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid)

Sundang Moro




Akhirnya dapat juga akan sundang Moro yang dicari-cari. Hadiah ulangtahun yang hampir setengah abad...alhamdullilah.

Sunday 6 December 2009

Zikir Meliputi Perkataan, Perbuatan Dan Perasaan

Sesungguhnya Aku adalah Allah! Tidak ada Tuhan melainkan Aku! Dan dirikanlah sembahyang bagi mengingati Aku! ( Ayat 14 : Surah Taha )

Sembahyang mengandungi perbuatan anggota zahir, perkataan yang dilafazkan dan penyertaan hati yang benar menghadap kepada Allah s.w.t dengan sepenuh jiwa raga. Mengingati Allah s.w.t melalui sembahyang merupakan zikir yang paling sempurna. Perbuatan menjadi zikir, perkataan menjadi zikir dan perasaan menjadi zikir. Sekalian maujud berada dalam suasana zikir. Zikir dalam sembahyang menggabungkan pengakuan bahawa yang diingatkan itu adalah Allah s.w.t; bahawa Allah s.w.t yang diingati itu adalah Tuhan; bahawa tiada Tuhan melainkan Dia; bahawa Allah adalah Tuhan yang disembah; bahawa menyembah Allah s.w.t adalah dengan perkataan, perbuatan dan perasaan; bahawa apa sahaja yang dilakukan adalah kerana mentaati-Nya dan kerana ingat kepada-Nya.

Zikir yang di dalam sembahyang menjadi induk kepada zikir-zikir di luar sembahyang. Menyebut nama-nama Allah s.w.t adalah zikir. Perkataan yang baik-baik diucapkan kerana Allah s.w.t adalah zikir. Nasihat menasihati kerana Allah s.w.t adalah zikir. Menyeru manusia ke jalan Allah s.w.t adalah zikir. Semua itu merupakan zikir perkataan. Zikir perbuatan pula meliputi segala bentuk amalan dan kelakukan yang sesuai dengan syarak demi mencari keredaan Allah s.w.t. Berdiri, rukuk dan sujud dalam sembahyang adalah zikir. Melakukan pekerjaan yang halal kerana Allah s.w.t, kerana mematuhi peraturan yang Allah s.w.t turunkan, adalah zikir. Mengalihkan duri dari jalan kerana Allah s.w.t adalah zikir. Apa juga perbuatan yang tidak menyalahi peraturan syariat jika dibuat kerana Allah s.w.t maka ia menjadi zikir. Tidak melakukan apa-apa pun boleh menjadi zikir. Orang yang menahan anggotanya, lidahnya dan hatinya daripada menyertai perbuatan maksiat sebenarnya melakukan zikir jika dia berbuat demikian kerana Allah s.w.t. Semua itu menjadi zikir jika dibuat kerana Allah s.w.t, kerana mematuhi perintah-Nya, kerana mencari keredaan-Nya dan kerana ingat kepada-Nya. Jadi, perbuatan dan perkataan terikat dengan amalan hati untuk menjadikannya zikir. Ia hanya dikira sebagai zikir jika ada zikir hati iaitu hati ingat kepada Allah s.w.t, ikhlas dalam melakukan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya Tanpa zikir hati tidak ada zikir-zikir yang lain, kerana setiap amalan digantungkan kepada niat yang lahir dalam hati.

Zikir adalah mengingati Allah s.w.t sebaik dan seikhlas mungkin. Mengingati nama-nama dan sifat-sifat-Nya adalah zikir. Melihat matahari, bulan dan bintang di langit sambil mengenang kebijaksanaan Allah s.w.t merupakan zikir. Melihat kilat memancar dan mendengar guruh berdentum sambil mengenangkan keperkasaan Allah s.w.t adalah zikir. Melihat fajar subuh, melihat dan mencium bunga yang indah lagi harum sambil mengenang keelokan Allah s.w.t adalah zikir juga namanya. Jadi, zikir adalah pekerjaan sepanjang masa, setiap ketika, semua suasana, pada setiap sedutan dan hembusan nafas dan pada setiap denyutan nadi. Kehidupan ini merupakan zikir daim (zikir berkekalan) jika mata hati sentiasa memerhatikan sesuatu tentang Allah s.w.t.

Misalkan seorang sedang melakukan zikir hati dan perkataan; menyebut dan mengingati nama-nama dan sifat-sifat Allah s.w.t. Tiba-tiba datang seorang kanak-kanak di hadapannya. Anak kecil itu memegang sebotol racun. Anak kecil mahu meminum racun tersebut. Pada ketika itu ahli zikir tadi berkewajipan meninggalkan pekerjaan zikir yang sedang dilakukannya dan berpindah kepada zikir menyelamatkan anak kecil yang mahu meminum racun itu. Perpindahan perbuatan tidak memutuskan zikir atau ingatannya kepada Allah s.w.t. Dia menyebut nama Tuhan kerana ingat kepada Tuhan. Dia menyelamatkan anak kecil itu kerana mentaati perintah Tuhan. Tuhan yang mentakdirkan anak kecil itu mahu meminum racun di hadapannya. Tuhan juga mengadakan syariat yang mewajibkan membuang kemudaratan. Taat kepada perintah Tuhan dan reda dengan takdir Tuhan yang datang serta bertindak menurut peraturan syariat Tuhan merupakan zikir yang sangat mulia pada sisi Tuhan. Zikir yang begini termasuk di dalam golongan zikir yang berkekalan atau zikir daim.

Zikir daim sukar diperolehi. Kebanyakan manusia melakukan pekerjaan yang baik-baik yang seharusnya menjadi zikir tetapi dilakukan tanpa ingatan kepada Allah s.w.t dan bukan dengan penghayatan mematuhi syariat-Nya. Kekuatan dalaman perlu ditambah bagi memperolehi zikir daim. Bagi tujuan tersebut perlulah dilakukan zikir sebutan iaitu zikir nafi-isbat (ucapan kalimah “La ilaha illa Llah ”) dan zikir nama-nama serta sifat-sifat-Nya. Zikir yang seperti ini memberi kesan kepada menguatkan rasa kecintaan dan ingatan kepada Allah s.w.t. Ia membuka kesedaran-kesedaran dalaman seperti yang telah dinyatakan pada tajuk yang membicarakan perjalanan Latifah Rabbaniah. Kekuatan kesedaran dalaman mendorong seseorang melakukan sesuatu dengan ikhlas kerana Allah s.w.t yang dicintainya, yang hampir dengannya. Zikir nafi-isbat dan sebutan nama-nama serta sifat-sifat-Nya menjadi jalan kepada zikir dalam bentuk mentaati peraturan-Nya tanpa lupa kepada-Nya. Jadi, perlu dilakukan zikir secara sebutan untuk memudahkan zikir secara amalan atau perbuatan dan kelakuan. Mudah-mudahan terhasillah zikir yang berkekalan.

Zikir atau mengingati Allah s.w.t haruslah dilakukan menurut kadar kemampuan masing-masing. Zikir yang paling baik diucapkan adalah seperti yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabda baginda s.a.w yang bermaksud: “Ucapan zikir yang paling baik adalah yang aku dan sekalian nabi-nabi bawa. Itulah ucapan kalimah ‘La ilaha illa Llah ’ .”

Orang yang tidak pernah berzikir adalah orang yang sangat keras hatinya dan kuat dikuasai oleh syaitan, hawa nafsu dan dunia. Cahaya api syaitan, fatamorgana dunia dan karat hawa nafsu membaluti hatinya sehingga tidak ada ingatannya kepada Allah s.w.t. Seruan, peringatan dan ayat-ayat Tuhan tidak diterima oleh hatinya. Beginilah keadaan orang Islam yang dijajah oleh sifat munafik. Orang yang masih mempunyai kesedaran perlu memaksakan dirinya untuk berzikir, sekalipun hanya berzikir dengan lidah sedangkan hatinya masih lalai dengan berbagai-bagai ingatan yang selain Allah s.w.t. Pada tahap pemaksaan diri ini, lidah menyebut Nama Allah s.w.t tetapi hati dan ingatan mungkin tertuju kepada pekerjaan, harta, perempuan, hiburan dan lain-lain. Beginilah tahap orang Islam biasa. Orang yang berada pada tahap ini perlu meneruskan zikirnya kerana jika dia tidak berzikir dia kan lebih mudah dihanyutkan di dalam kelalaian. Tanpa ucapan zikir syaitan akan lebih mudah memancarkan gambar-gambar tipuan kepada cermin hatinya dan dunia akan lebih kuat menutupinya. Zikir pada peringkat ini berperanan sebagai juru ingat. Sebutan lidah menjadi sahabat yang memperingatkan hati yang lalai. Berlakulah pertembungan di antara tenaga zikir dengan tenaga syaitan yang menutupi hati. Tenaga syaitan akan mencuba untuk menghalang tenaga zikir daripada memasuki hati. Tindakan syaitan itu membuatkan orang yang ingin berzikir itu menjadi malas dan mengantuk. Oleh yang demikian perlulah dilakukan mujahadah, memerangi syaitan yang menghalang lidah daripada berzikir itu. Zikir yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh akan berjaya melepasi benteng yang didirikan oleh syaitan. Tenaga zikir yang berjaya memasuki hati akan bertindak sebagai pencuci, menyucikan karat-karat yang ada pada dinding hati. Pada peringkat permulaannya zikir masuk ke dalam hati sebagai Nama-nama dan Sifat-sifat Tuhan yang diucapkan. Apabila karat pada dinding hati sudah berkurangan ucapan zikir akan disertai oleh rasa kelazatan. Hati yang sudah merasai nikmat zikir itu tidak perlu kepada paksaan lagi. Lidah tidak perlu lagi berzikir. Zikir sudah hidup dalam hati secara diam, jelira dan melazatkan. Perhatian bukan sekadar kepada nama-nama dan sifat-sifat yang diingatkan malah ia lebih tertuju kepada Yang Empunya nama dan sifat. Inilah kedudukan orang yang beriman.

Zikir yang lebih mendalam membawa hati berhadap kepada Hadrat Tuhan, menyaksikan Tuhan pada setiap masa dan suasana. Apa sahaja yang dilihat dan dibuat memperingatkannya kepada Tuhan. Inilah peringkat zikir daim yang dikurniakan kepada mereka yang beriman dan bersungguh-sungguh mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Kehidupan mereka dipenuhi oleh zikir sepanjang masa. Tidur mereka juga menjadi zikir.

Zikir yang diucapkan dengan perkataan membantu hati mengingati Tuhan. Bagi sebahagian manusia berzikir secara kuat lebih memberi kesan daripada berzikir secara perlahan, terutamanya bagi mereka yang baharu memulakan amalan zikir. Zikir secara senyap di dalam hati adalah pergerakan perasaan. Hati menghayati apa yang dizikirkan dan terbentuklah alunan perasaan sesuai dengan apa yang dihayati. Pada tahap yang lebih mendalam zikir bukan lagi sebutan atau ingatan kepada Nama, tetapi hati menyaksikan Keperkasaan dan Keelokan Tuhan. Bila hati sudah boleh menyaksikan Keelokan dan Keperkasaan Tuhan, itu tandanya seseorang itu sudah ada hubungan semula dengan roh suci yang mengenal Tuhan. Pancaran cahaya makrifat daripada roh suci membuat hati dapat melihat kenyataan sifat-sifat Tuhan.

Pada tahap kesedaran yang lebih mendalam, ucapan serta ingatan dan perhatian yang berhubung dengan Tuhan menimbulkan keghairahan atau zauk. Zauk itu terjadi kerana kuatnya tarikan Hadrat Tuhan kepada hati. Ingatan dan penyaksian terhadap Hadrat Tuhan akan memberi kesan yang sangat kuat kepada hati. Hati yang menyaksikan Hadrat Tuhan Yang Maha Perkasa boleh menyebabkan seseorang itu menjadi pengsan kerana takutnya hati kepada keperkasaan Allah s.w.t. Hati yang menyaksikan Hadrat Tuhan Yang Maha Lemah-lembut akan mengalami rasa kenikmatan dan kebahagiaan yang amat sangat.

Pada tahap kesedaran yang lebih mendalam, hati diperkuatkan lagi supaya mampu menerima ‘sentuhan’ Hadrat Tuhan itu. Penyaksian terhadap Hadrat Tuhan tidak lagi melahirkan keghairahan atau zauk atau kegoncangan kepada hati. Hati mengalami suasana Hadrat Tuhan dalam keadaan damai dan sejahtera. Pada tahap ini hati akan mengenali Tuhan sebagai Raja Yang Maha Berkuasa. Berada pada sisi Raja tersebut membuat hati merasakan kesejahteraan dan keselamatan yang tidak terhingga, hilang rasa takut dan dukacita.

Pada tahap kesedaran yang paling dalam hati berhadap kepada Hadrat Tuhan yang bernama Allah s.w.t, yang menguasai semua Hadrat, yang melampaui segala nama dan sifat, segala kenyataan dan ibarat. Hati sampai kepada tahap jahil setelah berpengetahuan. Ilmu gagal menghuraikan tentang Allah s.w.t. makrifat gagal memperkenalkan Allah s.w.t. Apa sahaja yang terbentuk, tergambar, terfikir, yang disaksikan dengan mata luar dan juga mata dalam dan segala-galanya tersungkur di hadapan Hadrat Allah s.w.t, yang tiada Tuhan melainkan Dia, Maha Perkasa. Sesungguhnya tidak ada sesuatu yang menyamai Allah s.w.t, Dia Maha Esa. Hati yang berhadapan dengan Hadrat Allah s.w.t benar-benar mengalami dan mengenali maksud keesaan Allah s.w.t. Hati pun tunduk, menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t, Tuhan Maha Mencipta. Baharulah sempurna penyerahannya, baharulah lengkap perjalanan Islamnya.

Setelah itu rohnya menjadi seakan-akan roh yang baharu, seumpama baharu lahir. Roh yang baharu itu adalah Roh Islam yang telah mengenal Allah s.w.t yang melampaui segala sesuatu tetapi memiliki Hadrat-Nya, Nama-nama-Nya dan Sifat-sifat-Nya, menyata kepada Roh Islam, iaitu Roh yang lebih tulen dan seni daripada semua roh-roh yang lain. Itulah roh yang telah menemui Kebenaran Hakiki. Pada roh tersebut bercantum tahu dengan tidak tahu, kenal dengan tidak kenal, nafi dengan isbat. Roh Islam itulah yang benar-benar mengerti maksud nafi dan isbat pada Kalimah Tauhid: “La ilaha illa Llah”.

Dia turunkan Roh dari urusan-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya untuk memberi peringatan tentang hari pertemuan.                               ( Ayat 15 : Surah al-Mu’min)

Roh Islam yang mengenderai hati Islam dan memiliki nafsu Islam, akal Islam dan pancaindera Islam kembali kepada kehidupan dunia untuk mengajak dan membimbing orang lain kepada Yang Haq, Kebenaran Hakiki. Roh Islam mengeluarkan yang Islam sahaja. Jiwanya Islam, perkataannya Islam, perbuatannya Islam, diamnya Islam, tidurnya Islam dan segala-gala yang mengenainya adalah Islam. Roh Islam yang paling sempurna adalah roh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w merupakan contoh tauladan Islam yang paling sempurna, paling baik.

Zikir memainkan peranan yang penting dalam melahirkan Roh Islam. Bagi orang yang inginkan kebenaran dan melihat kebenaran, menjadi kewajipan baginya mengingati Allah s.w.t sebanyak mungkin.

Lantas apabila kamu telah selesaikan sembahyang (sembahyang di waktu perang ) itu, maka hendaklah kamu ingat kepada Allah s.w.t sambil berdiri, dan sambil duduk, dan sambil (berbaring) atas rusuk-rusuk kamu. Tetapi apabila kamu telah tenteram, maka hendaklah kamu dirikan sembahyang (seperti biasa), kerana sesungguhnya itu adalah bagi Mukminin satu kewajipan yang ditentukan mwaktunya.                                  ( Ayat 103 : Surah an-Nisaa’ )

Yang mengingati Allah sambil berdiri dan sambil duduk dan sambil berbaring, dan memikirkan tentang kejadian langit-langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Engkau tidak jadikan (semua) ini dengan sia-sia! Maha Suci Engkau. Lantaran itu peliharakanlah kami daripada seksa neraka”. ( Ayat 191 : Surah a-Li ‘Imran )

Setiap Muslim seharusnya mencari kehidupan berzikir; berzikir sambil duduk dan sambil berbaring; bekerja di dalam berzikir; berehat di dalam berzikir dan tidur di dalam berzikir. Lidah berzikir, anggota tubuh berzikir dan hati berzikir. Tentera Islam yang sedang berperang dengan musuh pun dituntut berzikir, apa lagi kaum Muslimin yang berada dalam suasana aman. Muslim sejati sentiasa berzikir, mengingati dan mentaati Allah s.w.t.

http://ibnuhussain.wordpress.com/pengajian-kitab/